#1051: Solat Tahiyyatul Masjid di Surau

Soalan

Apakah surau di Malaysia ini dikira masjid dan bolehkah dilakukan tahiyyatul masjid baginya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan ketika memasuki masjid sebagai memuliakan masjid. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215)

Justeru, yang dimaksudkan dengan tahiyatul masjid ialah solat yang dilakukan untuk menghormati masjid. Ia dilakukan apabila seseorang memasuki masjid dan sebelum ia duduk. Daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat al-Bukhari (444), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)

Imam al-San’ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebut bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Hukum Solat Tahiyat al-Masjid

Sesungguhnya tahiyatul masjid sunat mustahab dengan ijmak muslimin kecuali apa yang dihikayatkan daripada Daud dan ashabnya daripada kewajipannya. Ijmak ulama bahawa makruh orang yang masuk masjid duduk tanpa solat tahiyat masjid tanpa uzur seperti kata Imam al-Nawawi.

Ibn Hazm berpendapat bahawa perintah dalam hadith tersebut menunjukkan kepada hukum wajib.

Imam al-Nawawi berkata: Di dalamnya terkandung pengertian disunatkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunat menurut kesepakatan kaum muslimin. Dalamnya juga terkandung pengertian disunatkan memberi penghormatan (Tahiyat) kepada masjid setiap kali memasukinya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/233)

Dr. Said Wahf al-Qahtani dalam bukunya Ensiklopedia Solat berkata: “Paling tepat sunat muakkad, demikian itu pendapat jumhur.” (Lihat Ensiklopedia Solat terjemahan, 1/513)

Tahiyatul Masjid untuk Surau yang didirikan solat 5 waktu dan Solat Jumaat

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa diambil daripada kalimah sajada, yasjudu, sujudan, masjid iaitu nama tempat. Ia adalah rumah untuk solat. Masjid dalam bahasa arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya:Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan dan diwaqafkan bagi mengerjakan solat untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Perkataan surau secara pastinya bukan berasal dari perkataan Arab. Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, surau bermakna “Bangunan yang lebih kecil daripada masjid, tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama. Nama lain bagi surau ialah langgar dan madrasah”.[1]

Sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu, apabila dikatakan surau, dapat difahami bahawa ia sebuah tempat untuk menunaikan solat dan boleh jadi surau itu ialah sebuah bilik kecil di pejabat mahupun pusat membeli belah ataupun masjid yang tidak didirikan solat Jumaat di dalamnya. Surau yang didapati di kawasan perumahan, kebiasaannya hanya dikerjakan solat lima waktu, namun tidak didirikan solat Jumaat di dalamnya. Namun, terdapat juga sesetengah surau yang telah dinaiktarafkan sebagai masjid dan diberi kebenaran bagi melaksanakan solat Jumaat dan dikenali sebagai surau Jumaat.

Jika kita melihat kepada perbahasan sebelum ini, kita mengetahui bahawa masjid telah diberikan definisinya yang tersendiri mengikut hukum syarak dan istilah surau tidak pernah wujud di dalam Bahasa Arab. Namun, apabila kita melihat kepada fungsi sesetengah surau yang terdapat di Malaysia, kita mendapati bahawa ia menepati ciri-ciri sebuah masjid.

Sesetengah surau di Malaysia dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya ialah surau, namun ia menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan.

Secara urufnya, kita melihat apa yang dilakukan di dalam masjid, juga dilakukan di dalam surau. Hanya surau itu tidak ditunaikan solat Jumaat di dalamnya dan dari segi saiznya pula, ia agak kecil berbanding masjid. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

الْعِبْرَةُ بِالْقَصْدِ لا بِالْأَلْفَاظِ

Maksudnya: “Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah).”

Justeru, boleh kita katakan bahawa surau juga ialah tempat solat lima waktu secara berjemaah, maka ia sama statusnya dengan masjid sekalipun ia tidak dinamakan sebagai masjid. Tambahan lagi, berdasarkan kepada pengertian masjid dalam bahasa Arab dan juga istilah fiqh, maka kami mendapati kedua-duanya selari dan surau diri Jumaat juga menepati ciri-ciri tersebut.

Pada zaman Nabi SAW, terdapat banyak masjid di sekitar Madinah, namun jika ingin menunaikan Solat Jumaat, ia hanya dilakukan di Masjid Nabawi. Justeru, menunaikan solat sunat tahiyatul masjid di surau sama ada yang didirikan solat jumaat ataupun tidak, adalah dituntut di dalam Islam. Ini bagi menerangkan bahawa pada zaman Nabi SAW, meskipun tidak didirikan solat Jumaat pada masjid tersebut, ia tetap dinamakan dengan masjid. Adapun masyarakat Melayu Islam pula beranggapan bahawa masjid ialah tempat yang didirikan solat Jumaat padanya manakala surau pula tidak didirikan solat Jumaat padanya.

Hal ini berbeza dengan musalla. Melalui definisi musalla sebelum ini, dapat difahami bahawa ia ialah tempat solat sempena acara tertentu. Kebiasaannya musalla yang menjadi tempat solat Rasulullah SAW untuk hari raya atau solat istisqa’ adalah di kawasan lapang atau padang. Ia bukanlah tempat solat lima waktu atau solat Jumaat yang tetap seperti masjid. Bahkan musalla ini boleh diubah tempatnya pada bila-bila masa.

Mengenai hal ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan:

الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau yang menepati ciri-ciri masjid, adalah dituntut di dalam Islam. Hal ini kerana walaupun namanya surau, tetapi ia tetap menepati ciri-ciri masjid yang sebenar. Manakala istilah surau yang menepati ciri-ciri musolla seperti di dalam pejabat, stesen minyak ataupun di dalam pusat membeli belah, maka tidak dituntut untuk melakukan solat sunat tahiyyatul masjid di dalamnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 4 Julai 2022 bersamaan 4 Dzulhijjah 1443H

[1]Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=surau

2 thoughts on “#1051: Solat Tahiyyatul Masjid di Surau

  1. Ezham says:

    Assalamualaikum, kebanyakan yg saya perhati surau jumaat ni mereka hanya solat tahyatul. Masjid masa solat jumaat saja, tidak solat fardu 5 yg lain, hatta dtg surau utk urusan lain atau singgah utk solat surat lain, harap boleh beri pe jelasan lebih terperinci lagi isu solat tahyatul masjid di surau ketika solat fardu lain, sekian terima kasih

  2. wan says:

    Assalamualaikum..maaf saya x jumpa pon mklumat tntang status surau..semua cerita tntg surau diri jumaat je..sttus surau yg ada ciri² amal sprti msjid tpi x didirikn jumaat(surau²kampong) x de diceritakan…mohon pnjelasan tulus dan lengkap tuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *