#1139: Doa Terbaik Ketika Berbuka

Soalan:

Boleh Datuk sarankan doa apa yang terbaik ketika berbuka puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Sebaik-baik doa adalah apa yang diajar oleh Rasulullah SAW ketika berbuka iaitu mohon pahala. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah, dan telah terhasil pahala, insyaAllah.”

 Sunan Abi Dawud (2357)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, doa ini dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukan sebelumnya. (Lihat Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfatul Muhtaj, 3/435 dan Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj, 3/183. Doa-doa ini turut disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Azkaar)

Begitu juga, hendaklah kita berdoa kepada Allah SWT untuk mendapat keampunan-Nya. Ini berdasarkan doa ‘Abdullah ibn ‘Amru R.Anhuma sewaktu berbuka puasa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Maksudnya: “Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku.”

Sunan Ibn Majah (1753)

Walaupun begitu, kita boleh berdoa sebarang keperluan yang kita harapkan di hadapan Allah SWT ketika berpuasa atau berbuka puasa. Allah SWT amat menyukai hamba-hamba-Nya yang sentiasa berdoa, memohon dan bermunajat kepada-Nya.

Semoga Allah SWT menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan keyakinan kita Allah SWT pasti mustajabkannya. Amin.

Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *