#1175: Ikut Tarawih Untuk Qadha’ Subuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke tidak saya meninggalkan banyak solat fardhu. Justeru, saya datang ke masjid pada malam Ramadhan untuk bertarawih bersekali niat dengan qadha’ solat yang saya tinggalkan. Contohnya, sahaja aku qadha’ solat Subuh dua rakaat serta solat sunat tarawih dua rakaat mengikut imam kerana Allah SWT.

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, hampir kebanyakan ulama berpendapat tidak harus seseorang itu solat sunat selama mana dia masih mempunyai solat fardhu yang ditinggalkan. Hal  ini berdasarkan satu hadith:

Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Sahih al-Bukhari dan Muslim

Dalam menjawab persoalan di atas, pendapat yang masyhur lagi kuat bahawa tidak harus menjamakkan atau menghimpunkan antara niat qadha’ solat dengan solat tarawih. Ini kerana, para ulama menyebut bahawa daripada syarat-syarat tasyrik (menghimpunkan) antara dua ibadat pada satu niat yang dibina atas asas bermasuk-masukkan (attadakhul), seperti mandi sunat Jumaat beserta janabah atau haid. 

Atau salah satu daripada keduanya ibadat yang maksud dengan zatnya seperti solat tahiyyatul masjid beserta solat fardhu. 

Adapun, tasyrik dalam dua ibadat yang dimaksudkan dengan zat keduanya seperti qadha’ solat Subuh dan tarawih dalam satu solat. Maka tidak sah pada niat yang satu. Kerana dua ibadat tersebut bersifat asing dan tidak boleh dimasukkan salah satu ke dalam yang lain. Ini juga sama seperti solat tahajjud, qiyamullai, solat sunat rawatib dan lainnya.

Pesanan saya, tumpukan dahulu kepada qadha’ solat sebagaimana yang disebut oleh para ulama dan jangan menyibukkan diri dengan solat-solat sunat. Al-Imam al-Akhdari yang bermazhab Maliki dalam mukhtasarnya berkata, “TIdak boleh melakukan sunat bagi mereka yang ada qadha’.”

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *