#1085: Makan Sate Ular

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya ada melihat satu video di tiktok yang memaparkan seorang perempuan bertudung sedang menyiang seekor ular di sebuah gerai, lalu dijadikan sebagai sate. Soalan saya, apakah hukum makan ular sebenarnya? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Definisi ular

Ular ialah haiwan berbadan panjang, tanpa kaki, yang diliputi sisik kering untuk bergerak di atas tanah, ular menjalar menggunakan perutnya. Banyak ular mempunyai badan yang fleksibel yang membolehkannya berlingkar menjadi bentuk bebola. Mata ular diliputi sisik jernih, bukannya kelopak mata yang boleh bergerak. Oleh yang demikian, mata ular sentiasa terbuka. Ular kerap menjelirkan lidahnya yang halus, bercabang. la menggunakan lidah untuk membawa bau ke organ deria khas di dalam mulut. Ular tergolong dalam order (kumpulan) haiwan yang dikenali sebagal reptilia. Reptilia juga termasuk buaya, cicak, dan penyu. Seperti reptilia lain, ular boleh mengekalkan suhu badan yang agak tetap melalui kelakuannya. Contohnya, ular meningkatkan suhu badannya dengan berjemur dalam cahaya matahari dan menurunkannya dengan merayap ke tempat redup. Sebaliknya, mamalia dan burung mempunyai mekanisme dalaman yang mengawal suhu badannya.

Ahli sains mempunyai bukti bahawa ular berkembang daripada cicak kira-kira 100 juta tahun dahulu. Ular lebih banyak menyerupai cicak daripada menyerupai reptilia lain. Tetapi, tidak seperti kebanyakan cicak, ular tidak mempunyal kaki, kelopak mata boleh bergerak, dan bukaan telinga luar. Sisik dan tengkorak ular juga berbeza daripada cicak. Oleh kerana struktur khas matanya ular dianggap berkembang daripada cicak yang mengorek lubang dalam tanah. Ketiadaan kaki ular juga dikatakan berpunca daripada fasa pengorekan lubang ini.

Ular hidup hampir di serata tempat di dunia. la hidup di gurun, hutan, lautan, sungai, dan tasik. Banyak ular hidup di atas tanah, dan sesetengahnya hidup dalam tanah. Yang lain tinggal di atas pokok manakala yang lain menghabiskan kebanyakan masanya dalam air. Hanya beberapa kawasan yang tidak mempunyai ular di dunia. Ular tidak boleh hidup di tempat yang kekal sejuk beku sepanjang tahun. Tiada ular hidup di kawasan kutub atau di kawasan tinggi di pergunungan. Di samping itu, ular biasanya tidak wujud di pulau, termasuk Ireland dan New Zealand.

Terdapat lebih kurang 2700 jenis ular. Jenis yang paling banyak hidup di kawasan tropika. Ular terbesar ialah anakonda di Amerika Selatan dan ular sawa berselirat di Asia. Kedua-dua ular ini boleh membesar sehingga 9 meter panjangnya. Satu daripada ular terkecil ialah ular buta Braminy, yang tinggal di kawasan tropika dan panjangnya hanya 15 sentimeter. Seperti ular buta yang lain, ular buta Braminy mempunyai mata, tetapi matanya diliputi sisik kepala. Barangkali ular buta hanya dapat membezakan terang dan gelap. Sesetengah ular adalah berbisa. Ular mempunyai dua siung berongga atau beralur di rahang atas. Ular menyuntik bisa (racun) melalui siung ketika mematuk. Lebih kurang 270 jenis ular mempunyai bisa yang berbahaya atau membawa maut kepada manusia. Lebih kurang 25 jenis ular menyebabkan banyak kematian akibat patukan ular. Ular ini termasuk ular tedung selar di Asia, mamba hitam dan ular kapak bersisik gergaji di Afrika, dan taipan di Australia.

Bentuk badan. Ular berbeza-beza bentuk badannya. Contohnya, sesetengah ular seperti ular kapak Gaboon di Afrika, mempunyai badan yang gempal. Sebaliknya, ular pokok tertentu mempunyai badan yang sangat kurus, panjang yang menyerupai tumbuhan menjalar. Badan ular (laut) leper dari sisi ke sisi. Ular jantan dan betina kebanyakan spesies ular tidak banyak berbeza dari segi bentuk badan dan rupa. Bagaimanapun, di kalangan sesetengah spesies, ular betina lebih besar daripada ular jantan. Pada sesetengah spesies, ular jantannya lebih besar daripada ular betina. Satu spesies yang ular jantan dan betinanya sangat berbeza rupanya ialah langaha di Madagascar. Langaha jantan mempunyai unjuran bak kon pada muncungnya. Ular betinanya mempunyai muncung panjang berbentuk seakan-akan daun mapel.

Tabiat makan. Kebanyakan ular memakan burung, ikan, katak, cicak, dan mamalia kecil seperti arnab dan tikus. Sesetengah ular, termasuk ular tedung selar Asia dan ular raja Amerika Utara, memakan ular lain. Banyak ular mempunyai tabiat makan yang khusus. Contohnya, sesetengah spesies memakan terutamanya siput. Gigi dan rahang bawah sesetengah ular pemakan siput disesuaikan untuk menarik siput dari cangkerang. Ular benang, yang sangat mirip kepada ular buta, mempunyai mulut kecil dan memakan terutamanya anai-anai. Ular ini dapat menghisap bahagian dalam abdomen dari badan anal-anal, dan meninggalkan bahagian yang lebih sukar dihadamkan. Ular tertentu yang memakan telur mempunyai spina panjang di dalam kerongkong pada vertebra leher. Selepas ular menelan telur, cangkerang telur ditusuki spina ini dan kemudian dihancurkan dengan penguncupan otot ular. Kandungan telur masuk melalui kerongkong, tetapi spina vertebra mencegah cangkerang daripada masuk ke dalam, kemudiannya diluahkan oleh ular.

Ular mempunyai pelbagai cara menangkap mangsa. la mungkin bersembunyi untuk menyerang hendap, menghendap, atau mengejar mangsa. Apabila ular menyerang, ia menerpa ke arah mangsa dengan mulutnya terbuka luas. Serangan ular biasanya berkesan hanya dalam jarak bersamaan dengan setengah atau dua per tiga daripada panjang badannya. Kebanyakan ular menelan mangsanya hidup-hidup. Bagaimanapun, ular berbisa biasanya menunggu bisanya membunuh mangsa sebelum menelannya. Biasanya ular pencerut juga membunuh mangsa sebelum memakannya. Ular pencerut termasuk boa, ular bull, ular raja, ular sawa, dan ular tikus. Ular pencerut membelit dua gelung atau lebih badannya mengelilingi mangsa dan kemudiannya menguncupkan ototnya untuk menjerut mangsa. Sebilangan orang percaya bahawa ular pencerut membunuh dengan menghancurkan tulang dan organ dalaman mangsa. Sebenarnya, ular ini membunuh mangsa dengan melemaskannya.

Selepas makan, ular mungkin berjemur dalam cahaya matahari. Haba menaikkan suhu badannya, yang mencepatkan proses penghadaman. Sekali makan mungkin menjadikan ular dapat bertahan lama. Ular di zoo dan makmal kadangkala tidak makan beberapa bulan lamanya. Ular besar, seperti ular boa dan ular sawa, biasanya tidak makan selama lebih daripada setahun. Malah sesetengah ular kecil pun mungkin tidak makan selama 6 hingga 12 bulan. Ular dapat hidup lama tanpa makanan kerana beberapa sebab. Tidak seperti haiwan berdarah panas, ular tidak memerlukan banyak tenaga daripada makanan untuk mengekalkan suhu badan yang stabil. Ular juga mungkin tidak aktif untuk tempoh yang lama dan hanya menggunakan sedikit tenaga. Di samping itu, ular mempunyai banyak tisu yang menyimpan lemak. Semasa tempoh tidak makan yang lama, ular menggunakan lemak ini.[4]

Hukum makan ular

Ular tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak.[5]

Berkenaan hukum memakannya, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya. Manakala Imam Malik pula berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’[6]

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”[7]

Manakala Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”[8]

Menurut mereka (Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya), makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab.[9]

Begitu juga berdasarkan kepada hadith bahawa Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”[10]

Selain itu, ia juga adalah berdasarkan kepada hadith riwayat Ummu Syarik bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهَا بِقَتْلِ الأَوْزَاغِ

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkannya untuk membunuh cicak.”[11]

Selain daripada itu, ular juga termasuk dalam haiwan yang diharuskan untuk membunuhnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa dia mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan bersabda:

اقْتُلُوا الحَيَّاتِ، وَاقْتُلُوا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَالأَبْتَرَ، فَإِنَّهُمَا يَطْمِسَانِ البَصَرَ، وَيَسْتَسْقِطَانِ الحَبَلَ

Maksudnya: “Bunuhlah ular-ular dan bunuhlah Zu al-Tufyatain (ular dengan dua garisan putih di belakangnya) dan abtar (ular yang ekornya pendek atau tidak berekor), kerana sesungguhnya kedua-dua itu dapat membutakan mata dan menggugurkan kandungan.”[12]

Begitu juga daripada Ibn Abi Mulaikah bahawasanya:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، كَانَ يَقْتُلُ الحَيَّاتِ ثُمَّ نَهَى، قَالَ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَدَمَ حَائِطًا لَهُ، فَوَجَدَ فِيهِ سِلْخَ حَيَّةٍ، فَقَالَ: «انْظُرُوا أَيْنَ هُوَ» فَنَظَرُوا، فَقَالَ: «اقْتُلُوهُ» فَكُنْتُ أَقْتُلُهَا لِذَلِكَ

Maksudnya:Ibn Umar pernah membunuh ular, namun kemudian beliau melarang daripada membunuhnya. Beliau berkata: Nabi SAW menghancurkan dinding miliknya dan menjumpai kulit ular. Baginda bersabda: ‘Carilah di mana ia.’ Mereka pun mencarinya. Kemudian Baginda bersabda:’“Bunuhlah ia.’ Maka aku (Ibn Umar) membunuhnya kerana hal itu.[13]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:

لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”[14]

Justeru, termasuklah dalam jenis haiwan tersebut seperti ular, tikus, helang dan semua haiwan buas yang memudaratkan.[15]

Selain daripada itu, ular juga termasuk dalam jenis haiwan yang memburu dengan menggunakan taringnya dan Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”[16]

Imam al-Syafi‘i menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya.[17]

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat (termasuklah ular) iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam.[18]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ular termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana terhimpun padanya beberapa faktor yang menjadikannya haram untuk dimakan seperti haiwan yang dianggap jijik, memburu dengan taringnya, dan haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh. Bahkan sebahagian besar ular juga sangat sinonim dengan racun atau bisa yang boleh meragut nyawa manusia. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[19]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 22/37-47.

[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278.

[6] Surah al-An‘am: 145

[7] Riwayat Abu Daud (3798)

[8] Surah al-A‘raf: 157.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16.

[10] Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

[11] Riwayat al-Bukhari (3307) dan Muslim (2237)

[12] Riwayat al-Bukhari (3297)

[13] Riwayat al-Bukhari (3310)

[14] Surah al-Ma’idah: 95

[15] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22.

[16] Riwayat Muslim (1932)

[17] Lihat al-Umm, 2/272.

[18] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17.

[19] Surah al-A‘raf: 157

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *