#1183: Tafsir Ayat 58 Surah Yunus

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tafsiran ayat 58 dari Surah Yunus?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) “Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).”

Surah Yunus (58)

Ibn ‘Abbas berkata, “Fadhlullah atau kurniaan-Nya bermaksud al-Quran, dan rahmat-Nya bermaksud Islam. Dengan makna yang lain hendaklah mereka bergembira dengan apa-apa yang didatangkan daripada Allah, al-Quran dan Islam Sesungguhnya mereka seharusnya lebih bergembira dengan kurniaan ini.”

Ibnu Kathir berkata, “Dengan ini telah datang kepada mereka daripada Allah SWT dari petunjuk hidayah-Nya dan agama yang sebenar. Maka, hendaklah mereka bergembira, kerana inilah yang sepatutnya mereka gembira berbanding dengan dapatan harta dunia yang bersifat binasa dan hilang.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir)

Sebahagian ulama menafsirkan perkataan fadhlullah dengan maksud al-Quran yang menjadi sebesar-besar nikmat dan kurniaan Allah SWT sedangkan rahmat-Nya pula ditafsirkan dengan agama, iman, ibadah kepada Allah SWT, mahabbah kepada Allah dan makrifah-Nya.

Syeikh Zarruq mentafsirkan dengan katanya, “Janganlah perasaan gembiramu berlaku kecuali dengan kurniaan Allah kerana Dia yang kurniakanmu dan mengingatkanmu akan kurniaan-Nya terhadap apa apa yang kamu diberi kuasa atasnya. Bukan kamu mengumpulkannya sebagai koleksi faedah dengan kurniaan Hal ini demikian kerana bergembira dengannya sahaja. Sebenarnya itulah kelalaian tetapi hendaklah bergembira dengan kurniaan Allah SWT.”

Sebagaimana kita diajar untuk memohon kurnian dan rahmat-Nya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang sentiasa berdoa dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (10379) dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (7/280). Hadith ini dihukumkan sebagai sahih oleh pengarang kitab al-Silsilah al-Sahihah.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *