#1124: Tafsiran “al-Muallafah Qulubuhum” 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Bolehlah ustaz jelaskan maksud “Muallafah Qulubuhum” dalam ayat 60, Surah al-Taubah? Adakah bukan Islam termasuk dalam bahagian tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran berkenaan penerima zakat:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” 

(Surah al-Taubah: 60)

Ayat di atas menunjukkan golongan asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuk menerima zakat, dan salah satunya ialah al-Muallafah Qulubuhum

Bagi menjawab persoalan di atas, kami bawakan sebahagian tafsiran ulama berkaitan al-Muallafah Qulubuhum. Di antaranya:

Pertama: Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, al-Muallafah Qulubuhum ialah mereka yang baru memeluk agama Islam. Diharap dengan pemberian zakat, akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka. Mudah-mudahan zakat yang diberikan, dapat menarik minat golongan mereka kepada Islam. 

Seterusnya, orang Islam yang berada di tempat yang berbahaya untuk melindungi orang lain daripada serangan orang kafir dan keganasan puak pelampau atau yang bertugas memungut zakat daripada penduduk yang tidak dapat dihantarkan amil kepada mereka. Mereka semua diberikan bahagian zakat sekiranya orang Islam memerlukan mereka. Jika tidak, mereka tidak perlu diberikan apa-apa pun.  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/61).

Kedua: Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya, golongan al-muallafah qulubuhum juga termasuk golongan kafir yang terbahagi kepada dua jenis golongan. Golongan-golongan tersebut ialah:

  1. Golongan yang ditakuti kejahatan mereka terhadap Islam, justeru diberikan zakat kepada mereka supaya berkurang rasa permusuhan mereka terhadap agama Islam.
  2. Golongan yang berpotensi untuk memeluk agama Islam, justeru diberikan zakat kepada mereka sebagai galakan dan pendorong untuk mereka memeluk agama Islam. 

Walau bagaimanapun, menurut al-Baghawi lagi, adapun pada hari ini Allah SWT telah memuliakan agama Islam dan sudah mencukupkan kekuatannya sehingga tidak lagi perlu untuk menjinakkan hati golongan-golongan pemuda seperti pada zaman Baginda SAW. Justeru, tidak diberikan kepada mana-mana orang kafir dengan tujuan untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam walau dalam apa jua keadaan. Pandangan ini disebutkan oleh ramai para ulama bahawa al-muallafah qulubuhum sudah tiada dan hak mereka daripada zakat sudah tergugur. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 4/63-64).

Ketiga: Manakala menurut Ibn Kathir pula, golongan al-muallafah qulubuhum ialah golongan yang diberikan zakat kepada mereka supaya hati mereka menjadi jinak untuk memeluk Islam. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/176).

Contohnya sepertimana Rasulullah SAW memberikan zakat kepada Safwan bin Umayyah daripada haiwan yang diperolehi daripada Peperangan Hunain, sehingga dia berkata:

وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاس إِلَيَّ ، فَمَا زَالَ يُعْطِينِي حَتَّى صَارَ وَإِنَّهُ لَأَحَبَ النَّاسِ إِلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW merupakan seorang yang paling aku benci, dan Baginda SAW sentiasa memberi kepada aku sehingga Baginda SAW menjadi seorang yang paling aku cintai.” 

Riwayat Muslim (2313) dan al-Tirmizi (666)

Imam al-Tirmizi juga ada menyatakan bahawa para ulama berselisih pendapat berkenaan memberi zakat kepada al-muallafah qulubuhum. Kebanyakan ulama berpendapat tidak diberi zakat kepada mereka. Hal ini kerana mereka (bukan Islam) yang menerima zakat adalah satu kaum pada zaman Nabi SAW yang diberikan zakat supaya dijinakkan hati mereka kepada agama Islam sehingga mereka memeluk Islam. Justeru, mereka (ulama tersebut) berpandangan tidak diberi lagi zakat kepada golongan seperti itu pada hari ini. Ini merupakan pendapat Sufyan al-Thauri, ahli Kufah, dan selain mereka, serta pendapat Imam Ahmad dan Ishaq. 

Sebahagian ulama lagi berpendapat, sesiapa yang pada hari ini keadaan atau halnya sama seperti mereka (yang diberikan zakat pada zaman Nabi untuk dijinakkan hatinya), dan Imam (pemimpin) berpendapat boleh menjinakkan atau melembutkan hati mereka kepada Islam, maka dibolehkan memberi mereka daripada bahagian zakat tersebut. Ini adalah pendapat Imam al-Syafi‘i. (Lihat Sunan Tarmizi, 3/44).

Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali mengatakan pemberian Rasulullah SAW kepada Safwan bin Umayyah bukan diambil daripada zakat, namun daripada bahagian khumus (seperlima) yang diterima Baginda daripada harta rampasan perang. (Lihat al-Wasit fi al-Mazhab, 4/558).

Keempat: Imam al-Qurtubi menukilkan beberapa pendapat yang menyebutkan bahawa golongan bukan Islam termasuk dalam tafsir al-muallafah qulubuhum. Antaranya mereka menafsirkan dengan maksud berikut:

  1. Mereka ialah golongan yang Islam pada zahirnya tetapi hati mereka masih tidak tetap dan yakin, justeru diberikan zakat kepada mereka untuk menetapkan hati mereka.
  2. Mereka ialah tokoh-tokoh dan pemuka bagi sesuatu kaum yang mempunyai pengikut-pengikut, justeru diberikan zakat kepada mereka supaya menjinak hati mereka untuk memeluk agama Islam. 

Imam al-Qurtubi menyebutkan, semua pandangan ini hampir serupa antara satu sama lain, dan tujuan semua yang berpandangan sedemikian adalah supaya memberikan kepada golongan yang masih tidak tetap hatinya untuk menerima Islam secara hakiki sekiranya diberikan kepada mereka zakat, dan ini merupakan salah satu bentuk jihad.   (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/324-325).

Walau bagaimanapun, hal memberi zakat kepada golongan bukan Islam itu berlaku pada ketika zaman awal permulaan Islam. Para ulama berbeza pandangan tentang adakah hukum itu berkekalan dan berterusan sehingga ke zaman seterusnya. Mengikut pendapat Umar, Hasan, al-Sya‘bi dan selain mereka bahawa digugurkan terhadap golongan bukan Islam setelah Islam menjadi kuat dan berkembang. Pendapat ini merupakan pendapat yang masyhur dalam Mazhab Maliki. 

Di samping itu, sebahagian daripada ulama mazhab Hanafi berpandangan apabila Allah SWT telah memuliakan agama Islam dan umat Islam serta menghinakan golongan yang kafir, maka tidak harus untuk memberikan zakat kepada mereka. Menurut mereka, para sahabat telah berijmak pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq R.A untuk menggugurkan hak zakat untuk orang bukan Islam. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/328).

Kelima: Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di pula menyebutkan dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan al-muallafah qulubuhum ialah:

  1. Ketua qabilah (bukan Islam) yang ditaati oleh kaumnya.
  2. Seseorang bukan Islam yang diharapkan keislamannya.
  3. Seseorang bukan Islam yang ditakuti akan kejahatannya terhadap Islam.
  4. Seseorang Islam yang diharapkan dengan diberi zakat akan menguatkan imannya.
  5. Diberikan zakat kepada seseorang untuk mengharapkan keislaman yang setara dengannya.
  6. Bagi mendapatkannya daripada orang yang tidak membayarnya

Justeru, diberikan zakat kepada golongan-golongan ini bagi menjinakkan hati mereka untuk memeluk agama Islam dan memperoleh maslahah daripadanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/341).

Keenam: Dr. Wahbah Zuhaili ketika mentafsirkan perkataan al-Muallafah qulubuhum dalam kitab tafsirnya menyatakan: “Mereka yang dimaksudkan dengan golongan al-muaallafah qulubuhum ialah golongan bukan Islam yang hati mereka berjinak untuk memeluk Islam, ataupun golongan Muslimin yang mengenali Islam akan tetapi lemah ketetapan hati dan keyakinan mereka terhadap Islam. Oleh itu, dengan pemberian zakat terhadap mereka boleh menyebabkan keyakinan terhadap Islam semakin bertambah. Ataupun mereka ini terdiri daripada pemimpin sesuatu kaum, sekiranya dengan penerimaan zakat berkemungkinan akan menarik minat pengikutnya terhadap Islam, dan perkara ini berlandaskan hajat yang diperlukan. (Lihat Tafsir al-Wasit oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 1/877).

Selain daripada itu, dalam kitab tafsirnya yang lain, beliau menyatakan bahawa mereka al-muallafah qulubuhum ialah sesuatu kaum yang sudah memeluk Islam akan tetapi pegangan mereka lemah terhadap Islam. Atau mereka itu sebagai orang yang berpengaruh dan melalui pemberian zakat, ia dapat menarik minat pengikutnya untuk memeluk agama Islam. 

Ini seperti mana yang dilakukan oleh Nabi SAW dengan pemberian zakat kepada ‘Uyainah bin Hisn, al-Aqra’ bin Habis dan ‘Abbas bin Mirdas. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/259). 

Ketujuh: Syeikh Sayyid Tantawi menerangkan, yang dimaksudkan dengan al-Muallafah qulubuhum ialah mereka yang dilihat oleh pemimpin sekiranya diberikan zakat akan menyebabkan hati mereka jinak serta boleh menjadi penarik minat mereka terhadap Islam, menghentikan mereka daripada melakukan kejahatan atau ingin mengambil manfaat daripada mereka. Mereka ini dibahagikan kepada beberapa golongan:

  1. Mereka daripada golongan bukan Islam, seperti Safwan bin Umayyah ketika belum memeluk Islam dan telah diberikan harta rampasan perang Hunain oleh Baginda SAW dan kemudian dia memeluk agama Islam.
  2. Mereka yang terdiri daripada golongan yang berpengaruh dalam kalangan kaumnya serta baru memeluk Islam. Dengan pemberian zakat itu dapat mengukuhkan keimanan mereka dan menarik pengikutnya untuk memeluk Islam. Ini seperti yang dilakukan Baginda SAW terhadap al-Aqra’ bin Habis, ‘Uyainah bin Hisn dan al-Zabraqan bin Badr. Kemudian mereka memeluk agama Islam termasuk pengikut mereka.
  3. Golongan yang lemah iman dan Baginda Nabi SAW memberi zakat bertujuan untuk menjinakkan hati serta mengukuhkan keimanan mereka. Ini sepertimana yang dilakukan Baginda SAW terhadap ‘Abbas bin Mirdas al-Salma. (Lihat Tafsir al-Wasit oleh Syeikh Sayyid Tantawi, 6/326).

Kelapan: Ketika menafsirkan “al-Muallafah qulubuhum,” al-Syaukani menyebutkan, mereka merupakan golongan pada zaman permulaan Islam. Selain itu, terdapat juga pandangan yang menyatakan mereka ini adalah golongan bukan Islam yang didekatkan hati mereka oleh Baginda SAW kepada ajaran Islam, dan mereka menerima Islam bukan kerana paksaan dan peperangan, akan tetapi dengan pemberian zakat.

Mengikut pandangan yang lain, mereka ini adalah golongan yang memeluk Islam pada zahirnya sahaja, akan tetapi tidak kukuh dari segi pegangan mereka terhadap Islam. Oleh itu, Baginda Nabi SAW memberi zakat agar dapat menetapkan hati mereka. Terdapat juga pandangan yang menyatakan, mereka ini daripada golongan Yahudi dan Nasrani yang memeluk Islam. 

Ada juga yang menyatakan mereka merupakan golongan pembesar musyrikin yang berpengaruh. Kemudian Nabi SAW memberi zakat kepada mereka supaya dapat melembutkan hati mereka dan pengikutnya kepada Islam. Ini seperti mana yang dilakukan Baginda Nabi SAW kepada Abu Sufyan bin Harb, Harith bin Hisyam, Suhail bin ‘Amr dan Huwaitib bin ‘Abd al-‘Uzza dengan pemberian seratus ekor unta. Lalu dapat melembutkan hati mereka terhadap Islam.

Para ulama berbeza pendapat berkenaan, adakah masih terdapat golongan al-muallafah qulubuhum selepas zaman permulaan Islam. Mengikut pendapat Umar, Hasan dan al-Sya‘bi, sesungguhnya telah terputus asnaf ini (golongan bukan Islam yang al-muallafah qulubuhum) kerana kemuliaan agama Islam selepas tersebarnya. Pandangan ini juga masyhur dalam mazhab Maliki. (Lihat Fath al-Qadir, 2/425).

Kesembilan: Syeikh al-Maraghi pula ketika menafsirkan al-muallafah qulubuhum menyebutkan, mereka ialah kaum yang dikehendaki supaya hati mereka cenderung dan tetap terhadap Islam. Mereka diharapkan dapat menghentikan kejahatan mereka terhadap umat Islam, atau diharapkan memberi manfaat supaya melindungi umat Islam atau menolong mereka terhadap musuh. Mereka terbahagi pula kepada tiga golongan, iaitu:

  1. Kaum kafir yang diharapkan akan beriman dengan cara memujuk hati mereka, seperti Safwan bin Umayyah.
  2. Kaum yang keislamannya masih lemah dan pemberian ini adalah diharapkan supaya keislaman dan keimanannya menjadi kuat serta dapat dinasihati untuk berjihad, seperti kaum yang diberi oleh Nabi SAW harta rampasan Hawazin yang banyak.
  3. Umat Islam yang berjaga-jaga di pelabuhan dan perbatasan negeri musuh. Mereka diberi zakat dengan harapan dapat melindungi umat Islam yang berada di negeri mereka, terutama apabila musuh datang menyerang. Menurut Abu Hanifah, bahagian mereka itu telah terputus selepas Islam dimenangkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2804).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa para ulama berselisih pendapat berkenaan tafsiran al-Muallafah Qulubuhum. Ada yang berpendapat, mereka ialah golongan awal yang memeluk Islam yang masih lemah keislamannya. Ada juga yang berpendapat, termasuk juga dalam kalangan mereka orang bukan Islam yang hendak dijinakkan hatinya memeluk agama Islam, atau yang ditakuti kejahatan mereka terhadap Islam, justeru diberikan zakat kepada mereka supaya berkurang rasa permusuhan mereka terhadap agama Islam. Begitu juga para ulama berselisih pendapat berkenaan hukum tersebut (pemberian zakat kepada bukan Islam di bawah kategori al-Muallafah Qulubuhum); adakah masih berkekalan dan berterusan sehingga ke hari ini ataupun sudah tergugur disebabkan oleh kemuliaan dan kekuatan Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 21 Mac 2023 bersamaan 28 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *