#1190: Memakai Kanta Lekap Ketika Berbuka

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakai kanta lekap ketika berpuasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan ini dengan definisi kanta lekap. Menurut Dr. Aida Zairani Binti Mohd Zahidin (Pakar Oftalmologi dan Pakar Perunding Kornea), Kanta lekap (contact lens) merupakan salah satu alat yang digunakan bagi menambah baik tahap penglihatan seseorang individu dalam membantu mereka untuk menjalankan tugas-tugas dalam kehidupan harian, serta bersukan. Ia salah satu alternatif selain memakai cermin mata.

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap seperti  Kanta lekap lembut (Soft Contact Lens), Kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable), Kanta lekap hybrid, Kanta lekap multifocal, Kanta lekap berwarna dan Kanta prostetik (Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia).

Diriwayatkan daripada Anas RA:

أنه كان يكتحل وهو صائم

Maksudnya: “Bahawasanya adalah dia yakni Rasulullah SAW bercelak padahal ketika itu dia sedang berpuasa”

Riwayat Abu Daud (2378)

Berdasarkan hadith di atas, di sisi mazhab syafie, hukumnya adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Hal ini disebabkan mata bukan salah satu anggota yang dikira rongga yang terbuka seperti hidung dan telinga (manfaz maftuh) dan rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut). (Rujuk al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Begitu juga, menurut Imam Nawawi dalam kitabnya: “Diharuskan untuk bercelak berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Anas, bahawa beliau bercelak ketika mana berpuasa kerana mata bukannya anggota rongga yang terbuka. Maka, tidak batal puasa dengan apa yang sampai melaluinya (mata).” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 6/361).

Justeru itu, hukum memakai kanta lekap ketika berpuasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Hal ini diqiyaskan kepada hukum bercelak kerana mata merupakan anggota yang tidak termasuk di dalam rongga yang terbuka dan bukan satu bentuk perbuatan makan dan minum.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dan kefaqihan dalam agama. Amin.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *