#1179: Hikmah Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada saya apakah dia hikmah zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya katakan sebahagian hikmah kita dapat menggapainya tetapi banyak hikmah yang kita tak mengetahuinya. Cuma, keyakinan kita bahawa segala perintah Allah SWT pasti ada hikmahnya yang mesti membawa maslahat kepada ummah dan mengelakkan mafsadah. Inilah dia hukum syarak yang disyariatkan oleh Tuhan Yang Maha Hakim Lagi Maha Perkasa.

Berkenaan dengan zakat, pertamanya, kita ingin mentaati perintah Allah SWT yang mewajibkan kita menunaikannya. Ia sentiasa digandingkan dengan solat kerana zakat dan solat akan mengukuhkan dua tali iaitu hablum minallah dan hablum minan nas (kepada Allah dan juga kepada manusia). Antara hikmah yang dapat kami nyatakan ialah:

  • Keberkatan harta. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَال

Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.”

Riwayat Muslim (2588)

Persoalannya: Bagaimanakah dikatakan zakat itu akan mengurangi harta, sedangkan Allah memberkati harta yang tinggal dengan sebab berzakat? Jawapan: Allah SWT akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudaratkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah SWT juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di samping itu, Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaan-Nya.

  • Melatih seseorang itu bersifat pemurah serta menghilangkan sifat bakhil dan kedekut. Hal ini terbukti apabila kita melihat orang yang sentiasa berzakat biasanya bersifat pemurah dan suka membantu khalayak masyarakat.
  • Secara tak langsung kehidupan sesebuah masyarakat berada dalam keharmonian yang tinggi. Hubungan antara si kaya dan miskin bertambah erat. Si kaya mengihsani kepada yang miskin, sedangkan si miskin akan mengasihi dan menghormati kepada yang kaya. Ini akan menaikkan taraf kehidupan sesebuah masyarakat ke arah lebih sempurna.
  • Mungkin dengan zakat isu pengangguran dapat diatasi kerana sebahagian daripada asnaf zakat ialah fi sabil lillah, al-gharimin, al-riqab, dan lain-lain lagi boleh digunakan bagi mencipta peluang pekerjaan untuk asnaf. Setidak-tidaknya, perniagaan yang disebut secara kecil-kecilan atau industri kecil dan sederhana (IKS). 
  • Hasil daripada zakat, hati dan perasaan semua pihak terutamanya fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan akan merasa tenang. Maka, hilanglah perasaan hasad dengki, dendam kesumat serta tidak puas hati apabila melihat golongan kaya yang amat bermurah hati berkongsi kekayaan yang dimiliki kepada mereka. 

Akhir sekali, saya petik kenyataan Syeikh Ali al-Jarjawi dalam bukunya, Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuhu berkata: 

“Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.”

Semoga dengan kita memahami hikmah dan rahsia pensyariatan zakat menjadikan kita benar-benar faham erti zakat dan faedah disebalik zakat tersebut.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *