#1031 Hikmah Disembunyikan Malam al-Qadar

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hikmah dirahsiakan malam al-Qadar (lailatul qadar)? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya:Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”[1]

Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya.[2]

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu berlakunya lailatul qadar kepada perbezaan pendapat yang sangat banyak, sehinggakan terdapat lebih daripada 40 pendapat dinukilkan dalam Fath al-Bari. Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa lailatul qadar itu berlaku pada salah satu malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Inilah pendapat yang lebih selamat dan meraikan semua pendapat yang ada. Justeru, carilah dan perbanyakkanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh pada sepuluh malam ini lebih daripada kebiasaan. Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan lailatul qadar. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.”[3]

Selain itu, terdapat riwayat daripada ‘Ubadah bin al-Samit, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يُخْبِرُ بِلَيْلَةِ القَدْرِ، فَتَلاَحَى رَجُلاَنِ مِنَ الـمُسْلِمِينَ فَقَالَ: إِنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ القَدْرِ، وَإِنَّهُ تَلاَحَى فُلاَنٌ وَفُلاَنٌ، فَـرُفِعَتْ، وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ، التَمِسُوهَا فِي السَّبْعِ وَالتِّسْعِ وَالخَمْسِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar untuk mengkhabarkan berkenaan lailatul qadar, ketika itu dua lelaki Muslim sedang bertelagah, maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu tentang lailatul qadar, tapi si fulan dan si fulan bertelagah, lalu ilmu tentang lailatul qadar diangkat; boleh jadi ia merupakan yang terbaik untuk kamu. Carilah lailatul qadar pada malam 27, 29 dan 25 daripada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan.’[4]

Selain itu juga, tidak mungkin seseorang itu dapat mendakwa secara pasti bahawa dia mengetahui waktu lailatul qadar, lebih-lebih lagi kita sudah mengetahui bahawa Nabi SAW ingin mengkhabarkan kepada umatnya berkenaan lailatul qadar, tetapi kemudiannya dikhabarkan bahawa Allah SWT sudah mengangkat ilmu pengetahuan tersebut daripada Baginda sebagaimana yang diceritakan dalam hadith ‘Ubadah bin al-Samit di atas.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara hikmah disembunyikan dan dirahsiakan lailatul qadar secara terperinci adalah supaya orang-orang Islam semakin bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam ibadah, doa dan zikir mereka dalam sepuluh malam terakhir keseluruhannya, dan bukannya bersungguh-sungguh pada malam tertentu atau sebahagiannya sahaja. Ini adalah sebagaimana hikmah tidak ditentukan secara terperinci waktu mustajab doa pada hari Jumaat dan tidak dibataskan nama-nama Allah yang Maha Agung hanya sebanyak sembilan puluh sembilan nama sebagaimana sabda Nabi SAW berkenaannya:

مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghitungnya, dia akan masuk syurga.”[5]

Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan ‘Bab Mencari Lailatul Qadar Pada Malam-malam Ganjil di Sepuluh Malam yang Terakhir,’ yang terdapat dalam sahih al-Bukhari, menyebutkan bahawa padanya terdapat isyarat kepada kecenderungannya bahawa lailatul qadar itu adalah terhad dalam bulan Ramadhan, kemudian dalam sepuluh malam terakhir daripadanya, kemudian dalam hari-hari ganjil daripadanya, bukanlah malam-malam tertentu daripadanya. Inilah sebagaimana yang ditunjukkan berdasarkan keseluruhan hadith-hadith yang menyebutkan mengenainya.[6] Beliau juga beliau ada menyatakan bahawa para ulama berpendapat, hikmah disembunyikan atau dirahsiakan lailatul qadar daripada pengetahuan manusia adalah supaya timbulnya kesungguhan dalam mencarinya, tidak seperti mana halnya jika sudah ditentukan suatu malam padanya, maka sudah tentu kesungguhan untuk mencarinya itu akan berkurangan (terbatas) — kerana sudah diketahui bila waktunya.[7]

Justeru, sebagai orang Islam kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam perkara ketaatan dan ibadah kita dalam bulan Ramadhan secara keseluruhannya. Kemudian, melipat gandakannya lagi ketika berada di sepuluh malam terakhir daripadanya, khususnya pada malam-malam ganjil dan malam yang diharapkan padanya lailatul qadar. Inilah pentunjuk Nabi SAW. Apatah lagi, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila masuknya 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Baginda akan membangunkan ahli keluarganya (untuk mendirikan solat malam), mengetatkan ikatan kainnya dan menghidupkan malam tersebut.”[8]

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW sangat bersungguh-sungguh (dalam melaksanakan ibadahnya) pada sepuluh malam terakhir berbanding pada waktu lain.”[9]

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”[10]

Selain itu jangan biarkan satu malam pun daripada sepuluh malam terakhir ini yang diabaikan. Jika tidak mampu untuk menghidupkan malam tersebut secara keseluruhannya, sekurangnya-kurangnya berusahalah untuk menghidupkan sebahagiannya dengan perkara ketaatan dan ibadah seperti qiamullail, berzikir, beristighfar, bersedekah dan lain-lain. Paling kurang pastikan solat fardhu dilaksanakan secara berjemaah. Mengenai hal ini, Ibn Rajab ada menyebutkan dalam kitabnya, sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menukilkan daripada Ibn Abbas bahawa untuk menghidupkan malam adalah dengan menunaikan solat Isyak secara berjemaah, kemudian berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah. Di samping itu, diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah secara marfu‘, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Isyak pada (malam-malam) terakhir pada bulan Ramadhan, maka dia telah meraih lailatul qadar.”

Kemudian, Ibn Rajab menyebutkan, hadith di atas dilaporkan oleh Abu al-Syeikh al-Asbahani dan Abu Musa al-Madini juga meriwayatkan hadith ini melalui jalur riwayatnya. Selain itu, disebutkan bahawasanya beliau (Abu Musa al-Madini) ada meriwayatkan dengan jalur lain daripada Abu Hurairah hadith seumpamanya. Selain daripada itu, hadith ini juga diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib, namun sanadnya tersangat lemah.[11]

Begitu juga Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam fatwanya yang qadim (lama) bahawa sesiapa yang menyaksikan (menunaikan) solat Isyak dan Subuh pada malam datangnya lailatul qadar, maka dia telah mengambil bahagiannya (yakni ganjaran) daripada malam itu. Selain itu juga Imam al-Syafi‘i turut menyebutkan, disunatkan seseorang itu bersungguh-sungguh pada siang harinya (hari lailatul qadar) sebagaimana dia bersungguh-sungguh pada malamnya sebagaimana dinaskan olehnya dalam fatwanya yang qadim. Seterusnya, tidak diketahui adanya nas daripada fatwanya yang jadid (baru) yang bertentangan dengan perkara ini. Kemudian, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa apa-apa nas daripada pendapat Imam al-Syafi‘i yang qadim, dan tidak terdapatnya nas lain dalam pendapatnya yang jadid, yang bertentangan mahupun bertepatan dengannya, maka itu ialah mazhabnya tanpa sebarang khilaf.[12]

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan segala amal kebajikan, dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 April 2022 bersamaan 26 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Qadr: 1-3

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447.

[3] Riwayat al-Bukhari (2017); riwayat Muslim (1169)

[4] Riwayat al-Bukhari (49)

[5] Riwayat al-Bukhari (2736); riwayat Muslim (2677)

[6] Lihat Fath al-Bari, 4/260.

[7] Lihat Fath al-Bari, 4/266.

[8] Riwayat Ibn Hibban (3436)

[9] Riwayat Muslim (2009)

[10] Riwayat al-Bukhari (1901)

[11] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 185.

[12] Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/451.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *