#1102: Menjawab Azan dalam Solat

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah terbatal solat seseorang yang menjawab azan ketika menunaikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113).

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu untuk mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin dan menjawabnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya:Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”

Riwayat Muslim (384)

Bahkan menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190). Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Begitu juga dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Walau bagaimanapun, seseorang itu dibenarkan untuk menjawabnya dalam hati. Ini adalah sebagaimana yang difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa sekiranya orang yang sedang qadha’ hajat itu bersin, lalu mengucapkan ‘alhamdulillah’ dalam hatinya tanpa menggerakkan lidahnya, maka tidak mengapa. Demikianlah juga halnya bagi orang yang sedang berjimak. (Lihat al-Azkar, hlm. 77). Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa mereka boleh menjawabnya — yakni mengqadha’nya — setelah selesai urusan qadha’ hajat (buang air) atau berjimak sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang al-Hawi dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Menjawab azan dalam solat

Pada asasnya, seseorang yang sedang mendirikan solat sama ada solat fardhu mahupun sunat dikecualikan daripada menjawab azan ketika dalam solat, kemudian apabila selesai mendirikan solat, barulah dia boleh menjawab azan tersebut sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i dan ashabnya. Namun, ulama mazhab al-Syafi‘i dari Khurasan menukilkan satu pendapat yang menyatakan bahawa digalakkan (disunatkan) untuk menjawabnya ketika dalam solat. Ia adalah pendapat yang syaz lagi dha‘if (lemah).

Sekiranya kita mengatakan, pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan seseorang yang sedang solat tidak perlu menjawab azan. Maka hukum bagi orang yang tetap menjawabnya pula terbahagi kepada dua pendapat. Pendapat yang paling kuat (asah), hukumnya adalah makruh. Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia adalah khilaf aula (menyelisihi perkara yang lebih utama). Akan tetapi ada juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, ia adalah diharuskan. Dalam erti kata lain, tidak disunatkan untuk melakukannya mahupun meninggalkannya, dan begitu juga tidak dihukumkan sebagai makruh. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh al-Syeikh Abu Ali al-Sinji dan Imam al-Haramain. Namun, pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i (yang muktamad), ia adalah makruh.

Apabila dia menjawab azan (dengan mengikutinya) pada lafaz-lafaz zikir, kemudian pada hai‘alatain (الْحَيْعَلَتَيْنِ)[1] dia menjawabnya dengan menyebut, “لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا بِاَللَّهِ”, maka solatnya tidak batal kerana ia termasuk dalam zikir, dan zikir tidak membatalkan solat. Akan tetapi solatnya terbatal jika dia menjawab pada lafaz tersebut dengan menyebut, “حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ” dan “حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ”. Hal ini kerana ia adalah kalam manusia (dan bukannya zikir). Sekiranya dia mengetahui (sedar) bahawasanya dia dalam solat dan perkataan tersebut adalah kalam manusia, maka solatnya terbatal. Akan tetapi jika dia terlupa, maka solatnya tidak terbatal.

Sekiranya dia mengetahui bahawasanya dia dalam solat, tetapi jahil bahawa perkataan tersebut adalah kalam manusia dan dilarang dalam solat, maka berkenaan isu batalnya solatnya terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi Husain kedua-dua pendapat tersebut dalam ta‘liqnya dan selainnya. Pendapat yang paling kuat (asah) menyatakan, solatnya tidak terbatal. Inilah pendapat yang diputuskan oleh kebanyakan ulama seperti al-Syeikh Abu Hamid, pengarang al-Hawi, al-Mahamili, pengarang al-Syamil dan al-Ibanah, al-Mutawalli dan pengarang al-‘Uddah. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa orang yang terlupa hendaklah (disunatkan) melakukan sujud sahwi, dan begitu juga orang yang jahil (disunatkan untuk sujud sahwi) jika kita berpegang kepada pendapat solatnya tidak terbatal. Hal ini kerana dia bercakap-cakap dalam solatnya itu dalam keadaan terlupa.

Begitu juga al-Qadhi Husain ada menyebutkan, jika seseorang itu menjawab azan pada tathwib (التَّثْوِيب)[2] dengan menyebut, “صَدَقْتَ وَبَرَرْتَ” (Benar dan baguslah ucapanmu itu), maka hukumnya adalah sebagaimana lafaz, “حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ” kerana ia adalah kalam manusia. Beliau mengatakan lagi, demikianlah juga (batal solatnya) jika seseorang menjawabnya dengan menyebut lafaz seumpamanya iaitu “الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ”. Selain daripada itu, jika seseorang mengucapkan, “صَدَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ” maka solatnya tidak terbatal. Selain itu, jika seseorang mengucapkan, “قَدْ قَامَتِ الصَّلَاةُ” maka solatnya terbatal sebagaimana jika dia menyebutkan, “حَضَرَتِ الصَّلَاةُ”. Akan tetapi jika dia mengucapkan, “أَقَامَهَا اللَّهُ” atau “اللَّهُمَّ أَقِمْهَا وَأَدِمْهَا”, solatnya tidak terbatal. Demikianlah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qadhi Husain.

Di samping itu, para ulama juga bersepakat bahawa tidak boleh menjawab azan dalam solat ketika sedang membaca surah al-Fatihah kerana perbuatan tersebut tidak disukai (dihukumkan sebagai makruh). Di antara ulama yang menukilkannya sebagai ittifaq (kesepakatan dalam kalangan ulama) ialah Imam al-Haramain. Mereka juga menyatakan bahawa jika dia tetap menjawabnya, maka wajib ke atasnya untuk mengulangi bacaan surah al-Fatihah (dari awal) tanpa sebarang khilaf kerana ia tidak digalakkan (disunatkan), berbeza halnya jika seseorang itu mengucapkan ‘amin’ di dalamnya (ketika membaca al-Fatihah) bagi mengikuti ‘amin’ Imam. Dia tidak diwajibkan untuk memulakan semula bacaan surah al-Fatihah mengikut pendapat yang kuat (asah) kerana mengucapkan ‘amin’ itu adalah disunatkan. Selain itu, pengarang al-Syamil berkata bahawa Abu Ishaq menyebutkan, tuntutan untuk menjawab azan yang dilaungkan muazzin selepas selesai mendirikan solat tidaklah sepertimana tuntutan (penegasan) untuk menjawabnya bagi orang yang di luar solat. Tambahan lagi, pengarang al-Hawi juga ada menyatakan bahawa jika seseorang itu mendengar azan dan ketika itu dia sedang melakukan tawaf, maka dia boleh menjawabnya sekalipun ketika melakukan tawaf kerana tawaf tidak menghalang seseorang daripada bercakap-cakap. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118-119).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menjawab azan ketika dalam solat dengan mengulangi semula lafaz-lafaz zikir tidak membatalkan solat selagi mana tidak mengucapkan sesuatupun daripada kalam manusia dalam keadaan sedar (mengetahui ia dilarang) dan sengaja. Sekalipun begitu, menjawab azan ketika dalam solat dihukumkan sebagai makruh dan tidak digalakkan. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak menjawabnya ketika sedang mendirikan solat.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tetap mahu menjawabnya, maka dia boleh melakukannya selepas selesai menunaikan solat. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati (ihtiyat) dan keluar daripada khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Iaitu lafaz “حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ” dan “حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ”.

[2] Iaitu lafaz “الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *