#1057 Kelebihan Berdoa pada Hari ‘Arafah adalah untuk Semua
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah fadhilat dan kelebihan doa hari ‘Arafah ini hanya khusus buat mereka yang mengerjakan haji atau umum buat semua? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, hari ‘Arafah merujuk kepada hari di mana jemaah haji berwuquf di ‘Arafah pada 9 Zulhijjah. Berwuquf di ‘Arafah merupakan rukun haji yang terpenting, sehinggakan seolah-olah haji dilihat terbatas dengan ‘Arafah. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya‘mur al-Diyali bahawa orang ramai dari Najad datang menemui Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di ‘Arafah, lalu bertanya kepadanya. Maka, Baginda memerintahkan kepada seseoang untuk menyeru:
الْحَجُّ عَرَفَةُ، مَنْ جَاءَ لَيْلَةَ جَمْعٍ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَقَدْ أَدْرَكَ الْحَجَّ
Maksudnya: “Haji adalah ‘Arafah. Sesiapa yang datang di ‘Arafah pada hari Nahr malam sebelum fajar terbit, maka dia dikira melakukan haji.”[1]
Oleh itu, berwuquf di ‘Arafah merupakan amalan haji yang terpenting, rukun haji yang paling dikenali berdasarkan hadith di atas, dan kaum Muslimin telah menyatakan ijmak bahawa ia adalah salah satu daripada rukun-rukun haji.[2]
Tidak dapat dinafikan bahawa di sana terdapat banyak kelebihan dan fadhilat hari ‘Arafah. Di antaranya, terdapat galakkan dan anjuran untuk memperbanyakkan doa pada hari ‘Arafah secara khusus. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik zikir yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah, ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”[3]
Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah doa yang paling cepat dipenuhi dan dikabulkan.[4]
Begitu juga terdapat riwayat daripada Talhah bin ‘Ubaidillah secara mursal:
أفضلُ الدُّعاءِ دعاءُ يومِ عرَفةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik (afdhal) doa ialah doa pada hari ‘Arafah.”[5]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berselisih pendapat berkenaan adakah fadhilat doa hari ‘Arafah ini hanya khusus buat mereka yang mengerjakan haji atau umum buat semua? Pendapat yang tepatnya, ia adalah bersifat umum kerana keutamaannya adalah keutamaan pada hari ‘Arafah. Namun, tidak syak lagi bahawa sesiapa yang berada di padang ‘Arafah telah berkumpul pada dirinya dua kelebihan iaitu kelebihan tempat dan masa.
Al-Baji menyatakan, lafaz “أفضلُ الدُّعاءِ دعاءُ يومِ عرَفةَ” bermaksud zikir yang paling banyak berkat, paling besar pahala dan paling hampir untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, terdapat kebarangkalian bahawa maknanya adalah khusus buat jemaah haji kerana makna doa pada hari ‘Arafah untuk hak mereka memang sah, dikhususkan untuk mereka, sekalipun disifatkan hari secara umumnya dengan nama hari ‘Arafah. Hal ini kerana ia disifatkan berdasarkan kepada perbuatan jemaah haji pada hari tersebut.[6]
Sesungguhnya telah sabit daripada sebahagian ulama salaf bahawa mereka membolehkan al-Ta‘rif iaitu berhimpun dalam masjid bagi berdoa dan berzikir kepada Allah pada hari ‘Arafah. Di antara mereka yang melakukannya ialah Ibn Abbas R.Anhuma dan Imam Ahmad juga membolehkannya sekalipun dia tidak melakukannya.
Mengenai hal ini, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya dengan menukilkan pendapat al-Qadhi bahawa tidak mengapa melakukan al-Ta‘rif iaitu berhimpun pada waktu petang hari ‘Arafah di tempat selain ‘Arafah. Begitu juga al-Athram menyebutkan, dia bertanya kepada Imam Ahmad berkenaan perbuatan berhimpun di tempat selain ‘Arafah di masjid-masjid pada hari ‘Arafah. Imam Ahmad menjawab: “Aku berharap perbuatan ini tidak mengapa kerana ia telah dilakukan oleh ramai orang.”
Selain itu, al-Athram juga meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini di Basrah ialah Ibn Abbas. Manakala Imam Ahmad pula meyebutkan bahawa orang pertama yang melakukan perbuatan ini ialah Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith. Selain daripada itu, al-Hasan, Bakr dan Muhammad bin Wasi‘ menyebutkan, dahulu mereka berkumpul di masjid pada hari ‘Arafah.
Tambahan lagi Imam Ahmad berkata, tidak mengapa dengan perbuatan tersebut kerana ia adalah doa dan zikrullah. Kemudian, ditanyakan kepadanya, adakah dia melakukannya? Dia menjawab: “Adapun aku, tidak melakukannya.” Begitu juga diriwayatkan daripada Yahya bin Ma‘in bahawasanya dia hadir bersama orang ramai pada petang hari ‘Arafah.[7]
Kesimpulan
Oleh itu, jelaslah bahawa fadhilat dan kelebihan berdoa pada hari ‘Arafah adalah bersifat umum untuk semua dan bukannya khusus hanya untuk jemaah haji sahaja. Sekalipun perbuatan berkumpul bagi berdoa dan berzikir di masjid-masjid di tempat selain ‘Arafah pada hari ‘Arafah tidak sabit dilakukan oleh Nabi SAW, dan oleh sebab itulah juga Imam Ahmad tidak melakukannya. Akan tetapi Imam Ahmad memberi keringanan dan tidak melarangnya kerana perbuatan tersebut sabit bahawa ia dilakukan oleh sebahagian sahabat seperti Ibn Abbas dan ‘Amr bin Huraith.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 6 Julai 2022 bersamaan 6 Dzulhijjah 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat Abu Dawud (1949); al-Nasa’i (3016); al-Tirmizi (889); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (2/218) menilai sanadnya sebagai sahih. Begitu juga Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/95) menilainya sebagai sahih.
[2] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/332.
[3] Riwayat al-Tirmizi (3585)
[4] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/33.
[5] Riwayat Malik dalam Muwatta’ (500); riwayat al-Baihaqi (8651); dan pengarang kitab al-Silsilah al-Sahihah (7/4) menilai sanadnya sebagai mursal sahih.
[6] Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/358.
[7] Lihat al-Mughni, 3/295.