#1046: Membaca Dua Surah Berbeza dalam Satu Rakaat

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah saya membaca dua surah pilihan yang berbeza selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah — yang merupakan salah satu rukun qauli — dan ayat-ayat yang lain. Firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya:Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.

(Surah al-Muzammil: 20)

Malah, membaca satu surah daripada al-Quran sekalipun ayat yang pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berurutan adalah disunatkan. Bacaan ini disunatkan bagi imam dan orang yang mendirikan solat secara bersendirian pada dua rakaat yang pertama sahaja bagi setiap solat. Sementara makmum juga disunatkan membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak kedengaran bacaannya. (Lihat al-Fiqh al-Mahaji, 1/152.)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jumhur ulama berpendapat diharuskan untuk menghimpunkan dua surah — yakni membacanya — dalam satu rakaat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/289.) Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Huzaifah R.A, beliau berkata:

صَلَّيْتُ مع النبيِّ ﷺ ذاتَ لَيْلَةٍ، فافْتَتَحَ البَقَرَةَ، فَقُلتُ: يَرْكَعُ عِنْدَ المِائَةِ، ثُمَّ مَضى، فَقُلتُ: يُصَلِّي بها في رَكْعَةٍ، فَمَضى، فَقُلتُ: يَرْكَعُ بها، ثُمَّ افْتَتَحَ النِّساءَ، فَقَرَأَها، ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرانَ، فَقَرَأَها

Maksudnya:Pada suatu malam, aku mendirikan solat bersama Nabi SAW. Baginda memulakan bacaan solatnya — selepas al-Fatihah — dengan membaca awal surah al-Baqarah. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya): ‘Barangkali Baginda akan rukuk apabila sampai pada ayat yang keseratus,’ kemudian Baginda melepasinya. Aku berkata (yakni menyangka dalam hatinya): ‘Baginda akan membaca surah al-Baqarah dalam satu rakaat,’ kemudian Baginda melepasinya, lalu aku berkata (yakni menyangka): ‘Baginda akan rukuk.’ Namun Baginda melanjutkan dengan membaca surah al-Nisa’ dan seterusnya menyambung pula dengan membaca surah Ali ‘Imran.

Riwayat Muslim (772)

Selain daripada itu, terdapat hadith lain daripada riwayat Abu Wa’il, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى ابْنِ مَسْعُودٍ، فَقَالَ: قَرَأْتُ المُفَصَّلَ اللَّيْلَةَ فِي رَكْعَةٍ. فَقَالَ: هَذًّا كَهَذِّ الشِّعْرِ، لَقَدْ عَرَفْتُ النَّظَائِرَ الَّتِي كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرُنُ بَيْنَهُنَّ. فَذَكَرَ عِشْرِينَ سُورَةً مِنَ الـمُفَصَّلِ، سُورَتَيْنِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ

Maksudnya:Seorang lelaki datang kepada Ibn Mas‘ud lalu berkata: ‘Aku membaca surah al-Mufassal (surah-surah pendek) pada malam hari dalam satu rakaat.’ Maka beliau (Ibn Mas‘ud) berkata: ‘Pembacaannya seperti pembacaan syair. Sesungguhnya aku mengetahui al-Naza’ir (Surah-surah yang mirip dari segi maknanya atau jumlah ayatnya.) (surah) yang digandingkan oleh Nabi SAW di antaranya (surah-surah).’ Maka Ibn Mas‘ud menyebut 20 surah daripada surah al-Mufassal, dua surah pada setiap rakaat.

Riwayat al-Bukhari (775)

Selain itu, dalam riwayat lain pula, daripada riwayat Syaqiq bahawa Abdullah berkata:

قَدْ تَعَلَّمْتُ النَّظَائِرَ الَّتِي كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَؤُهُنَّ اثْنَيْنِ اثْنَيْنِ، فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَقَامَ عَبْدُ اللَّهِ وَدَخَلَ مَعَهُ عَلْقَمَةُ، وَخَرَجَ عَلْقَمَةُ فَسَأَلْنَاهُ، فَقَالَ: عِشْرُونَ سُورَةً مِنْ أَوَّلِ الـمُفَصَّلِ عَلَى تَأْلِيفِ ابْنِ مَسْعُودٍ، آخِرُهُنَّ الحَوَامِيمُ: حم الدُّخَانِ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya aku telah mempelajari surah-surah yang sama maknanya yang Nabi SAW selalu membacanya secara berpasangan pada setiap rakaat, maka Abdullah berdiri dan ‘Alqamah masuk bersamanya, lalu ‘Alqamah keluar dan kami bertanya kepadanya, katanya: ‘Dua puluh surah daripada awal al-Mufassal (Daripada Surah Qaf hingga Surah al-Nas, dinamakan al-Mufassal (المفصل) kerana banyaknya pemisahan (الفصل) antara surah-surah ini dengan Basmalah.) menurut susunan Ibn Mas‘ud, surah terakhirnya ialah surah-surah yang dimulai dengan ‘haa mim’ (حم) iaitu haa mim al-Dukhan dan ‘amma yatasa’alun — yakni Surah al-Naba’.’

Riwayat al-Bukhari (4996)

Walau bagaimanapun ulama dalam kalangan mazhab Hanbali membezakan di antara solat fardhu dan solat sunat. Mereka berpendapat, tidak mengapa menghimpunkan surah-surah — yakni membaca lebih daripada satu surah — dalam satu rakaat dalam solat sunat berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan di atas kerana dalam riwayat-riwayat tersebut menunjukkan bahawa Baginda sedang mendirikan solat sunat seperti qiyamullail dan selainnya. Adapun dalam solat fardhu, mereka menyukai — yakni menggalakkan — sekiranya ia diringkaskan dengan hanya satu surah pilihan selepas bacaan al-Fatihah. Hal ini kerana begitulah kebanyakan solat Baginda SAW dan inilah salah satu riwayat (pendapat) daripada mereka.

Manakala dalam satu riwayat yang lain adalah sebagaimana pendapat ulama mazhab Maliki iaitu hukumnya adalah makruh kerana Nabi SAW memerintahkan Muaz untuk membaca satu surah sahaja — yakni dalam satu rakaat — dalam solatnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/290)

Begitu juga Syeikh al-‘Uthaimin juga pernah menyebutkan dalam fatwanya bahawa seseorang itu boleh untuk membaca selepas surah al-Fatihah dua surah atau tiga surah, mahupun meringkaskannya dengan hanya membaca satu surah atau membahagikan satu surah kepada dua bahagian. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin, 13/156) Kesemua perkara tersebut dibolehkan berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya:Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran — dalam sembahyang.”

(Surah al-Muzzammil: 20)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ

Maksudnya:Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran.

Riwayat al-Bukhari (757)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membaca dua surah yang berbeza ataupun lebih selepas surah al-Fatihah dalam satu rakaat, serta sesiapa yang membacanya dikira mendapat pahala sunat bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran selepas al-Fatihah dalam solat.

Walau bagaimanapun, perkara ini sekalipun diharuskan dan solatnya dikira sah serta tidak batal, namun sebaiknya dalam solat fardhu ia diringkaskan dengan hanya membaca satu surah sahaja atau tidak memanjangkannya, lebih-lebih lagi jika dia seorang imam bagi meraikan keperluan makmum.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 18 Mei 2022 bersamaan 17 Syawal 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *