#1072: Ayat al-Quran Hilang dari Mushaf

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Baru-baru ini, dikatakan berlaku satu perkara yang boleh kita katakan pelik, apabila seorang lelaki mendapati terdapat beberapa helaian al-Quran yang mana ayatnya hilang daripada mushaf. Boleh ustaz beri ulasan tentang isu ini?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”[1]

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

MaksudnyaBacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.[2]

 

Makna al-Quran

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan.[3] Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.” [4]

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya).[5]

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”[6]

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar).[7]

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[8]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[9]

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.[10]

 

Maksud Mushaf[11] al-Quran

Syeikh Muhammad bin Umar dalam mendefinisikan maksud al-mushaf menyatakan: Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.[12]

Menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-KuwaitiyahAl-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT antara dua kulit. Mushaf pula adalah apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Quran atau apa yang disebut sebagai mushaf secara uruf atau ditulis padanya sedikit ayat al-Quran seperti hizib.[13]

Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya, iaitu apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah di permukaan bumi. Jika sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air maka ia bukanlah sebagai tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi.[14]

Justeru, Ia dikira mushaf sekiranya apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Qur’an, atau ia yang dikenali sebagai mushaf secara uruf dan adat, walaupun ia ayatnya sikit seperti 1 hizb sepertimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi ataupun kurang daripada itu, seperti kertas yang mengandungi beberapa surah al-Quran, papan, atau tempat yang bertulis.[15]

Al-Kasani menyatakan: “Dan dikatakan bahawa al-Quran itu mushaf. Hal ini kerana ia telah dikumpulkan daripada pelbagai lembaran daripada tangan para Sahabat, dan dikatakan: Kerana ia mengumpulkan dan memuatkan – secara ringkasan- semua yang ada dalam kitab para nabi dan lembaran mereka secara tidak terperinci”.[16]

Perbezaan antara Mushaf dan al-Quran

Daripada sudut perbahasan bahasa bagi lafaz “Quran” dan lafaz “Mushaf”, dan apa yang didefinisikan berkenaannya, Dapat difahami perbezaan antara al-Quran dan Mushaf, iaitu:

Mushaf ialah nama bagi apa yang ditulis padanya ayat-ayat al-Quran, yang digabungkan dan dikumpulkan antara dua kulit buku, Manakala al-Quran ialah nama bagi Kalam Allah yang tertulis di dalam Mushaf.[17]

Selain itu, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mashaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai wudhu’ serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit.[18]

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa mushaf bermaksud apa yang ditulis padanya al-Quran secara keseluruhan ataupun sebahagiannya secara juzuk ataupun hizib.

 

Janji Allah Terhadap al-Quran

Allah SWT telah menurunkan al-Quran kepada Nabi-Nya Muhammad SAW dan bersama penurunan itu, Allah SWT telah berjanji bahawa Dia yang akan menjaganya. Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.[19]

Kata Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya.[20] 

Kata Ibn Kathir pula: “Allah menegaskan bahawa Dialah yang menurunkan al-Zikr iaitu al-Quran dan Dialah yang memeliharanya dari sebarang pengubahan dan penyelewengan.”[21]

Manakala di dalam surah yang lain pula, Allah SWT berfirman:

وَلَئِن شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلًا

Maksudnya: “Dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami akan hilangkan apa-apa yang telah Kami wahyukan kepada kamu kemudian kamu tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya.[22]

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Tabari menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibn Mas’ud R.A bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya dari dada-dada para qurra’.[23]

Manakala al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata: Sebagaimana Kami mampu untuk menurunkan al-Quran ini begitu juga Kami mampu untuk menghilangkannya iaitu ia dilupakan di sisi manusia.

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Siyaq ayat ini menunjukkan bahawa perkara ini tidak berlaku pun kerana Allah SWT berfirman: ‘وَلَئِن شِئْنَا’ iaitu ‘Kalaulah Kami berkehendak, maka Kami boleh melakukan perkara itu’. Ini menunjukkan perbuatan itu tidak berlaku. Makna yang dikehendaki daripada ayat ini adalah untuk menjelaskan bahawa perkara itu boleh berlaku. Tujuannya adalah untuk membersihkan kedudukan Nabi SAW, dan bahawasanya Baginda SAW tidak ada sebarang kaitan dengan al-Quran (kerana al-Quran semuanya datang daripada Allah SWT).[24]

Nas Hadis tentang Pemeliharaan al-Quran dan Kemudian Diangkat

Terdapat banyak nas hadis yang menunjukkan pemeliharaan al-Quran dan akhirnya diangkat sehingga tiada sebarang ayat pun yang tinggal, antaranya:

Pertama: Daripada Abdullah bin Mas’ud RA:

لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ

Maksudnya“Akan ditinggalkan al-Quran  pada malam tersebut dan tidak akan kekal satu ayat di dalam mushaf (al-Quran) dan juga di dalam hati seseorang melainkan ia (al-Quran) telah diangkat.”[25]

Berdasarkan apa yang diriwayatkan berkaitan bab ini apa yang disebut oleh Muhammad bin Nasr pada bangun di waktu malam, daripada hadis Abdullah bin Amr, beliau berkata: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga al-Quran itu kembali sebagaimana ia diturunkan. Padanya bunyi di sekitar arasy seperti bunyi lebah.” Lalu berkata: “Kamu baca tetapi tidak beramal denganku”. Daripada Hassan: Allah SWT tidak mengutus seorang rasul melainkan diturunkan bersamanya kitab, sama ada ia diterima oleh kaumnya atau Kami angkatnya kembali, berdasarkan firman Allah SWT:

أَفَنَضْرِبُ عَنكُمُ الذِّكْرَ صَفْحًا أَن كُنتُمْ قَوْمًا مُّسْرِفِينَ

Maksudnya: Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? (Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya).[26]

Jika mereka tidak mahu menerimanya maka Kami akan meletakkannya ke dalam hati-hati orang lain. Tetapi mereka menjawab: “Kami terimanya wahai Tuhan kami, jika kamu tidak mahu beramal dengannya akan kami angkat dan tidak akan turun daripadanya lagi di atas muka bumi ini.” Telah berkata al-Laith bin Sa’ad: “Dikatakan al-Quran itu terangkat apabila manusia mula meninggalkan al-Quran.”[27]

Kedua: Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA:

يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.

Maksudnya: “Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak diketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedeqah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah mengucapkannya sebanyak tiga kali.”[28]

Hadis ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya al-Quran ini akan diangkat kembali kepada-Nya.[29]

Nas ini dengan jelas menunjukkan saat al-Quran dihapuskan daripada mushaf, maka itu merupakan tanda-tanda kiamat. Hal ini terjadi kepada semua mushaf dan bukan sebuah atau dua buah sahaja. Inilah yang difahami.

 

Pendapat Ulama

Kami kemukakan di sini beberapa pandangan ulama, antaranya:

Pertama: Amru Bin Dinar berkata: “Aku mendapati ramai guru-guru kami sejak 70 tahun berkata: “Al-Quran adalah Kalam Allah datang daripada-Nya dan kepada-Nya akan kembali.”

Kedua: Ibn Rajab berkata: “Perkara pertama yang diangkat daripada ilmu adalah ilmu bermanfaat…..sehingga tiada kekal kecuali al-Quran dalam mushaf, dan kemudian diangkatnya pada akhir zaman.”

Ketiga: Syeikh al-Islam berkata: “Al-Quran akan diangkat pada akhir zaman daripada mushaf dan dada sehingga tiada kekal pada dada manusia walau satu kalimah dan pada mushaf walau satu huruf.” [30]

 

Kesimpulan

Setelah meneliti nas-nas Al-Quran dan juga hadith-hadith yang berkaitan, jelas di sini menunjukkan bahawa al-Quran tetap terpelihara sehingga hari kiamat dan sehingga apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Justeru, apa yang berlaku sepertimana dalam soalan di atas bukanlah bermaksud al-Quran itu diangkat ke langit, kerana maksud yang sebenarnya ialah diangkat semua iaitu hilang huruf dan ayat dari mushaf begitu jua dengan ketiadaan huffaz.

Kami berpendapat kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diambil kira. Antaranya:

  • Berlakunya salah cetak terhadap mushaf itu.
  • Mutu kualiti kertas yang digunakan adalah dari jenis yang rendah.
  • Semakan yang tidak rapi terhadap mushaf tersebut.
  • Terlangkah atau terlangkau ayat ketika proses percetakan berlaku.
  • Mutu dakwat yang digunakan kurang berkualiti yang mana boleh membawa kepada hakisan.

Kami berpendapat sedemikian kerana, terdapat banyak lagi syarikat percetakan yang berwibawa seperti Majma’ Malik al-Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi tidak berlaku masalah seperti ini.

Justeru kami menasihati orang ramai jika terdapatnya ayat-ayat yang terhapus dari mushaf maka hendaklah dibawakan kepada badan agama yang berautoriti untuk diajukan aduan dan semakan.

Seterusnya, kita boleh mengambil manfaat dari apa yang berlaku untuk kita memupuk rasa kasih, cinta dan menjunjung Al-Quran seterusnya belajar, membaca serta mentadabbur maknanya dan dijadikan pedoman.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَرْجِعَ الْقُرْآنُ حَيْثُ نَزَلَ، لَهُ دَوِيٌّ حَوْلَ الْعَرْشِ، كَدَوِيِّ النَّحْلِ، يَقُولُ الرَّبُّ: مَا لَكَ؟ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أُتْلَى، وَلا يُعْمَلُ بِي

Maksudnya: “Tidak akan terjadi hari kiamat sampai al-Qur’an itu dikembalikan ke tempat asal turunnya, ia mempunyai dengungan di sekitar Arasy sebagaimana dengungan lebah. Allah SWT berfirman: ‘Ada apa denganmu?’ Ia (Al-Qur’an) menjawab, ‘Wahai Rabb-ku, aku ini dibaca namun tidak diamalkan.”[31]

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar kita semua diberikan kefahaman untuk memahami al-Quran, seterusnya mengamalikannya di dalam kehidupan seharian. Amin.

Bertarikh: 1 Ogos 2022 bersamaan 3 Muharram 1443H

[1] Riwayat al-Tirmizi (2910)

[2] Riwayat Muslim (804)

[3] Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49

[4] Surah al-Qiyamah: 17-18

[5] Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722

[6] Surah al-Isra’: 78

[7] Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198

[8] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[9] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[10] Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 21

[11] Boleh dibaca dengan mushaf, mashaf dan mishaf mengikut ahli lughah (pakar bahasa).

[12] Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 32

[13] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/5

[14] Lihat Hasyiah al-Bujairimi al-Khatib, 3/498

[15] Lihat Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 1/125 dan Hasyiah al-Qalyubi ‘ala Minhaj al-Talibin, 1/35

[16] Lihat Basair Dzawi al-Tamyiz fi Lataif al-Kitab al-Aziz, 1/87

[17] Lihat Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Sharaie’, 3/8-9

[18] Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran JAKIM, hlm. 7

[19] Surah al-Hijr: 9

[20] Lihat Tafsir al-Tabari, 17/68

[21] Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 4/527

[22] Surah al-Isra’: 86

[23] Lihat Tafsir al-Tabari, 1/290

[24] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 14/8725

[25] Riwayat al-Darimi (3209) dengan sanad yang sahih

[26] Surah al-Zukhruf: 5

[27] Lihat Fath al-Mannan10/488

[28] Riwayat Ibn Majah (4039). Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan sanad bagi hadis ini kuat.

[29] Lihat Lum’ah al-I’tikad, 7/9

[30] Lihat Majmu’ al-Fatawa, 3/198

[31] Riwayat al-Darimi dalam al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah (343) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (7513). Al-Baghawi turut menukilkan dalam Syarh al-Sunnah (1/317) dan Ma’alim al-Tanzil (5/127). Al-Qurtubi menukilkan dalam Jami’ al-Ahkam fi Tafsir al-Quran (10/326). Al-Jurqani dalam al-Abatil wa al-Manakir (2/342) menilai riwayat ini sebagai bathil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *