#1016: Orang Berpuasa Mengambil ‘Sublingual Medication’

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah batal puasa jika seorang pesakit mengambil ‘Sublingual Medication’ iaitu pil/tablet yang diletakkan di bawah lidah? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Sublingual Medication

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan sublingual medication supaya kita mendapat gambaran awal berkenaan kaedah pengubatan ini.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, pada asasnya, ubat yang dimasukkan ke dalam badan manusia adalah melalui pelbagai jenis laluan bergantung kepada kaedah penyerapannya. Ubat sampai ke tempat sasaran untuk bertindak melalui jenis-jenis dosej ubat yang tertentu.

Antara jenis dosej ubat yang biasa digunakan adalah tablet. Tablet adalah sejenis persediaan ubat berupa pepejal untuk kegunaan dalam badan. Ia mengandungi satu atau lebih jenis ubat yang dimampatkan bersama bahan lain seperti agen pengawet, perisa serta pengikat. Ia terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna.

Salah satu jenis tablet ialah tablet sublingual. Tablet ini direka bentuk untuk diletakkan di bawah lidah supaya diserap terus ke dalam peredaran darah melalui mukosa. Kaedah ini menghasilkan kesan terapeutik yang lebih cepat berbanding pemberian secara oral. Contohnya, tablet gliceryl trinitrate.[1]

Dalam bahasa Latin, sublingual membawa maksud ‘di bawah lidah.’ Ia merujuk kepada proses pengubatan bagi sebahagian penyakit di mana pil atau tablet akan diletakkan di bawah lidah, dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat, seperti yang telah dijelaskan.

Kaedah ini berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut). Hal ini kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut.

Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas, tidak seperti kaedah pengubatan secara oral. Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera.

Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya:

  • Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil)
  • Steroids
  • Sebahagian ubat Barbiturate
  • Enzyme
  • Vitamin
  • Sesetengah ubat bagi masalah mental.

Antara Perkara yang Membatalkan Puasa

Allah SWT berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[2]

Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.[3]

Dalam erti kata yang lain, puasa akan terbatal apabila seseorang memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya.[4]

Hal ini turut di jelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauf (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak[5] atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”[6]

Oleh itu, dapat difahami bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.”[7]

Maka, saluran yang terbuka itu termasuklah telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan pula oleh Ibn al-Muqri’: “Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.”[8]

Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa.[9]

Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa?

Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa. Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa. Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka. Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka.[10]

Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas.

Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong.[11]

Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan: “Mengambil  ubat pil/tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka. Tetapi,  jika ianya ditelan, maka batallah puasanya.”[12]

Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi. [13]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/jenis-jenis-dosej-ubat/

[2] (Surah al-Baqarah: 187)

[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181

[5] Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342

[7] Lihat Raudah al-Talibin, 2/356

[8] Lihat Raudh al-Talib, 1/335-336

[9] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187

[10] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/181

[11] Lihat keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami nombor 93 (1/10) yang telah diputuskan pada muktamar kali ke-10 di Jeddah pada 28 Jun sehingga 3 Julai 1997 yang mana sebelum itu, kajian mengenai ‘Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Di Dalam Proses Perubatan’ telah dibentangkan di Maghribi pada 14-17 Jun 1997.

[12] http://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103

[13] http://dar-alifta.org/AR/Default.aspx. Sila klik pada banner yang tertulisبعض الأمور الطبية التي قد تفسد الصيام

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *