#1130: Memindahkan Kornea Mata

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum seseorang itu mendermakan kornea matanya selepas mati kepada orang lain yang buta? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, kornea merupakan tisu dalam organ mata yang memiliki karakteristik kuat dan tembus terhadap cahaya serta dapat memberi perlindungan kepada bahagian sensitif mata. Kornea mata sangat penting untuk membantu orang yang mengalami masalah penglihatan dan dengan bantuan penderma kornea yang telah meninggal dunia dapat menyelamatkan pesakit.

Pensyarah Kanan Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohtar Ibrahim berkata, kesedaran pendermaan kornea dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah kerana pandangan negatif terhadap pendermaan organ. Beliau berkata: “Ramai pesakit yang buta akibat kerosakan kornea memerlukan tisu kornea gantian dari mereka yang telah meninggal dunia kerana kornea gantian tidak dapat diproses dari bahan sintetik malah tiada bank kornea yang berfungsi sepenuhnya bagi mendapatkan kornea gantian untuk pesakit.”

Dr. Abd al-Salam Dawud al-‘Ubadi menyatakan bahawa Da’irah al-Ifta’ Jordan pernah ditanya berkenaan hukum syara’ berkenaan hukum seseorang itu mendermakan kornea matanya selepas mati untuk didermakan kepada rakyat lain yang buta. 

Maka pihaknya menjawab sebagaimana yang dinukilkan daripada laman rasmi Da’irah al-Ifta’ Jordan dan juga daripada Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami (4/284): “Kaedah syarak mengharuskan pemindahan kornea mata penderma yang sudah mati kepada penerima buta atau mempunyai risiko penglihatan, berdasarkan syarat-syarat yang berikut:

  1. Penderma itu telah dipastikan kematiannya. 
  2. Kadar kejayaan pembedahan yang tinggi menurut pandangan doktor pakar. 
  3. Penderma telah mendermakan kornea sebelum meninggal dunia, atau telah mendapat kebenaran daripada waris penderma selepas kematian. 

Antara hujah syarak bagi menyokong pandangan ini adalah:

Pertama: Pemindahan organ manusia yang sudah meninggal dunia kepada penerima yang masih hidup menepati syariat Islam yang mewajibkan untuk menjaga nyawa manusia.

Kedua: Tidak syak lagi bahawa kebutaan adalah sifat yang memudaratkan manusia dan menghilangkan mudarat ini ialah tuntutan syarak, seterusnya membenarkan pemindahan kornea mata penderma yang sudah meninggal dunia kepada penerima yang masih hidup.

Perkara ini selari dengan beberapa kaedah syarak seperti:

  • Kaedah Pertama:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Keadaan dharurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya haram.”

  • Kaedah Kedua:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya: “Kemudaratan itu dinilai berdasarkan tahap keperluan”

  • Kaedah Ketiga:

لَا يُنْكَر ارْتِكَابَ أَخَفِّ الضَّرَرَيْنِ

Maksudnya: Tidak diingkari pemilihan mudarat yang lebih ringan antara dua mudarat”

Ketiga: Mengambil kornea mata untuk ditransplan ke mata penerima tidak termasuk dalam kategori muthlah kerana muthlah yang dilarang oleh Nabi SAW ialah perbuatan yang bertujuan penghinaan dan merendahkan maruah si mati. Namun, pendermaan kornea adalah suatu penghormatan kepada penderma kerana ia membuka pintu kebaikan dan pahala kepadanya, malah ia juga merupakan suatu penghormatan kepada penerima yang dapat melihat dan membantunya menikmati nikmat Allah SWT melalui penglihatan dan kesyukuran. Oleh sebab itu, para ulama membenarkan pembedahan perut ibu mengandung yang telah mati bagi menyelamatkan janin dalam kandungan yang mempunyai kemungkinan untuk hidup. Begitu juga dengan membedah saluran pemakanan seseorang yang menelan harta orang lain. Para ulama berhujah bahawa:

إِنَّ حُرْمَةَ الحَىِّ، وحِفْظَ نَفْسِه، أوْلَى مِن حِفْظِ الميِّتِ عَنِ الـمُثْلَةِ

Maksudnya: “Kehormatan orang yang hidup dan menjaga nyawa mereka lebih utama daripada menjaga orang mati daripada perbuatan muthlah.” (Lihat al-Mughni, 3/482)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ

Maksudnya: “Tidak akan sama kedudukan antara orang hidup dengan orang mati.”

(Surah Fatir: 22)

Keempat: Syariat Islam sentiasa mengajak kepada rawatan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً، فَتَدَاوُوا، وَلَا تَدَاوُوا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mencipta penyakit dan ubat, Dia menjadikan setiap penyakit mempunyai ubat. Maka, berubatlah dan jangan kamu berubat dengan (perkara atau benda) haram.” 

Riwayat Abu Dawud (3874); Ulama berbeza pendapat berkenaan hukum hadith ini. Ibn al-Mulaqqin menilai sanadnya sebagai sahih. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/9). Imam al-Nawawi pula berpendapat, sanadnya adalah dhaif (Lihat al-Majmu‘, 5/106). Hadith ini mempunyai syawahid yang bertaraf marfu‘ dan mauquf sebagaimana dalam al-Talkhis al-Habir.

Pemindahan kornea mata daripada penderma mati kepada penerima hidup termasuk dalam kategori berubat.

Kelima: Pendermaan kornea mata kepada orang yang kehilangan penglihatan termasuk dalam kategori sedekah yang digalakkan oleh syariat Islam supaya melakukannya kepada orang lain. Keperluan orang buta kepada penglihatan lebih tinggi berbanding keperluan orang miskin kepada harta atau makan dan minum.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآْخِرَةِ. . وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan kesusahan mukmin daripada kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskannya daripada kesusahan pada Hari Akhirat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib seseorang muslim, Allah SWT akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah SWT akan sentiasa menolong hamba-Nya selagimana dia menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (1455), al-Tirmizi (2954), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427).

Selain daripada itu, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 dan 24 Jun 1970 juga ada membincangkan pemindahan organ, secara khusus pemindahan jantung dan mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan jantung dan mata orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dengan pertimbangan-pertimbangan berikut:

  1. Dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung pada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya. 
  2. Dalam pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan terlebih dahulu. 
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya. 
  4. Kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota (dalam kematian biasa) atau daripada kaum keluarga (dalam kematian akibat kemalangan).

Hukum keharusan menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada syarat-syarat yang pada prinsipnya menjaga pelbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam, iaitu: 

  1. Tidak menyebabkan penderma (yang masih hidup) menanggung kemudaratan pada dirinya seperti mati atau cacat (hilang pendengaran, penglihatan dan kemampuan untuk bergerak). 
  2. Pemindahan berlaku dengan izin penderma berkenaan. 
  3. Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk melakukannya. Atas sebab ini, keizinan tidak boleh diberi oleh kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan, paksaan atau kekeliruan. 
  4. Tidak berlaku dengan cara yang mencabul kehormatan manusia seperti melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu dilakukan berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata. 
  5. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk terhadap penderma dan penerima berdasarkan prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) seperti yang terdapat dalam syariat Islam.

(Lihat Pemindahan Organ dari Perspektif Islam, terbitan KKM, hlm. 16-17)

Begitu juga dalam Fatwa Negeri Perlis yang dikeluarkan pada 6 November 1965 menyatakan bahawa hukum mengambil mata orang yang telah mati adalah harus sekiranya mereka memberi persetujuan sebelum meninggal dunia. Dengan melakukan hal yang demikian, penderma dapat memberi pertolongan sesama manusia bagi memulihkan penglihatan penerima yang cacat. Ia bertujuan murni dan berfaedah dalam kehidupan penerima. Memberi pertolongan dengan cara yang demikian bukan bererti menghina atau tidak menghormati si mati. Agama mengharuskan perbuatan ini kerana tujuan yang lebih besar faedahnya. (Lihat Pemindahan Organ dari Perspektif Islam, terbitan KKM, hlm. 17).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang itu diharuskan untuk mendermakan kornea matanya selepas dia meninggal dunia kepada orang lain yang buta dengan syarat perkara tersebut sudah mendapat keizinannya sebelum meninggal dunia. Walau bagaimanapun keharusan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan dan disebutkan sebelum ini dalam perbincangan di atas. 

Penjelasan lanjut berkaitan topik pendermaan organ ini bolehlah merujuk kepada e-buku kami yang bertajuk, “Pemindahan & Pendermaan Organ dalam Islam” di laman sesawang Maktabah al-Bakri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Mac 2023 bersamaan 29 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *