#105 Masalah Mualaf Solat di Rumah Keluarga

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Kawan perempuan saya baru memeluk Islam. Dia seorang guru. Apabila tiba waktu cuti sekolah, dia terpaksa pulang ke kampung. Keluarganya setuju untuk dia masuk Islam bagi tujuan kahwin. Isunya adalah, dia malu untuk solat di rumah keluarganya yang non-Muslim kerana takut kena marah atau perli. Apa dia perlu dia lakukan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

 (Surah al-Baqarah: 43)

Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Maka, apabila seseorang mualaf sudah bergelar Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam.

Dalam isu di atas, kami berpandangan bahawa solatlah di dalam bilik. Kami juga berpesan agar jangan takut khususnya jika keluarga juga sudah bersetuju. Pastikan kita melakukan ibadah kerana Alah dan bukan kerana takut kepada makhluk. Hal ini sepertimana bacaan dalam doa istiftah yang kita baca sewaktu solat:

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-An`am: 162)

Begitu juga, sifat yang mulia dan berhikmah hendaklah sentiasa ditonjolkan agar menjadi bentuk dakwah bil hal secara tidak langsung kepada anggota keluarga.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada saudari untuk meneruskan ibadat solat tanpa merasa segan silu, tetapi penuh dengan izzah dan kemuliaan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *