#1052: Amalan yang Patut Dilakukan dalam Bulan Dzulhijjah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah amalan yang patut dilakukan dalam bulan Zulhijjah, terutamanya sepuluh yang terawal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, bulan Zulhijjah dikenali sebagai bulan haji. Selain daripada itu, ia juga merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan terdapat di dalamnya banyak keutamaan dan kelebihan-kelebihan, terutamanya 10 hari terawal daripadanya. Di antaranya ialah Allah SWT bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Mengenai perkara ini, Allah SWT berfirman:

 ‎وَالْفَجْرِ ‏ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya:Demi waktu fajar (1); Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

(Surah al-Fajr: 1-2)

Berkenaan makna ‘fajar’, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang. Semua ini adalah khilaf dalam kalangan ahli tafsir. Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang berpendapat, ia merujuk kepada waktu fajar tertentu. Kemudian ada juga yang berpendapat ia merujuk kepada fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, dan ada juga yang berpendapat, ia ialah fajar pada hari terakhirnya, iaitu yaum al-nahr (hari raya korban). Berdasarkan semua pendapat ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah SWT.

Manakala maksud 10 malam dalam ayat di atas pula ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pendapat yang sahih yang dipegang oleh jumhur ahli tafsir dalam kalangan salaf dan selainnya. Ia juga merupakan pendapat yang sahih daripada Ibn Abbas, yang diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. Selain itu, terdapat hadith marfu‘ yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam al-Tafsir, daripada riwayat Zaid bin al-Hubab, ‘Ayyasy bin ‘Uqbah menyampaikan kepada kami, Khair bin Nu‘aim menyampaikan kepada kami, daripada Abu al-Zubair, daripada Jabir, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

العَشرُ عَشرُ الأَضحى والوِترُ يومُ عرفةَ والشَّفعُ يومُ النَّحرِ

Maksudnya:Sepuluh hari ialah sepuluh hari dalam bulan korban (Zulhijjah), yang ganjil ialah hari ‘Arafah dan yang genap ialah hari raya korban.”

Riwayat Ahmad (14551); riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11672); dan Ibn Rejab menyebutkan dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 268), sanadnya adalah hasan.

Seterusnya perkataan ‘genap’ dan ‘ganjil’ tersebut juga ditafsirkan oleh Ibn Abbas menerusi riwayat daripada ‘Ikrimah, al-Dhahhak dan lain-lain. Terdapat banyak pendapat berkenaan maksud perkataan ‘genap’ dan ‘ganjil’, kebanyakannya tidak terkeluar daripada menyatakan bahawa 10 hari terawal Zulhijjah atau sebahagiannya sudah merangkumi maksud ‘genap dan ‘ganjil’, atau salah satunya. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 268)

Selain itu, amalan kebaikan yang dilakukan dalam 10 hari terawal Zulhijjah sangat disukai dan dilipat gandakan. Terdapat hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Riwayat al-Bukhari (969)

Selain itu, terdapat hadith yang lain datang dengan lafaz bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.

Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).

Riwayat Abu Daud (2438) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih.

Menurut Ibn Rejab, hadith di atas menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan pada hari-hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia merupakan perkara yang paling disukai oleh Allah SWT, maka ia adalah sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.

Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan dengan terdapat syak di sisi perawi pada lafaznya: “أحب” (paling disukai) atau “أفضل” (paling baik). Apabila suatu amalan dalam 10 hari ini afdhal dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan yang dilakukan dalam hari-hari yang lain dalam setahun. Maka, jadilah amalan yang kurang utama yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdhal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya. Oleh sebab itulah, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad pada jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun jihad tidak dapat menandinginya.” Kemudian Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad pada jalan Allah. Hal ini kerana Baginda SAW juga pernah ditanya: “Apakah jihad yang lebih afdhal?” Baginda menjawab: “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid merupakan orang yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah.”

Manakala jenis jihad yang lain pula, amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah adalah lebih baik (afdhal) dan lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla daripadanya, termasuklah juga semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amalan yang kurang utama (al-Mafdhul), yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan sama seperti amalan yang lebih utama (al-Fadhil) yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadith daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

والعَمَلُ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ بِسَبْعِمِائةِ ضِعْفٍ

Maksudnya:Amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan dilipat gandakan pahalanya sehingga 700 kali.

Riwayat al-Tabarani (11116); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3758); dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/191) menyatakan, sanadnya adalah sahih, hasan atau apa yang menghampiri kedua-duanya. Namun, Ibn Rejab dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 261) menilai sanadnya sebagai dhaif.

Kemudian, Ibn Rejab menyimpulkan bahawa berkenaan gandaan pahala ini juga, terdapat banyak hadith-hadith yang lain tetapi ia adalah palsu. Oleh yang demikian, ia diabaikan untuk disebutkan dan begitu juga dengan hadith-hadith yang menyerupai palsu yang menyebutkan berkenaan kelebihan 10 hari tersebut. Hal ini kerana hadith daripada riwayat Ibn Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amalan soleh yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian sudah menjadi dalil (yang kuat) dalam perkara ini. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 260-262)

Selain daripada amalan kebaikan yang dikerjakan dilipat gandakan, perkara yang mesti diberi perhatian juga bahawa perbuatan dosa yang dilakukan dalam bulan ini dianggap sangat besar. Hal ini kerana bulan Zulhijjah termasuk dalam bulan-bulan haram. Justeru, segala amalan soleh dan kebaikan yang dilakukan akan dilipat gandakan dan begitu juga dengan perbuatan dosa yang dilakukan dalamnya turut dianggap besar. Firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).”

(Surah al-Taubah: 36)

Ibn Juzai ketika mensyarahkan ayat di atas menyebutkan, kata ganti nama (dhamir) yang terdapat pada lafaz “فِيهِنَّ” adalah merujuk kepada bulan-bulan haram, bagi menunjukkan besarnya perintah tersebut dan betapa beratnya perbuatan dosa di dalamnya, sekalipun kezaliman tetap dilarang dalam bulan-bulan lain. Namun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat, kata ganti nama itu kembali kepada kedua-dua belas bulan — yakni bukan bulan-bulan haram sahaja — atau merujuk kepada zaman secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, pendapat pertama adalah lebih kuat. (Lihat Tafsir Ibn Juzai, 1/337)

Seterusnya, berbalik kepada soalan-soalan yang diajukan, pada asasnya semua amalan kebaikan secara umumnya seperti solat sunat, berpuasa, bersedekah, berzikir dan lain-lain, sangat digalakkan untuk dikerjakan dalam bulan ini, serta pahalanya juga — insya-Allah — akan dilipat gandakan berbanding ketika ia dikerjakan dalam bulan-bulan yang lain berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas. Namun, di sana juga terdapat beberapa amalan khusus yang berkait rapat dengan bulan Zulhijjah — yakni secara khusus dianjurkan untuk dikerjakan di dalamnya. Di antaranya adalah:

Pertama: Melakukan ibadah korban bagi yang berkemampuan

Pada asasnya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ibadah korban ada dinyatakan di dalam al-Quran dan terdapatnya tuntutan melakukan korban yang dibalas dengan pahala sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: ‘Nescaya aku akan membunuh kamu.’ Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa.”

(Surah al-Ma’idah: 27)

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa perbuatan korban ada dinyatakan di dalam al-Quran. Sekiranya kita melihat kepada tafsiran para ulama terhadap ayat ini, ia sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Kathir daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.anhuma, beliau menyebutkan, sesungguhnya dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang daripada mereka dan tidak diterima korban daripada yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil) adalah pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing. Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya. Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan tidak elok. Lalu Allah SWT menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima korban pemilik kebun tersebut. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/82)

Demikian juga dalam firman Allah SWT yang lain:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya:Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya:Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya Aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Hal ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat.

Selain daripada itu, orang yang berkorban, disunatkan untuk menyembelihnya sendiri. Jika tidak dapat berbuat demikian kerana keuzuran dan sebagainya, maka hendaklah dia menyaksikan penyembelihan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah R.Anha:

قُوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya:Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Adakah ini khas untuk kita Ahlul bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Bahkan untuk kita dan untuk orang Islam seluruhnya.’

Mustadrak Hakim (4/222) Musnad Bazzar; Kashful Astar (1202), Majma’uz Zawaid (4/17)

Kedua: Disunatkan untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban

Apabila sudah masuk bulan Zulhijjah — yakni bermulanya 1 Zulhijjah — maka disunatkan bagi orang yang ingin melakukan korban untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut atau bulu di kepala, wajah mahupun badannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak memotong kukunya, sehingga dia selesai menyembelih haiwan korbannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/138)

Ketiga: Galakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh dan zikir kepada Allah SWT

Bukan hanya itu, dalam sepuluh awal Zulhijjah juga kita dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh seperti berpuasa, berzikir kepada Allah dan lain-lain. Hal ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa dianjurkan (sunat) untuk memperbanyakkan amalan zikir pada sepuluh awal dalam bulan Zulhijjah dengan lebih lagi berbanding hari-hari yang lain, dan begitu juga disunatkan untuk memperbanyakkan lagi amalan itu pada hari ‘Arafah berbanding baki hari-hari lain dalam sepuluh awal Zulhijjah. (Lihat al-Azkar, hlm. 304)

[14] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61

[15] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7732); Al-Munziri menyebutkan dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/160) bahawa dalam sanadnya terdapat perawi bernama ‘Atiyyah bin Qais dan dia dianggap thiqah, namun padanya terdapat perselisihan. Begitu juga al-Haitami al-Makki dalam al-Zawajir (1/207) menyebutkan, dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang diperselisihi, akan tetapi dia dianggap thiqah. Walau bagaimanapun, Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir (9/313) dan pengarang Dha‘if al-Targhib (674) menilainya sebagai dhaif.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Riwayat al-Bukhari (969)

Keempat: Berpuasa pada hari ‘Arafah

Di antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Arafah? Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya:Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”

Riwayat Muslim (1162)

Hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya. Menurut Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan, disunatkan untuk berpuasa ‘Arafah hanya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Manakala bagi orang yang mengerjakan haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut, bahkan sebaliknya disunatkan untuk tidak berpuasa sebagai mengikuti Nabi SAW dan khulafa’ al-Rasyidin.

Seterusnya para ulama berselisih pendapat berkenaan dosa yang dihapuskan, adakah merangkumi dosa kecil dan besar atau hanya khusus buat dosa-dosa kecil? Pendapat pertama menyatakan, ia adalah khusus hanya untuk dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar seperti zina, memakan riba, sihir dan seumpamanya, maka ia tidak dapat dihapuskan dengan amalan-amalan soleh, akan tetapi hendaklah dengan bertaubat. Inilah pendapat jumhur ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya:Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu.”

(Surah al-Nisa’: 31)

Ayat di atas menunjukkan bahawa dosa-dosa kecil akan dihapuskan dengan syarat menjauhi dosa-dosa besar, dan menjauhinya adalah dengan bertaubat daripadanya.

Begitu juga dengan hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya:Solat fardhu lima waktu, solat Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, puasa Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya, merupakan penghapus dosa antara keduanya selama mana menjauhi dosa-dosa besar.”

Riwayat Muslim (233)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa solat fardhu lima waktu, solat Jumaat, puasa di bulan Ramadhan, kesemuanya merupakan ibadah yang agung tetapi tetap tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar. Justeru apatah lagi dengan amalan soleh yang lebih rendah daripadanya seperti berpuasa pada hari ‘Arafah, maka ia adalah lebih-lebih lagi tidak dapat menghapuskan dosa-dosa besar — yakni min bab aula.

Manakala pendapat kedua pula, berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa-dosa kecil dan besar. Ini merupakan pendapat Ibn Munzir dan Ibn Hazm, serta Ibn Taimiyyah menyokong pendapat ini dan berhujah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya:Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan.”

(Surah Hud: 114)

Begitu juga dengan dalil-dalil lain yang menyebutkan mengenai keampunan sebagai ganjaran ke atas ketaatan yang dilakukan seperti berwuduk, berpuasa pada hari ‘Arafah, berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan lain-lain. Walau bagaimanapun, pendapat ini telah dilemahkan dan dikritik oleh Ibn ‘Abd al-Bar. Malah, Ibn Rejab turut menukilkan mengenai perkataan Ibn ‘Abd al-Bar itu dan mengiakannya, serta menyokong pendapat yang menyatakan bahawa penghapusan dosa itu hanyalah khusus buat dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar, bagi menghapuskannya hendaklah dengan bertaubat. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/79-80)

Kelima: Memperbanyakkan doa pada hari ‘Arafah secara khusus

Terdapat hadith daripada riwayat ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

Maksudnya:Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik zikir yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah, ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”

Riwayat al-Tirmizi (3585)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah doa yang paling cepat dipenuhi dan dikabulkan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/33)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Talhah bin ‘Ubaidillah secara mursal:

أفضلُ الدُّعاءِ دعاءُ يومِ عرَفةَ

Maksudnya:Sebaik-baik (afdhal) doa ialah doa pada hari ‘Arafah.

Riwayat Malik dalam Muwatta’ (500); riwayat al-Baihaqi (8651); dan pengarang kitab al-Silsilah al-Sahihah (7/4) menilai sanadnya sebagai mursal sahih.

Para ulama berselisih pendapat berkenaan adakah fadhilat doa hari ‘Arafah ini hanya khusus buat mereka yang mengerjakan haji atau umum buat semua? Pendapat yang tepatnya, ia adalah bersifat umum kerana keutamaannya adalah keutamaan pada hari ‘Arafah. Namun, tidak syak lagi bahawa sesiapa yang berada di padang ‘Arafah telah berkumpul pada  dirinya dua kelebihan iaitu kelebihan tempat dan masa.

Al-Baji menyatakan, lafaz “أفضلُ الدُّعاءِ دعاءُ يومِ عرَفةَ” bermaksud zikir yang paling banyak berkat, paling besar pahala dan paling hampir untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, terdapat kebarangkalian bahawa maknanya adalah khusus buat jemaah haji kerana makna doa pada hari ‘Arafah untuk hak mereka memang sah, dikhususkan untuk mereka, sekalipun disifatkan hari secara umumnya dengan nama hari ‘Arafah. Hal ini kerana ia disifatkan berdasarkan kepada perbuatan jemaah haji pada hari tersebut. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/358)

Sesungguhnya telah sabit daripada sebahagian ulama salaf bahawa mereka membolehkan al-Ta‘rif iaitu berhimpun dalam masjid bagi berdoa dan berzikir kepada Allah pada hari ‘Arafah. Di antara mereka yang melakukannya ialah Ibn Abbas R.Anhuma dan Imam Ahmad juga membolehkannya sekalipun dia tidak melakukannya.

Mengenai hal ini, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya dengan menukilkan pendapat al-Qadhi bahawa tidak mengapa melakukan al-Ta‘rif iaitu berhimpun pada waktu petang hari ‘Arafah di tempat selain ‘Arafah. Begitu juga al-Athram menyebutkan, dia bertanya kepada Imam Ahmad berkenaan perbuatan berhimpun di tempat selain ‘Arafah di masjid-masjid pada hari ‘Arafah. Imam Ahmad menjawab: “Aku berharap perbuatan ini tidak mengapa kerana ia telah dilakukan oleh ramai orang.”

Selain itu, al-Athram juga meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini di Basrah ialah Ibn Abbas. Manakala Imam Ahmad pula meyebutkan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini ialah Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith. Selain daripada itu, al-Hasan, Bakr dan Muhammad bin Wasi‘ menyebutkan, dahulu mereka berkumpul di masjid pada hari ‘Arafah.

Tambahan lagi Imam Ahmad berkata, tidak mengapa dengan perbuatan tersebut kerana ia adalah doa dan zikrullah. Kemudian, ditanyakan kepadanya, adakah dia melakukannya? Dia menjawab: “Adapun aku, tidak melakukannya.” Begitu juga diriwayatkan daripada Yahya bin Ma‘in bahawasanya dia hadir bersama orang ramai pada petang hari ‘Arafah. (Lihat al-Mughni, 3/295)

Oleh itu, jelaslah bahawa fadhilat dan kelebihan berdoa pada hari ‘Arafah adalah bersifat umum untuk semua dan bukannya khusus hanya untuk jemaah haji sahaja. Sekalipun perbuatan berkumpul bagi berdoa dan berzikir di masjid-masjid di tempat selain ‘Arafah pada hari ‘Arafah tidak sabit dilakukan oleh Nabi SAW, dan oleh sebab itulah juga Imam Ahmad tidak melakukannya. Akan tetapi Imam Ahmad memberi keringanan dan tidak melarangnya kerana perbuatan tersebut sabit bahawa ia dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith.

Keenam: Menghidupkan malam hari raya Aidiladha iaitu malam 10 Zulhijjah.

Dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/221) bahawa perkataan ‘Id (عيد) berasal daripada perkataan ‘Aud (عَـودٌ), yang bererti ulangan. Ini kerana sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun atau kegembiraannya berulang setiap kali menjelang hari raya, atau banyak nikmat Allah SWT dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya pada hari raya tersebut.

Pada asasnya, terdapat dua hari raya dalam Islam iaitu hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri. Hari raya Aidilfitri ialah pada 1 Syawal, manakala hari raya Aidiladha ialah pada 10 Zulhijjah atau dikenali juga sebagai hari raya korban. Imam al-Suyuti menyebutkan, ‘Id merupakan kekhususan umat ini. Keberadaan dua hari ‘Id merupakan rahmat daripada Allah kepada umat ini. Anas  R.A menyatakan bahawa Nabi SAW datang ke Madinah dan penduduk Madinah mempunyai dua hari raya. Pada masa Jahiliyah, mereka bermain-main — yakni bergembira — pada dua hari raya tersebut.  Baginda bersabda: “Aku datang dan kamu mempunyai dua hari, yang menjadi medan permainan kamu ketika masa Jahiliyah. Kemudian Allah menggantikan dengan yang lebih baik daripada keduanya, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Lihat Ahkam al-‘idaian wa ‘Asyri Zil Hijjah, hlm. 9)

Terdapat banyak nas yang menggalakkan kita menghidupkan malam raya dengan berqiamullail dan sebagainya, di mana padanya terdapat keberkatan dan rahmat. Justeru, bergembira pada malam raya dengan memuja dan memuji kebesaran Ilahi dan bertakbir sudah pasti mempunyai banyak kelebihan.

Terdapat hadith daripada riwayat Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْعِيْدِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ

Maksudnya: “Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.”

Riwayat Ibn Majah (1782)

Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat Ibn Majah (1782). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai dhaif.

Terdapat juga hadith lain yang mempunyai makna yang hampir sama dengan hadith yang telah disebutkan. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani daripada ‘Ubadah bin al-Samit bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى لَيلَةَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ القُلُوب

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat pada malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat al-Tabarani (159) dalam al-Mu‘jam al-Ausat. Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/233) menyatakan bahawa hadith ini adalah lemah kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Umar bin Harun al-Balkhi.

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, didapati bahawa hadith-hadith berkenaan menghidupkan malam hari raya kebanyakannya adalah lemah. Namun, hadith-hadith tersebut hanyalah bersifat fadha’il ‘amal (kelebihan-kelebihan beramal) dan tidaklah melibatkan hukum-hakam seperti halal dan haram.

Justeru, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa ia boleh untuk diamalkan. Beliau menjelaskan bahawa Imam al-Syafi‘i dan para ulama mazhab Syafi‘i menganjurkan untuk menghidupkan malam hari raya walaupun hadith dalam perkara ini statusnya dhaif. Begitu juga beliau turut menyebutkan, beliau sudah menjelaskan prinsip dalam fadha’il ‘amal (kelebihan-kelebihan beramal) di mana hadith-hadith di dalamnya lebih dilonggarkan dan tetap diamalkan meskipun diketahui kedhaifannya di bahagian awal kitabnya.

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, para ulama mazhab al-Syafi‘i menjelaskan bahawa sangat dianjurkan untuk menghidupkan malam dua hari raya dengan memperbanyakkan solat atau ibadah-ibadah ketaatan yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/49)

Justeru, kita digalakkan untuk menghidupkan malam hari raya Aidiladha yang bersamaan dengan 10 Zulhijjah dengan mengerjakan pelbagai ibadah ketaatan seperti solat berjemaah, solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, melaungkan takbir pada malam hari raya dan sebagainya.

Ketujuh: Solat hari raya Aidiladha (10 Zulhijjah)

Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa hari raya Aidiladha bersamaan dengan 10 Zulhijjah. Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Ulama tafsir menyatakan maksud ‘sembahyang’ dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/221). Begitu juga terdapat hadith, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (889)

Selain daripada itu, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakkad. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.

Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah. Namun, sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga, ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukalaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah mendirikan solat di rumah sahaja. ( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/222)

Tambahan lagi, solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada seseorang yang bertanya tentang solat yang difardukan:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ

Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: ‘Adakah wajib atasku selain daripada itu?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.’”

(Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)

Selain daripada itu, berkenaan tempat menunaikannya, Imam al-Nawawi menyebutkan, ‘musalla’ (yakni tanah lapang) yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Tambahan lagi, beliau juga ada menyatakan, hadith ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat yang lapang dan ia lebih afdal daripada mendirikannya di masjid. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/177)

Akan tetapi bagi mazhab Syafi‘i, tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Hal ini kerana menunaikan solat hari raya lebih afdhal di masjid kecuali jika keadaan masjid itu sempit, maka ketika itu barulah afdhal menunaikannya di kawasan lapang. Nabi SAW menunaikan solat hari raya di kawasan lapang kerana masjid Baginda sempit dan tidak mampu untuk menampung jemaah yang ramai. ( Lihat al-Umm, 1/267)

Seterusnya, pengarang al-Fiqh al-Manhaji (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/223-225) turut menyebutkan, waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit sehingga ia tergelincir. Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِيْ يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ

Maksudnya: “Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah melakukan solat hari raya.”

Riwayat al-Bukhari (965)

Bermulanya hari adalah apabila fajar terbit. Pada waktu itu, dilakukan solat Subuh sebelum matahari terbit dan solat Zuhur selepas matahari gelincir. Namun, waktu solat hari raya yang afdhal adalah ketika matahari naik tinggi satu galah. Ini kerana Nabi SAW sentiasa melakukannya pada waktu tersebut.

Solat hari raya adalah sebagaimana solat dua rakaat yang lain. Ia dimulakan dengan takbiratul ihram, diikuti dengan doa Iftitah. Kemudian, bertakbir sebanyak 7 kali sambil mengangkat tangan, selari dengan bahu, sebagaimana takbiratul ihram. Hendaklah diselangi di antara sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat membaca tasbih: “سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ”.

Seterusnya, membaca ta‘awwuz dan surah al-Fatihah. Kemudian, membaca pula satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat kedua, hendaklah bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan dan setiap takbir diselangi dengan tasbih, sebagaimana yang disebutkan tadi.

Semua takbir tambahan ini hanyalah sunat sahaja. Jika terlupa melakukannya dan telah memulai bacaan surah al-Fatihah, sunatnya telah terluput. Namun, solatnya tetap sah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Umar R.A, beliau berkata:

صَلاَةُ الْفِطْرِ رَكْعَتَانِ وَصَلاَةُ الأَضْحَى رَكْعَتَانِ ثُمَّ قَالَ: عَلَى لِسَانِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat Aidilfitri dua rakaat dan solat Aidiladha dua rakaat. Seterusnya, dia berkata: ‘Hal ini melalui lisan Nabi Muhammad SAW.’”

Riwayat al-Nasa’i (1566), Ibn Majah (1064), Ahmad (257) dan Ibn Khuzaimah (1425). Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (5/15) menilai hadith ini sebagai hasan.

Selepas selesai solat hari raya, sunat melakukan dua khutbah. Khutbah hendaklah dibacakan selepas solat hari raya. Ia berlainan daripada khutbah Jumaat. Cara ini adalah mengikut perbuatan Nabi SAW. Hal ini berdasarkan hadith, Ibn Umar R.Anhuma berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ كَانُوا يُصَلُّونَ الْعِيْدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar melakukan solat hari raya sebelum berkhutbah.”

Riwayat al-Bukhari (962) dan Muslim (888)

Hadith seterusnya, Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ فِطْرٍ وأَضْحَى، فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ

Maksudnya: “Aku keluar bersama-sama Nabi SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, lalu Baginda bersolat, kemudian Baginda berkhutbah.”

Riwayat al-Bukhari (975) dan Muslim (884)

Semua rukun dan sunat khutbah hari raya adalah sama sebagaimana khutbah Jumaat. Terdapat riwayat daripada ‘Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah bin Mas‘ud R.A, katanya:

السُّنَةُ أَنْ يَخْطُبَ الإِمَامُ فِي العِيْدَيْنِ خُطْبَتَيْنِ يفْصِلُ بَيْنَهُمَا بِجُلُوْسٍ

Maksudnya: “Menurut sunnah, imam berkhutbah pada kedua-dua hari raya tersebut sebanyak dua kali khutbah yang diselangi dengan duduk.” 

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2613) dan Imam al-Syafi‘i dalam Musnadnya (hlm. 77)

Khutbah yang pertama sunat dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali dan khutbah yang kedua dengan takbir sebanyak tujuh kali. Hal ini berdasarkan riwayat daripada ‘Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah bin Mas‘ud R.A, katanya:

السُّنَّةُ أَنْ تُفْتَتَحَ الْخُطْبَةُ بِتِسْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى، وَالثَّانِيَةِ بِسَبْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى

Maksudnya: “Menurut sunnah, khutbah dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut dan khutbah yang kedua dimulakan dengan takbir sebanyak tujuh kali berturut-turut.” 

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Sughra (700). Lihat juga Nail al-Autar, (3/305).

Kelapan: Bertakbir pada waktu subuh Hari ‘Arafah sehingga waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.

Terlebih dahulu terdapat riwayat daripada Ali dan ‘Ammar R.Anhuma bahawa:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya:Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari ‘Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan berhenti melakukannya selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.

(Riwayat al-Hakim (1125) dan beliau menilai sanadnya sebagai sahih.)

Bertakbir semasa hari-hari raya adalah syiar yang disunatkan kita melaksanakannya. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan, disunatkan bagi lelaki untuk menguatkan suaranya ketika bertakbir dan sighahnya yang masyur:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ. اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Seterusnya, takbir terbahagi kepada dua jenis iaitu; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

  1. Takbir Mursal: Ia juga disebut sebagai Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu-waktu solat. Justeru, disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa, dan ia terdapat pada Aidilfitri dan Aidiladha. Waktunya adalah bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya.
  2. Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat selepas solat, tidak kira solat fardhu ataupun sunat, solat dalam waktunya (أداءً) ataupun solat qadha’ sekalipun solat jenaza, dan ia hanya terdapat pada Aidiladha. Waktunya pula dibezakan antara orang yang mengerjakan haji dengan orang yang tidak mengerjakan haji.

Bagi orang yang tidak mengerjakan haji, waktunya bermula pada waktu Subuh hari ‘Arafah — di mana Ibn Hajar berpendapat waktunya bermula selepas mendirikan solat Subuh, sedangkan al-Ramli pula berpendapat, ia bermula sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Lalu waktu bertakbir itu berterusan sehinggalah hari terakhir daripada hari-hari tasyriq. Berkenaan waktu tamatnya ini, Ibn Hajar berpendapat, ia tamat dengan mendirikan solat Asar, manakala al-Ramli pula berpendapat, ia berterusan sehingga tenggelamnya matahari.

Manakala bagi orang yang mengerjakan haji pula, waktu untuk mereka bertakbir bermula apabila masuknya waktu Zuhur hari al-Nahr (10 Zulhijjah) sehingga waktu Subuh pada hari terakhir daripada hari-hari tasyriq — yakni waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar —sama seperti orang lain yang tidak mengerjakan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 345-346)

Kesimpulan

Oleh itu, mudah-mudahan sedikit sebanyak amalan-amalan yang disebutkan ini dapat diberi perhatian dan seterusnya diamalkan oleh kita semua, lebih-lebih dalam bulan Zulhijjah ini. Tidak dapat dinafikan juga bahawa bulan Zulhijjah terutamanya 10 harinya terawal termasuk dalam hari-hari yang dititik beratkan oleh para ulama dalam meningkatkan lagi amalan-amalan mereka.

Kami akhiri dengan menyebutkan semula riwayat Ibn Abbas R.Anhuma berkenaan kelebihan bulan Zulhijjah terutamanya 10 hari yang terawal yang mana semua ganjaran pahala dilipat gandakan. Baginda SAW bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Riwayat al-Bukhari (969)

Ibn Rejab menyimpulkan dan menegaskan bahawa riwayat Ibn Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amalan soleh yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian sudah pun menjadi dalil (yang kuat) dalam perkara ini. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 260-262)

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 4 Julai 2022 bersamaan 4 Dzulhijjah 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *