#1101: Tercapai Maksud Solat Sunat Tawaf dengan Solat Lain

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Saya melakukan tawaf sebelum solat Subuh dan selesai melakukannya betul-betul sebelum solat fardhu Subuh ditunaikan. Maka saya terus mengikuti imam dengan melakukan solat fardhu Subuh secara berjemaah. Soalan saya, adakah tercapai maksud solat sunat tawaf dengan solat-solat yang lain seperti solat fardhu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat sunat tawaf termasuk dalam salah satu solat sunat yang disyariatkan dan thabit sandarannya di sisi syarak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amr bahawa kami bertanya kepada Ibn Umar R.Anhuma:

أَيَقَعُ الرَّجُلُ عَلَى امْرَأَتِهِ فِي العُمْرَةِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ؟ قَالَ: «قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا، ثُمَّ صَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ، وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ» وَقَالَ: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya:Adakah (boleh bagi) seorang suami bersetubuh dengan isterinya ketika umrah sebelum mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah? Beliau menjawab: ‘Nabi SAW tiba di Makkah, lalu mengerjakan tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, kemudian menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim serta mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah.’” Ibn Umar juga membacakan ayat: “لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ” (Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”)[Surah al-Ahzab: 21].

Riwayat al-Bukhari (1623)

Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu selesai daripada tawafnya, maka solatlah dua rakaat tawaf. Hal ini kerana dua rakaat solat itu hukumnya adalah sunat muakkad menurut pendapat yang paling sahih. Akan tetapi terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya adalah wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 244).

Bagi menjawab persoalan di atas, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat, sekiranya seseorang itu sudah mendirikan solat fardhu selepas selesai daripada tawafnya, maka solat tersebut sudah memadai — yakni diambil kira — sebagai dua rakaat tawaf. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/133-134).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sekiranya kita berpendapat bahawa kedua-dua rakaat solat itu adalah sunnah — yakni pendapat yang muktamad — maka mendirikan solat fardhu selepas tawaf sudah memadai untuk dua rakaat tersebut seperti mana solat tahiyyatul masjid. Pendapat ini telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam pendapatnya yang qadim dan disebutkan oleh al-Saidalani dalam kalangan ashab kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i. Namun, Imam al-Haramain menganggap pendapat tersebut sebagai jauh. Sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyat), seseorang itu boleh mendirikan solat dua rakaat tawaf selepas menunaikan solat fardhu. Hal ini adalah sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah wa ‘alaihi al-Ifsah ‘ala Masa’il al-Idhah ‘ala Mazahib al-Aimmah al-Arba‘ah wa ghairihim, hlm. 246-247).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat dua rakaat tawaf boleh tercapai dengan solat fardhu atau solat-solat yang lain sama seperti dua rakaat solat tahiyyatul masjid.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu dapat melakukan dua rakaat tawaf selepas mendirikan solat fardhu tersebut adalah lebih baik sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyat) dan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *