#108 Bacaan Rukun Qauli dalam Solat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya sedang menuntut di Australia. Semasa menunaikan solat berjemaah, saya tidak pernah mendengar bunyi bacaan jemaah bangsa Arab yang lain. Saya juga pernah ditegur kerana membaca al-Fatihah walaupun sekadar didengari oleh saya sahaja kerana dianggap mengganggu. Mohon pandangan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada lima iaitu:

  • Takbiratul ihram
  • Bacaan Surah al-Fatihah
  • Bacaan tasyahhud akhir
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir
  • Salam

Kesemua rukun-rukun qauli ini perlu dibaca, disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya. Syeikh Sulaiman al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri begitu juga dengan rukun qauli yang lain. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189).

Imam al-Nawawi menyebut bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar. (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/242).

Beliau menyebut lagi di dalam al-Majmu’: “Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan Al-Fatihan, surah, tasbih, tasyahhud, salam, doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat. Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/394).

Dalam kitab I’anah al-Talibin (3/295) turut dijelaskan: (Dan wajib mendengar) yakni Takbiratul ihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik, dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahhud akhir dan memberi salam.

Selain itu, dalam mazhab al-Syafie, makruh jika dikuatkan suara bacaan sehingga didengari oleh orang sebelah dan mengganggunya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار

Maksudnya: “Tidak ada perbuatan melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan kepada orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341); Ahmad (22778); al-Daraqutni (4/228); Imam Malik dalam Muwatta’ (2/746)

Marilah sama-sama kita mempelajari agama kita dengan lebih mendalam terutamanya dalam bab Fiqh al-Solah dan lain-lain agar sentiasa menepati Syariat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *