#1062 Status Hadith Hari Arafah Yang Bertepatan Hari Jumaat Menyamai 70 Kali Haji

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Apakah benar bahawa terdapat hadith yang menyatakan bahawa jika hari arafah bertepatan dengan hari jumaat, ia bersamaan dengan 70 kali haji? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkemungkinan hadith yang dimaksudkan ialah sebagaimana yang dikatakan:

أَفْضَل الأَيَّامِ يَوْمُ عَرَفَةَ إِذَا وَافَقَ يَوْمَ جُمُعَةٍ، وَهُوَ أَفْضَل مِنْ سَبْعِينَ حِجَّةً فِي غَيْرِ جُمُعَةٍ

Maksudnya: Sebaik-baik hari ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat. Ia lebih baik daripada 70 haji pada hari selain hari Jumaat.

Komentar Ulama’ Berkenaan Hadith ini

  • Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Sedang apa yang disebutkan oleh Razin di dalam kitab Jami’nya secara marfu “Lebih utamanya terbitnya matahari adalah hari arafah yang bertepatan dengan hari jumaat, ia lebih utama berbanding 70 kali haji selain hari jumaat” ialah hadith yang tidak aku ketahui keberadaannya kerana ia tidak menyebutkan daripada siapa dia mendapatkannya, siapa perawinya. ia di’idraj’kan dalam hadith al-muwatta yang telah diriwayatkan secara mursal daripada Talhah bin Abdullah bin Kuraiz dan tidak ada tambahan lafaz sebagaimana yang disebut itu di dalam kitab al-Muwatta’. Sekiranya hadith tersebut ada asalnya, berkemungkinan yang dimaksudkan ialah 70 pembatasan atau hal-hal yang bersifat melebih-lebihkannya. Apabila demikian, maka terdapat keistimewaan padanya. [1]
  • Ibn al-Qayyim berkata: Adapun perkara yang biasa dikatakan dalam kalangan orang ramai bahawa ia sama dengan tujuh puluh dua haji, ini adalah batil dan tidak ada asal yang datang daripada Rasulullah atau dari mana-mana Sahabah atau Taabi’in.[2].
  • Pengarang kitab al-Silsilah al-Dha’ifah[3] setelah meneliti bahawa hadith ini tidak ada asasnya, beliau berkata: Adapun pandangan al-Zayla’i – menurut apa yang dikatakan dalam Hashiyah Ibn ‘Abidin[4]: Diriwayatkan oleh Razin ibn Mu’awiyah dalam Tajrid al-Sihah – perlu diperhatikan bahawa kitab beliau ini ialah kompilasi enam kitab Sunnah – al-Sahihain, Muwatta’ Malik, Sunan Abi Dawud, al-Nasa’ie dan al-Tirmizi – serupa sepertimana kitab Ibn al-Athir yang bertajuk Jami’ al-Usul min Ahadith al-Rasul, tetapi dalam al-Tajrid ini terdapat banyak hadith yang tidak ada asasnya dalam mana-mana sumber ini. Tambahan pula, dalam kitab itu juga dapat diketahui daripada apa yang diriwayatkan oleh para ulama daripadanya, seperti al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib, dan hadith ini daripada jenis itu, iaitu yang tidak ada asas untuknya dalam kitab-kitab ini, atau dalam mana-mana kitab hadith yang terkenal. Hal ini juga disokong oleh al-Munawi dalam Faidh al-Qadir[5].
  • Al-Sakhawi berkata dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah: Hal ini telah disebutkan oleh Razin dalam Jami’nya dan disandarkan kepada Nabi SAW, tetapi beliau tidak menyebut para Sahabat yang meriwayatkannya atau sesiapa yang meriwayatkannya. [6]
  • Ibn Nasir al-Din al-Dimasyqi berkata dalam Juz’ min Fadhl Yaum ‘Arafah: Hadith “Jika hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, ia menyamai tujuh puluh dua haji” adalah hadith palsu dan tidak sahih. Begitu juga dengan diriwayatkan daripada Zur ibn Hubaisy, bahawa “wuquf pada hari jumaat lebih baik daripada tujuh puluh haji pada hari selain Jumaat” ialah riwayat yang tidak thabit daripada Nabi SAW.[7]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya berkenaan hal ini, maka beliau menjawab: Tidak ada riwayat daripada Nabi SAW tentang adanya fadhilat khusus pada hari Arafah sekiranya ia bertepatan dengan hari jumaat, tetapi para ulama mengatakan jika ia bertepatan dengan hari Jumaat, itu ialah satu perkara yang baik sebagaimana berikut:

Pertama: Hajinya adalah seperti Haji Nabi SAW, kerana Nabi SAW berwuquf di Arafah pada hari Jumaat.

Kedua: Pada hari Jumaat terdapat satu waktu di mana tidak ada seorang hamba muslim yang berdiri untuk berdoa dan meminta sesuatu kepada Tuhannya melainkan Allah akan mengkabulkannya, maka jika wuquf di Arafah bertepatan dengan waktu itu, maka ia lebih mudah untuk dikabulkan oleh Allah SWT.

Ketiga: Hari Arafah adalah hari raya dan hari jumaat adalah hari raya, maka jika dua hari raya itu bersatu, itu adalah perkara yang baik.

Adapun pendapat umum bahawa haji pada hari Jumaat adalah bersamaan dengan tujuh puluh haji, maka hal ini tidak benar. [8]

Para ulama’ di dalam Lajnah al-Daimah  pernah ditanya berkenaan kenyataan yang mengatakan bahawa jika hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, seperti tahun ini, ia seperti mengerjakan tujuh kali haji. Adakah dalil daripada sunnah berkenaan hal itu, maka mereka menjawab:  Tidak ada dalil yang sahih berkenaan hal ini. Sesetengah orang mendakwa bahawa ia bersamaan dengan tujuh puluh haji, atau tujuh puluh dua kali haji selain hari jumaat, tetapi kenyataan itu juga tidak sahih. [9]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, hadith yang menyatakan bahawa Sebaik-baik hari ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat. Ia lebih baik daripada 70 haji pada hari selain hari Jumaat” ialah tidak sahih dan tidak ada asal padanya yang datang daripada Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’in sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’ berkenaan hal ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa jika hari arafah berlaku pada hari jumaat ia merupakan perkara yang baik kerana terkumpulnya dua kebaikan dan kelebihan dalam satu masa.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Julai 2022 bersamaan 7 Zulhijjah 1443H

[1] Lihat Fath al-Bari, 8/271

[2] Lihat Zad al-Ma’ad, 1/65

[3] Lihat al-Silsilah al-Dha’ifah (207)

[4] Lihat Hashiyah Ibn ‘Abidin, 2/348

[5] Lihat Faidh al-Qadir, 2/28

[6] Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, 2/105

[7] Lihat Juz’ min Fadhl Yaum ‘Arafah, hlm. 47

[8] Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 21/35

[9] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/210, 211

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *