#1011: Mengebumikan Jenazah Bersama Keranda

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum mengebumikan jenazah bersama dengan kerandanya sekali?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, antara tanggungjawab kita terhadap si mati adalah kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”[1]

Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan.[2]

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan.[3]

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf.[4]

Pengebumian Mayat dalam Islam

Islam mengajarkan umatnya untuk menghormati manusia sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Oleh itu, Islam menuntut untuk mengebumikan mayat agar kehormatannya tetap terjaga. Ia juga bagi memastikan agar mayat tidak dirosakkan, bau tidak tersebar sehingga menarik perhatian binatang-binatang liar. Malahan, mengebumikan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang perlu ditunaikan dan tidak boleh ditinggalkan.

Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”[5]

Imam al-Qurtubi berkata: “Allah SWT menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan. Ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya.”[6]

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas. Tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.[7]

Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa menanam mayat manusia adalah sunnah Allah pada makhluk-Nya. Oleh yang demikian, mayat manusia tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah agama. Ini adalah kemuliaan kepada manusia.

Allah SWT berfirman:

أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ كِفَاتًا ﴿٢٥﴾ أَحْيَاءً وَأَمْوَاتًا

Maksudnya: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)? – Yang hidup dan yang mati?”[8]

Para ulama’ menjelaskan bahawa antara tujuan dan hikmat menanam mayat adalah:

  • Menjaga kehormatan mayat dengan mengelakkan pandangan dan baunya yang akan menjijikkan. Ini akan menutup keaiban, memelihara maruah mayat dan ahli keluarganya.[9]
  • Memberi pengajaran praktikal kepada orang yang masih hidup berkenaan hakikat kehidupan dunia dan kematian.
  • Kerja-kerja mengurus dan menanam mayat ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara sesama masyarakat serta meringankan beban tanggungan fizikal dan emosi keluarga yang ditimpa musibah tersebut.

Tempat mayat ditanam dikenali sebagai kubur. Ia berasal daripada perkataan arab, qabara (قبر) yang bermaksud tanam dan nama terbitannya ialah maqbarah (مقبرة) yang bererti tempat menanam mayat. Allah SWT berfirman:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”[10]

Hukum Mengebumikan Jenazah Bersama Keranda

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini pandangan-pandangan para fuqaha’ berkenaan isu ini seperti berikut:

Imam al-Nawawi berkata: “Dimakruhkan menguburkan mayat di dalam keranda (تابوت) kecuali jika keadaan tanah lembik atau basah. Mereka berkata, jika si mayat mewasiatkan demikian, maka tidak boleh menunaikan wasiatnya kecuali jika keadaan tanah sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Mereka berkata, “Jika menggunakan keranda, maka keranda tersebut dibeli daripada harta (رَأْسِ الْمَالِ) si mati. Demikianlah yang ditegaskan oleh al-Baghawi dan selainnya. Apa yang telah kami sebutkan berkenaan dengan makruhnya menguburkan mayat di dalam keranda adalah mazhab kami dan mazhab seluruh ulama’, dan aku mengira bahawa hal ini sudah menjadi ijma’.” Al-Abdari berkata: “Aku tidak mengetahui ada perbezaan pendapat antara kaum Muslimin dalam masalah ini.” Wallahu a’lam.[11]

Al-Mahalli dalam menjelaskan kalam Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyatakan: “(Makruh mengebumikan mayat dalam keranda, kecuali di tanah basah atau lembik), maka tidak makruh. Dan wasiatnya tidak dilaksanakan kecuali dalam keadaan seperti ini. Dan (pembiayaan) keranda itu diambil daripada hartanya (si mati).”[12]

Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Dan makruh menggunakan keranda secara ijma’ kerana ia adalah bi’dah, melainkan pada tanah yang lembik atau berair, maka tidak dimakruhkan kerana ada maslahah. Dan tidak dilaksanakan wasiatnya untuk menggunakan keranda melainkan dalam keadaan seperti itu. Dan seumpama yang demikian itu adalah apabila mayat itu hangus terbakar, yang tidak mungkin dapat menampungnya melainkan dengan menggunakan keranda.”[13]

Syeikh Nawawi al-Bantani menyebut: Al-Bujairimi berkata bahawa dimakruhkan memberi alas dan bantal pada mayat, dan dimakruhkan meletakkan mayat di dalam keranda yang sememangnya tidak diperlukan, kerana demikian ini termasuk idho’atul mal (membuang-buang harta). Adapun apabila keranda diperlukan, seperti keadaan tanah kubur yang terlalu lembik atau seumpamanya, maka tidak dimakruhkan meletakkan mayat di dalam keranda. Apabila si mati berwasiat agar diletakkan di dalam keranda, sedangkan keranda tersebut tidak diperlukan, maka wasiatnya tersebut tidak perlu dilaksanakan kecuali dalam keadaan seperti dijelaskan.[14]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata: Makruh dikebumikan mayat dalam keranda (تابوت) kecuali untuk keperluan, seperti jika tanah itu lembut atau berlumpur, dan sekiranya berwasiat demikian, maka tidak boleh dijalankan wasiatnya kecuali dalam keadaan seperti ini, dan biaya keranda itu diambil daripada hartanya sebelum pembahagian.[15]

Tabut (تابوت) iaitu peti keranda yang diperbuat daripada kayu dan dimasukkan mayat padanya.[16]

Sayyid Sabiq berkata: Para ulama’ menyatakan makruh mengebumikan mayat dengan meletakkannya dalam keranda, jika tanah tidak dalam keadaan lembik dan berair. Sekiranya tanah dalam keadaan seperti itu (lembik dan berair), maka hukumnya harus untuk dimasukkan ke dalam keranda tanpa disertai hukum makruh.[17]

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, dijelaskan: Dimakruhkan mengebumikan mayat dalam keranda secara ijma’ kerana ia adalah bid’ah, dan tidak dilaksanakan wasiatnya dengan demikian itu (mengebumikan dengan jenazah). Namun, tidak makruh menggunakan keranda sekiranya ada maslahah. Antara maslahah tersebut adalah seperti mayat yang hangus terbakar apabila berhajat kepada menggunakan keranda.[18]

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah pula menyebut: “Sesungguhnya mengebumikan mayat di dalam keranda dan seumpamanya adalah makruh secara mutlak di sisi ulama Hanabilah, dan khilaf al-aula di sisi ulama’ Maliki. Adapun ulama Syafi’i dan Hanafi, mereka berkata: Makruh (mengebumikan jenazah sekali keranda), melainkan ada hajat seperti tanah yang lembik dan lainnya.”[19]

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam merumuskan permasalahan ini menurut pandangan empat mazhab, menyatakan seperti berikut: Menguburkan dengan keranda adalah kebiasaan yang dilakukan oleh umat Nasrani ketika menguburkan orang yang meninggal dalam kalangan mereka, sedangkan umat Islam melakukannya dalam keadaan tertentu sahaja, sepertimana yang akan dijelaskan dalam pendapat ulama’ berikut ini:[20]

  • Mazhab Hanafi

Ulama’ Hanafi berpendapat, boleh sahaja menggunakan keranda walaupun yang diperbuat daripada batu atau besi untuk mayat ketika diperlukan, seperti keadaan tanah kubur yang lembik dan basah, atau untuk mayat di laut, atau untuk mayat perempuan secara mutlak, dan disunatkan untuk dilapisi tanah di dalam peti tersebut.

  • Mazhab Maliki

Ulama’ Maliki berpendapat, lebih baik untuk tidak menguburkan dengan menggunakan keranda, tetapi dianjurkan untuk menutup liang lahad dengan batu (اللَّبِن), papan kayu, jubin (batu yang dibentuk), dan batu-bata, lalu tanah dicampur dengan air untuk merapatkannya.

  • Mazhab Syafi’i

Ulama’ Syafi’i berpendapat, makruh hukumnya menguburkan mayat dengan menggunakan keranda, kecuali pada tanah yang lembik atau basah, atau kerana mayat hangus terbakar yang tidak mungkin jenazahnya tersebut akan bersatu kecuali dengan (menggunakan) keranda, atau mayat wanita yang tidak memiliki mahram agar orang lain yang bukan mahram tidak dapat menyentuhnya ketika dikuburkan.

  • Mazhab Hanbali

Ulama’ Hanabilah berpendapat, tidak dianjurkan menguburkan mayat dengan keranda, kerana tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW atau para sahabat tentang hal tersebut. Hal itu juga menyerupai orang yang menyukai dunia, sedangkan bumi lebih cepat menyerap kotoran-kotorannya.

Selain itu, terdapat juga fatwa daripada Majlis al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami, yang antara lain menyebut: “Pengebumian jenazah di dalam keranda, jika dilakukan bertujuan untuk menyerupai orang bukan Islam, maka perbuatan itu haram. Jika bukan bertujuan menyerupai mereka, maka hukumnya adalah makruh, selama mana tidak ada keperluan untuk melakukannya. Sekiranya ada keperluan, maka ketika itu tidak mengapa.”[21]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, makruh mengebumikan jenazah bersama kerandanya tanpa ada sebarang keperluan.

Namun, sekiranya terdapat keadaan yang memerlukan jenazah dikebumikan dengan keranda seperti:

  • keadaan tanah yang lembik, berlumpur atau berair,
  • wujudnya keperluan untuk menggunakan keranda,
  • pertimbangan terhadap maslahat mayat,

maka hukumnya harus dan tidak makruh untuk mengebumikan jenazah bersama kerandanya.

Pendapat ini juga dipersetujui oleh kebanyakan ulama’ mazhab sepertimana perbincangan di atas.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 April 2022 bersamaan 22 Ramadhan 1443H

Nota hujung:

[1] Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51

[3] Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104

[5] Surah ‘Abasa: 21

[6] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219

[7] Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7440-7441

[8] Surah al-Mursalat: 25-26

[9] Lihat Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 3/217

[10] Surah ‘Abasa: 21

[11] Lihat al-Majmu’, 5/287-288

[12] Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 1/467. Lihat juga Hawasyi al-Syarwani (3/167), Mughni al-Muhtaj (1/363), al-Muhazzab (1/137), Raudhah al-Talibin (2/135), al-Majmu’ (5/246)

[13] Lihat Mughni al-Muhtaj (1/363)

[14] Lihat Kasyifah al-Saja, 1/253

[15] Lihat al-Mu’tamad, 1/598

[16] Lihat al-Nazm, 1/138

[17] Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/555

[18] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/119

[19] Lihat  al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah oleh Abd al-Rahman al-Jaziri, 1/486

[20] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/679. Lihat juga al-Durr al-Mukhtar, 1/836; al-Syarh al-Saghir, 1/560; Mughni al-Muhtaj, 1/363; al-Muhazzab, 1/137 dan al-Mughni, 2/503

[21] Lihat Qararat al-Majma` al-Fiqh al-Islami bi Makkah al-Mukarramah, hlm. 176

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *