#1095: Solat Tawaf Setiap Kali Selesai Tawaf atau Boleh Himpunkannya

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Biasanya orang akan melakukan tawaf sekali sahaja setiap kali pergi ke Baitullah, tetapi saya setiap kali saya pergi melakukan tawaf, saya biasanya akan melakukan tawaf lebih daripada sekali. Soalan saya, adakah disunatkan untuk solat tawaf dua rakaat setiap kali selesai tawaf sebanyak tujuh kali pusingan atau boleh menghimpunkan dan menunaikannya secara sekali gus? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat sunat tawaf termasuk dalam salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amr bahawa kami bertanya kepada Ibn Umar R.Anhuma:

أَيَقَعُ الرَّجُلُ عَلَى امْرَأَتِهِ فِي العُمْرَةِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ؟ قَالَ: «قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا، ثُمَّ صَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ، وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ» وَقَالَ: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya:Adakah (boleh bagi) seorang suami bersetubuh dengan isterinya ketika umrah sebelum mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah? Beliau menjawab: ‘Nabi SAW tiba di Makkah, lalu mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, kemudian menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim serta mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah.’” Ibn Umar juga membacakan ayat: “لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ” (Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”)[Surah al-Ahzab: 21].

Riwayat al-Bukhari (1623)

Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu selesai daripada tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. Hal ini kerana dua rakaat solat itu hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Akan tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 244).

Bagi menjawab persoalan di atas, menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang itu ingin melakukan tawaf — yakni tujuh kali pusingan — sebanyak dua kali ataupun lebih, maka disunatkan baginya untuk mendirikan solat dua rakaat setiap kali selesai tawaf — yakni tujuh pusingan itu. Jika dia melakukan tawaf sebanyak dua kali ataupun lebih tanpa mengerjakan solat, kemudian dia mendirikan solat bagi setiap tawaf itu sebanyak dua rakaat, maka hal itu dibolehkan. Akan tetapi dia telah meninggalkan perkara yang lebih afdhal. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah, hlm. 246).

Ibn al-Mulaqqin pula menyebutkan, sunnahnya adalah seseorang itu mendirikan solat tawaf dua rakaat sesudah dia selesai daripada tawafnya sebagai mengikuti Nabi SAW. Justeru, jika bilangan tawafnya banyak, maka setiap tawaf tersebut adalah sedemikian — yakni disudahi dengan solat tawaf dua rakaat. Jika dia melakukan tawaf lebih daripada sekali tanpa mengerjakan solat tawaf, kemudian dia mengerjakan solat tawaf bagi setiap kali tawafnya sebanyak dua rakaat, maka ia dibolehkan. Akan tetapi dia telah meninggalkan perkara yang afdhal. Ia juga tidak dihukumkan sebagai makruh kerana hal itu ada diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha dan juga al-Miswar bin Makhramah.

Al-Dhumairi daripada kalangan ashab kami menyebutkan, sekiranya seseorang itu melakukan tawaf lebih daripada sekali secara bersambung, kemudian dia melakukan solat dua rakaat, maka hal itu dibolehkan. Ibn al-Tin menukilkan daripada sebahagian ashab kami bahawasanya Nabi SAW melakukan tawaf lebih daripada sekali dan mengerjakan solat dua rakaat baginya. Manakala Ibn al-Jallab pula menyebutkan, dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang tawaf lebih daripada sekali dan melewatkan (mengakhirkan) solatnya sehingga dia mengerjakan solat itu pada satu tempat. Justeru, dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat setiap kali tujuh pusingan, sekiranya dia melakukan perkara itu — yakni tawaf lebih daripada sekali. Ini merupakan pendapat yang masyhur daripada mazhabnya. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 11/423-424).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa bagi sesiapa yang ingin melakukan tawaf lebih daripada sekali, maka disunatkan baginya untuk mengerjakan solat sunat tawaf setiap kali selesai tawafnya dan inilah yang afdhalnya.

Namun, sekiranya dia melakukan tawaf lebih daripada sekali tanpa mengerjakan solat tawaf, kemudian barulah dia mengerjakan solat tawaf bagi setiap tawaf tersebut sebanyak dua rakaat, maka hal itu adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *