#1083 Berkahwin dalam Ihram

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Apakah hukum berkahwin ketika dalam ihram dan benarkah Rasulullah SAW menikahi Maimunah R.Anha ketika dalam ihram?  Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Maimunah R.Anha dalam keadaan Baginda berihram ataupun tidak.

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa para fuqaha’ berselisih pendapat berkenaan hukum sah perkahwinan ketika berihram. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (41/349-350) dinyatakan, jumhur ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa pernikahan ketika dalam keadaan berihram adalah tidak sah, tidak kira orang itu ialah suami, atau isteri, atau wali yang melakukan akad pernikahan bagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad pernikahan kepada orang yang diwakilkannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لاَ يَنْكِحُ الْمُحْرِمُ وَلاَ يُنْكَحُ وَلاَ يَخْطُبُ

Maksudnya:Orang yang dalam keadaan ihram tidak boleh bernikah, mahupun dinikahkan atau meminang.”

Riwayat Muslim (1409)

Manakala Ibn Abbas R.Anhuma dan ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, perkahwinan orang yang dalam keadaan berihram haji atau umrah adalah sah, sehinggakan jika kedua-duanya (suami isteri) dalam ihram. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ وَهُوَ مُحْرِمٌ.

Maksudnya:Nabi SAW menikahi Maimunah ketika Baginda masih dalam keadaan ihram.”

Riwayat al-Bukhari (1837) dan Muslim (1410)

Walau bagaimanapun, terdapat riwayat daripada Yazid bin al-Asam, daripada Maimunah R.Anha, katanya:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَنَحْنُ حَلَالَانِ بِسَرِفَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengahwiniku dan kami dalam keadaan halal (tidak berihram) di Sarif.

Riwayat Abu Daud (1843)

Begitu juga dalam riwayat yang lain, daripada Yazid bin al-Asam, (katanya): Maimunah binti al-Harith R.Anha menyampaikan kepadaku bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَهَا وَهُوَ حَلَالٌ. قَالَ : وَكَانَتْ خَالَتِي وَخَالَةَ ابْنِ عَبَّاسٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW menikahinya (Maimunah R.Anha), dan Baginda ketika itu dalam keadaan halal. Beliau berkata: ‘Maimunah ialah ibu saudaraku dan ibu saudara Ibn Abbas.’

Riwayat Muslim (1411)

Demikianlah juga riwayat daripada Abu Rafi‘ maula Rasulullah SAW bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ حَلَالًا وَبَنَى بِهَا حَلَالًا وَكُنْتُ الرَّسُولَ بَيْنَهُمَا

Maksudnya:Rasulullah SAW menikahi Maimunah dalam keadaan halal (tidak berihram), menggaulinya juga dalam keadaan halal, dan aku adalah utusan antara keduanya.”

Riwayat Ahmad (26656); Ibn al-Qayyim dalam al-Zad (3/373) menilainya sebagai sahih.

Tambahan lagi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menyebutkan, pendapat yang masyhur di sisi majoriti ulama adalah bahawasanya Baginda SAW mengahwini Maimunah R.Anha dalam keadaan halal (tidak berihram). (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 18/73).

Inilah yang disebut oleh Syeikh al-Islam dan pendapat yang dipegang oleh kebanyakan sahabat serta jumhur ulama bahawa Nabi SAW menikahi Maimunah R.Anha dalam keadaan halal. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai jawapan ke atas hadith Ibn Abbas tersebut. Di antara jawapan mereka yang paling kuat ialah Ibn Abbas R.Anhuma telah terkeliru, di mana beliau menyangka Nabi SAW menikahinya ketika Baginda masih dalam keadaan berihram.

Selain itu, berkenaan hal ini juga, Ibn al-Qayyim turut menjelaskan, terdapat perselisihan dalam kalangan ulama; adakah Nabi SAW menikahi Maimunah dalam keadaan halal atau dalam keadaan berihram? Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat, Baginda menikahinya dalam keadaan berihram. Manakala Abu Rafi‘ pula berpendapat, Baginda menikahinya dalam keadaan halal dan beliau adalah utusan antara keduanya. Pendapat Abu Rafi‘ ini adalah lebih kuat berdasarkan beberapa sudut:

Pertama: Pada waktu itu, Abu Rafi‘ ialah seorang lelaki yang baligh, sedangkan Ibn Abbas pula masih belum lagi mencapai usia baligh, sebaliknya beliau baru berusia sekitar 10 tahun. Justeru, Abu Rafi‘ adalah lebih ahfaz daripadanya.

Kedua: Abu Rafi‘ adalah utusan (perantara) antara Rasulullah SAW dan Maimunah R.Anha. Di tangannya terjadi perbincangan. Oleh itu, beliau lebih mengetahui berkenaan peristiwa tersebut berbanding Ibn Abbas tanpa sebarang syak. Bahkan beliau sendiri telah memberi isyarat berkenaan hal tersebut dengan penuh pasti dan yakin tanpa menukilnya daripada orang lain, kerana beliau sendiri yang mengalaminya (terlibat dalam peristiwa tersebut).

Ketiga: Ibn Abbas R.Anhuma tidak bersamanya dalam umrah tersebut. Hal ini kerana umrah tersebut adalah umrah qadha’. Sedangkan Ibn Abbas waktu itu tergolong dalam kalangan orang lemah yang Allah SWT berikan keuzuran daripada kalangan anak-anak. Maka beliau mendengar kisah mengenai peristiwa tersebut (daripada orang lain) tanpa menyaksikannya sendiri.

Keempat: Sesungguhnya Nabi SAW ketika masuk Makkah, Baginda memulakan dengan melakukan tawaf di Kaabah, kemudian sa‘i antara safa dan marwah, bercukur, kemudian tahallul. Sebagaimana yang diketahui bahawasanya Baginda SAW tidak menikahinya di jalan. Begitu juga tidak memulai dengan menikah dengannya sebelum melakukan tawaf di Kaabah, dan tidak juga bernikah sewaktu melakukan tawaf. Hal ini termasuk dalam sesuatu yang sudah diketahui bahawasanya ia tidak terjadi. Maka pendapat Abu Rafi‘ adalah lebih tepat lagi meyakinkan.

Kelima: Sesungguhnya para sahabat R.Anhum berpendapat Ibn Abbas tersilap (dalam hal ini), dan mereka tidak berpendapat sedemikian kepada Abu Rafi‘.

Keenam: Perkataan Abu Rafi‘ sesuai atau selari dengan larangan Nabi SAW daripada bernikah dalam keadaan berihram. Sedangkan perkataan Ibn Abbas menyelisihinya. Hal tersebut ada dua kemungkinan, boleh jadi kerana hukum tersebut sudah dimansuhkan atau kerana ia hanya khusus buat Nabi SAW yakni keharusan untuk bernikah dalam keadaan berihram. Kedua-dua kemungkinan tersebut menyalahi makna asalnya dan tidak ada dalil lain (yang menguatkannya). Maka ia tidak dapat diterima.

Ketujuh: Anak saudara Maimunah sendiri iaitu Yazid bin al-Asam telah memberi penyaksian bahawa Rasulullah SAW menikahi Maimunah R.Anha dalam keadaan Baginda halal (tidak berihram). Beliau berkata: “Maimunah ialah ibu saudaraku dan ibu saudara Ibn Abbas.” Hal ini juga disebutkan oleh Imam Muslim. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 5/112-124).

Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani menukilkan daripada al-Athram yang menyebutkan: Aku bertanya kepada Ahmad bahawa Abu Thaur mengatakan, dengan sebab apa ditolak hadith Ibn Abbas sedangkan riwayat tersebut adalah sahih? Beliau menjawab: “Allahul Musta‘an, Ibn al-Musayyib menyebutkan, ‘Ibn Abbas telah terkeliru.’ Hal ini kerana Maimunah sendiri telah mengatakan, ‘Baginda SAW menikahiku dan ketika itu Baginda dalam keadaan halal.’”

Selain itu, Ibn ‘Abd al-Bar turut menyebutkan, riwayat bahawasanya “Baginda menikahinya dan ketika itu Baginda dalam keadaan halal,” telah datang daripada pelbagai jalur. Sedangkan hadith Ibn Abbas pula adalah sahih dari sudut sanad, akan tetapi berlakunya kekeliruan kepada seseorang itu adalah lebih dekat berbanding kekeliruan daripada suatu kelompok (jumlah yang ramai). Paling sedikit di antara dua hadith tersebut adalah saling bertentangan atau bercanggah antara satu sama lain. Justeru, memerlukan kepada hujah atau dalil lain selain daripada keduanya, dan hadith Uthman yang sahih melarang pernikahan orang yang sedang dalam keadaan berihram. Inilah pendapat yang muktamad. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 9/165).

Di samping itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan, Maimunah lebih mengetahui tentang dirinya dan Abu Rafi‘ pula ialah orang yang terlibat dalam kisah itu iaitu beliau merupakan utusan dalam kisah tersebut. Maka kedua-duanya lebih mengetahui akan hal itu berbanding Ibn Abbas dan lebih didahulukan sekiranya Ibn Abbas sudah dewasa ketika itu. Justeru, bagaimana pula kalau ketika itu Ibn Abbas masih lagi kecil dan belum mengetahui hakikat perkara tersebut serta belum juga mendalaminya. Justeru, pendapat ini telah mengingkarinya. Sa‘id bin al-Musayyib menyebutkan, Ibn Abbas telah terkeliru. Nabi SAW tidak pernah menikahinya kecuali dalam keadaan halal (tidak berihram). Jika begitu, bagaimanakah cara untuk mengamalkan (memahami) hadith ini dalam konteksnya? Boleh jadi ucapan dalam hadith, “وهو محرم” dapat difahami (ditakwilkan) ia merujuk kepada “Dia berada dalam bulan haram” atau “Dia berada di negeri haram” sebagaimana dikatakan:

قَتَلُوا ابْنَ عَفَّانِ الخَلِيفَةَ مُحْرِمًا

Maksudnya:Mereka membunuh Ibn ‘Affan al-Khalifah dalam keadaan haram (yakni di negeri haram Madinah).” (Lihat al-Mughni, 3/318).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa pendapat yang kuat (rajih) ialah Nabi SAW berkahwin dengan Maimunah R.Anha dalam keadaan halal (tidak berihram) sebagaimana pendapat kebanyakan sahabat dan jumhur ulama. Hal ini juga kerana pendapat atau riwayat Abu Rafi‘ adalah lebih kuat berdasarkan beberapa sudut yang kami telah nyatakan di atas (sebelum ini), di samping beliau juga utusan antara keduanya (yakni orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut). Pernikahan ketika dalam keadaan berihram juga adalah tidak sah sebagaimana pandangan jumhur ulama’.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *