#1029 Waktu Lailatul Qadar

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bilakah waktu lailatul qadar sebenarnya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya:Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”[1]

Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya.[2]

Bagi menjawab soalan di atas, secara umumnya para ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu berlakunya lailatul qadar kepada perbezaan pendapat yang sangat banyak, sehinggakan terdapat lebih daripada 40 pendapat dinukilkan dalam Fath al-Bari. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat ia berlaku pada malam 21 atau 23 Ramadhan sebagaimana pendapat qadim Imam Syafi‘i.[3] Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ فِي العَشْرِ الأَوْسَطِ مِنْ رَمَضَانَ، فَاعْتَكَفَ عَامًا، حَتَّى إِذَا كَانَ لَيْلَةُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ – وَهِيَ اللَّيْلَةُ الَّتِي يَخْرُجُ مِنْ صَبِيحَتِهَا مِنَ اعْتِكَافِهِ – قَالَ: مَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَعْتَكِفِ العَشْرَ الأَوَاخِرَ، وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا، وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ مِنْ صَبِيحَتِهَا، فَالْتَمِسُوهَا فِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ، وَالتَمِسُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ. فَمَطَرَتِ السَّمَاءُ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَكَانَ المَسْجِدُ عَلَى عَرِيشٍ فَوَكَفَ المَسْجِدُ، فَبَصُرَتْ عَيْنَايَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى جَبْهَتِهِ أَثَرُ المَاءِ وَالطِّينِ، مِنْ صُبْحِ إِحْدَى وَعِشْرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh pertengahan Ramadhan. Baginda beriktikaf pada suatu tahun hingga ketika pada malam ke-21 dan itu adalah malam di mana Baginda keluar pada pagi harinya daripada iktikaf, Baginda bersabda: ‘Sesiapa yang telah melakukan iktikaf denganku, hendaklah dia beriktikaf pada sepuluh yang terakhir. Sungguhnya telah diperlihatkan kepadaku pada malam ini, kemudian aku dijadikan lupa kepadanya. Sesungguhnya aku telah melihat diriku sujud di atas air dan tanah pada pagi harinya. Carilah ia pada sepuluh yang terakhir, dan carilah ia pada setiap malam yang ganjil.’ Kemudian langit menurunkan hujan pada malam itu, sedangkan atap masjid diperbuat daripada dedaunan. Lalu air mengucur daripada atap masjid. Kedua mataku melihat pada dahi Rasulullah SAW terdapat kesan air dan tanah pada subuh hari kedua puluh satu.[4]

Selain itu, diceritakan juga bahawa setelah Nabi SAW selesai daripada solat subuhnya pada hari ke-23 Ramadhan, terlihat kesan air dan tanah pada dahi Baginda. Sa‘id bin al-Musayyib menyebutkan, Rasulullah SAW mengasingkan diri daripada sahabat-sahabatnya dan Baginda bersabda: “Bukankah aku telah khabarkan kepada kamu mengenai lailatul qadar?” Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda SAW diam sebentar lalu bersabda: “Aku telah sampaikan kepada kamu apa yang aku sebutkan sebentar tadi dan aku lebih mengetahuinya. Kemudian, aku dilupakan tentangnya. Adakah kamu pernah melihat suatu hari kita berbincang mengenai perkara ini dan itu yakni pada malam manakah ia? (pada malam peperangan yang disertainya).” Mereka berkata: “Kami berjalan dan bergerak dalam kumpulan sehingga berdirinya sekelompok kaum pada malam ke-23 Ramadhan.” Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam kitabnya.

Selain daripada itu, sebahagian ulama pula berpendapat (mentarjihkan) bahawa lailatul qadar berlaku pada malam ke-14 Ramadhan. Mereka ialah al-Hasan dan ulama dari Basrah. Perkara ini juga turut diriwayatkan oleh Anas. Manakala Humaid, Ayyub dan Thabit mengambil jalan berhati-hati dengan menggabungkan antara dua malam iaitu malam ke-23 dan ke-24.

Di samping itu, sebahagian ulama lagi berpendapat (mentarjihkan) bahawa lailatul qadar itu berlaku pada malam ke-27. Al-Thauri menukilkannya daripada ahli Kufah dan berkata, kami berpendapat ia ialah malam ke-27. Di antara ulama yang bersetuju dengan pendapat ini ialah Ubai bin Ka‘ab — dan beliau bersumpah dengan pendapat ini — Zir bin Hubaisy dan ‘Abdah bin Abu Lubabah. Diriwayatkan daripada Qanan bin Abdullah, katanya: “Aku bertanya kepada Zir berkenaan lailatul qadar?” Beliau menjawab, “Umar, Huzaifah dan kebanyakan sahabat Nabi SAW tidak ragu-ragu bahawa lailatul qadar berlaku pada malam ke-27. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan ini merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishaq.

Selain itu terdapat dalam kalangan ulama seperti Abu Qilabah dan satu golongan yang berpendapat, lailatul qadar itu beredar antara malam-malam 10 yang terakhir itu. Diriwayatkan daripadanya bahawa ia beredar secara khusus pada malam ganjil. Di antara mereka yang berpendapat bahawa perpindahan itu pada malam 10 yang terakhir ialah al-Muzani dan Ibn Khuzaimah. Begitu juga Ibn ‘Abd al-Bar menukilkannya daripada Malik dan Thauri.[5]

Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa lailatul qadar itu berlaku pada salah satu malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Inilah pendapat yang lebih selamat dan meraikan semua pendapat yang ada. Justeru, carilah dan perbanyakkanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh pada sepuluh malam ini lebih daripada kebiasaan. Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan lailatul qadar. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.”[6]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي رَمَضَانَ العَشْرَ الَّتِي فِي وَسْطِ الشَّهْرِ، فَإِذَا كَانَ حِينَ يُمْسِي مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً تَمْضِي وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ: رَجَعَ إِلَى مَسْكَنِهِ وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ. وَأَنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ جَاوَرَ فِيهِ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا، فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَمَرَهُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ قَالَ: كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ العَشْرَ، ثُمَّ قَدْ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ العَشْرَ الأَوَاخِرَ، فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَثْبُتْ فِي مُعْتَكَفِهِ، وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا، فَابْتَغُوهَا فِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ، وَابْتَغُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ، وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ

Maksudnya: “Rasulullah beriktikaf di bulan Ramadhan pada sepuluh malam pertengahan bulan. Pada petang hari setelah dua puluh malam berlalu dan menjelang malam kedua puluh satu, Baginda kembali ke rumah dan orang-orang yang beriktikaf bersamanya juga ikut kembali (ke rumah mereka). Sesungguhnya Baginda telah meneruskan iktikaf pada malam yang biasanya Baginda akan pulang ke rumah. Baginda menyampaikan khutbah di hadapan orang ramai dan memerintahkan mereka menurut apa yang Allah kehendaki. Kemudian Baginda bersabda: ‘Aku telah melakukan iktikaf pada sepuluh malam sebelumnya pada bulan ini. Kemudian telah diperlihatkan kepadaku untuk melakukan iktikaf pada sepuluh malam yang terakhir. Sesiapa yang telah iktikaf bersamaku, hendaklah dia tetap berada di tempat iktikafnya. Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku malam yang dimaksudkan itu, kemudian aku dijadikan lupa pula kepadanya. Carilah ia pada sepuluh malam yang terakhir, dan carilah ia pada setiap malam yang ganjil. Aku telah melihat diriku sujud di atas air dan tanah.’[7]

Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith-hadith ini di bawah ‘Bab Mencari Lailatul Qadar Pada Malam-malam Ganjil di Sepuluh Malam yang Terakhir,’ dalam kitab sahihnya.[8] Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan ketika mensyarahkan bab ini bahawa padanya terdapat isyarat kepada kecenderungannya bahawa lailatul qadar itu adalah terhad dalam bulan Ramadhan, kemudian dalam sepuluh malam terakhir daripadanya, kemudian dalam hari-hari ganjil daripadanya, bukanlah malam-malam tertentu daripadanya. Inilah sebagaimana yang ditunjukkan berdasarkan keseluruhan hadith-hadith yang menyebutkan mengenainya.[9]

Selain daripada itu, al-Lajnah al-Da’imah dalam fatwanya menyebutkan, penetapan secara khusus salah satu malam daripada malam-malam Ramadhan bahawa ia ialah malam al-Qadar (lailatul qadar) memerlukan bukti dan dalil yang menunjukkan kepada keabsahannya berbanding hari yang lain. Akan tetapi sepuluh malam ganjil yang terakhir lebih utama berbanding malam lainnya, dan malam ke-27 merupakan malam yang paling utama berbanding malam-malam lain sebagai malam al-Qadar (lailatul qadar), berdasarkan kepada hadith-hadith yang menunjukkan kepada perkara tersebut.

Hikmah disembunyikan dan dirahsiakan hari lailatul qadar secara terperinci adalah supaya orang-orang Islam semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam ibadah, doa dan zikir mereka dalam sepuluh malam terakhir keseluruhannya, dan bukannya bersungguh-sungguh pada malam tertentu atau sebahagiannya sahaja. Ini adalah sebagaimana hikmah tidak ditentukan secara terperinci waktu mustajab doa pada hari Jumaat. Lebih-lebih lagi, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila masuknya 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Baginda akan membangunkan ahli keluarganya (untuk mendirikan solat malam), mengetatkan ikatan kainnya dan menghidupkan malam tersebut.”[10]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”[11]

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”[12]

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan segala amal kebajikan, dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Qadr: 1-3

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447.

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/450.

[4] Riwayat al-Bukhari (2027)

[5] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 198.

[6] Riwayat al-Bukhari (2017); riwayat Muslim (1169)

[7] Riwayat al-Bukhari (2018)

[8] Lihat Sahih al-Bukhari, 2/710.

[9] Lihat Fath al-Bari, 4/260.

[10] Riwayat Ibn Hibban (3436)

[11] Riwayat Muslim (2009)

[12] Riwayat al-Bukhari (1901)

One thought on “#1029 Waktu Lailatul Qadar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *