#1191: Rokok Membatalkan Puasa

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Adakah merokok siang Ramadhan membatalkan puasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum Merokok

Pada asasnya merokok merupakan perbuatan yang haram sebagaimana yang telah dinyatakan oleh majoriti ulama khususnya ulama kontemporari pada masa kini. Bahkan isyarat mengenai keharamannya juga ada dinyatakan oleh ulama terdahulu. Misalnya, Imam al-Syafi‘i telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur, kitab al-Umm (2/270) iaitu: “Jika mereka mengambil sesuatu yang memabukkan, perbuatan itu adalah haram. Begitu juga sesuatu yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku berpendapat hukumnya juga adalah haram. Hal ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan perbuatan membunuh manusia, kemudian mengharamkan perbuatan membunuh diri mereka sendiri secara khusus.”

Begitu juga Syeikh Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, dalam Fath al-Mubin (hlm. 232) tentang dua alasan mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam, iaitu: 

  • Ia menimbulkan kerosakan atau mendatangkan kemudaratan yang tersembunyi seperti zina dan sembelihan orang Majusi. 
  • Ia menimbulkan merosakkan atau mendatangkan kemudaratan yang jelas (pada tubuh badan) seperti racun dan arak.

Selain itu, Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi juga ada menyebutkan, perkara yang boleh mengganggu dan menutupi fikiran, ia suci walaupun mengambilnya dan menghisapnya adalah haram. Sebahagian guru-guru kami menyatakan, termasuk juga merokok, kerana ia membuka saluran badan dan menyediakan mereka untuk menerima kemudharatan berbahaya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/79).

Di antara ulama kontemporari yang menyebutkan mengenai pengharaman rokok ialah Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Bekas Mufti Mesir. Beliau ada mengupas hukum merokok itu:

“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama-ulama fiqah daripada pelbagai mazhab Islam pun telah membincangkannya untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip (kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus? Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram atau makruh.”

Antara sebab yang mengubah hukum ini ialah kesan bahayanya kepada perokok itu sendiri sama ada banyak ataupun sedikit, kepada hartanya atau kepada kedua-duanya sekali, atau dengan sebab merokok itu boleh membawa kepada kerosakan dan mensia-siakan hak seperti tidak memberi makanan kepada isteri, anak-anak dan orang yang wajib di bawah tanggungannya. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, 2/112-113).

Begitu juga al-Imam al-Akbar Mahmud Syaltut, Syeikh al-Azhar Mesir menyebutkan mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta bahawa walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang membahayakan terhadap kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap orang lain yang tidak merokok.

Para doktor telah menganalisis kandungan komponen-komponen tembakau dan mereka menemukan bahan racun yang wujud di dalam kandungan tembakau, yang mana racun ini boleh membunuh (melenyapkan) kebahagiaan dan kegembiraan seseorang secara perlahan-lahan. 

Jika demikian halnya, tidak diragukan lagi bahawa menghisap tembakau adalah suatu yang menyakitkan dan memudaratkan. Dalam pandangan Islam, sesuatu yang menyakitkan dan memudaratkan itu adalah ‘خبث’ (keji, jijik, buruk, jahat) yang mesti dijauhi. (Lihat al-Fatawa: Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu‘asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah al-‘Ammah, hlm. 384).

Tambahan lagi, pendapat haramnya rokok ini juga merupakan pendapat Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri,[1] Dr. Yusuf al-Qaradhawi,[2] Syeikh Nasr Farid Wasil,[3] Syeikh Abdullah Ababatein,[4] Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin,[5] Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘i,[6] Syeikh Muhammad al-Siba‘i,[7] Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di,[8] Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz,[9] Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad,[10] Syeikh Mustafa al-‘Adawi,[11] Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti,[12] Dr. Wahbah al-Zuhaili[13] dan ramai lagi.

Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan Fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, Arab Saudi. Melalui melalui himpunan fatwa yang dibukukan oleh Syeikh Ahmad ‘Abd al-Razak al-Darwij. Cetakan Keempat 2003M, 22/178. Bilangan fatwa ke-36 no, 515, menyatakan bahawa hukum merokok adalah haram.

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, yang telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Di antara sebab pengharaman tersebut adalah kerana merokok itu membahayakan kesihatan bukan sahaja kepada pelakunya tetapi juga kepada orang yang berada di sekelilingnya. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[14]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[15]

Selain itu seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, rokok mengandungi banyak racun dan bahan toksik. Terdapat beribu-ribu jenis bahan kimia beracun di dalam asap rokok seperti matanol, nitrobenzena, butana, kadmium, sianida dan lain-lain.[16]

Di samping itu, merokok juga termasuk dalam perbuatan membazir wang atau harta benda pada perkara-perkara yang tidak berfaedah. Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا. إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-27) 

Imam Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla (7/503) menegaskan: “Pemborosan adalah haram.” Yang dimaksudkan dengan pemborosan, antara lain adalah membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, sama ada banyak ataupun sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan. Membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil. Membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.

Merokok Siang Hari Pada Bulan Ramadhan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh Nuh Ali Salman, Mantan Mufti Jordan menyebutkan, salah satu perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu yang berjirim ke dalam jauf, melalui saluran yang terbuka, dengan sengaja dalam keadaan mengetahui bahawasanya dia sedang berpuasa, sama ada benda itu berupa minuman atau makanan, atau bukan berupa makanan, sama ada mengenyangkan dengannya atau tidak mengenyangkan, begitu juga sama ada naluri (untuk makan) cenderung kepadanya seperti makanan atau tidak cenderung kepadanya seperti batu kerikil.

Oleh sebab itu, dikira perbuatan menghisap rokok sebagaimana yang diketahui termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan puasa kerana syahwat atau keinginan dalam perbuatan tersebut sangat jelas dan ketara. Begitu juga kerana ia mengandungi jirim atau bahan yang boleh dilihat dan dirasa yang masuk ke dalam jauf dengan sengaja, sekalipun partikelnya kecil. Apatah lagi satu batang rokok misalnya mengandungi mengandungi 3 miligram nikotin, 36 miligram tar, dan 20 miligram karbon monoksida, di samping bahan-bahan lain yang banyak lagi.[17]

Selain daripada itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga ada menyatakan, merokok, selain menjadi tabiat buruk yang dilarang oleh syarak dan memudaratkan kesihatan manusia, ia juga membatalkan puasa dan wajib mengqadha’nya semula. Hal ini kerana asap hasil pembakaran tembakau mengembun di dalam hidung dan turun ke dalam dada. Maka dengan itu, ia menjadi bahan yang masuk ke dalam jauf, dan membatalkan puasa.[18]

Begitu juga Dr. Nazir Muhammad ‘Iyad (Setiausaha Agung Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah dan Ketua Pengarang Majallah al-Azhar al-Syarif) turut menyebutkan, merokok selain menjadi tabiat buruk, yang diharamkan dan memudaratkan kesihatan manusia, ia juga membatalkan puasa dan wajib mengqadha’nya semula kerana asap hasil pembakaran tembakau itu mengembun dan menjadi bahan atau jirim yang masuk ke dalam jauf manusia dengan melewatinya melalui kerongkong, sebagaimana memakan asap menafikan makna puasa yang disebutkan dalam hadis Qudsi:

يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya: “Orang yang berpuasa itu meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku.

Riwayat Ahmad (9112)

Salah satu tujuan pensyariatan puasa adalah untuk menghinakan jiwa dan mengikatnya dengan ikatan syarak. Seperti kata ulama, “Sesiapa yang mampu menahan dirinya, maka dia akan berjaya dan sesiapa yang nafsunya memiliki dirinya, maka dia akan binasa.” Asap (menghisap rokok) termasuk dalam perkara yang jiwa (nafsu) cenderung kepadanya,  dan mempunyai kesan yang dirasakan. (Lihat al-Siyam Fatawa wa Ahkam, hlm 91).

Tambahan lagi, tidak syak lagi bahawa merokok siang Ramadhan membatalkan puasa kerana ia merupakan perkara ikhtiyar dan bukannya dalam keadaan dharurat (situasi terdesak). Apatah lagi menghisap rokok juga termasuk dalam syahwat dan bersedap-sedapan yang kadang-kadang mengkhayalkan penghisapnya. Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan wap atau asap yang disedut untuk tujuan bersedap-sedapan dan syahwat, maka pengarang Fath al-Qadir menyatakan bahawa puasanya batal. Hal ini kerana puasa adalah menahan diri daripada syahwat mulut dan kemaluan, dan asap yang disedut bagi tujuan bersedap-sedapan termasuk dalam syahwat mulut. (Lihat Fatawa al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, dihimpun dan ditahqiq oleh Dr. Muhammad Uthman Syabir, hlm. 253).

Kesimpulannya

Justeru, kami berpendapat bahawa perbuatan merokok pada siang Ramadhan membatalkan puasa dan pelakunya wajib mengqadha’kannya semula. Hal ini kerana asap sedutan rokok mengandungi pelbagai bahan-bahan lain. Justeru, seseorang yang sengaja menghisap rokok sebenarnya telah menyedut bersama asap tersebut jirim-jirim ke dalam jaufnya. Selain itu, perbuatan merokok itu juga bukanlah kerana masyaqqah mahupun dharurah (keadaan terdesak), sebaliknya kerana syahwat dan ingin bersedap-sedapan. Maka sekali gus ia telah menafikan salah satu maqasid atau tujuan berpuasa yang mengkehendaki orang yang berpuasa menahan diri daripada syahwat mulut dan kemaluannya.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati semua agar tidak berbuka puasa dengan merokok. Ambillah peluang pada bulan yang mulia ini untuk mengurangkan dan seterusnya meninggalkan terus perbuatan merokok yang memudaratkan kesihatan dan sia-sia itu. Ingatlah bahaya dan mudarat itu bukan sahaja kembali kepada pelakunya, tetapi turut tertimpa kepada orang yang berada di sekelilingnya seperti anak-anak, isteri, kaum keluarga dan lain-lain, di samping pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun. Apatah lagi perbuatan merokok ini juga telah diharamkan oleh ramai ulama.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada menjadi perokok serta memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/9.

[2] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/2248 Diakses pada 8 Ogos 2022.

[3] Lihat https://www.albayan.ae/five-senses/2000-03-06-1.1035132 . Lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=1RpJzkLfn2Q Diakses pada 8 Ogos 2022.

[4] Lihat al-Durar al-Sunniah fi Ajwibah al-Najdiah, 15/63.

[5] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2; Lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=Vy499wv216M.

[6] Lihat Ahsan al-Kalam fi ma Yata’allaqu bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, hlm. 66.

[7] Lihat Ahsan al-Kalam fi ma Yata’allaqu bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, hlm. 66.

[8] Lihat Fatawa al-Sa‘diyyah, hlm. 591.

[9] Lihat Mausu‘ah al-Ahkam wa al-Fatawa al-Syar‘iyyah, hlm. 1199.

[10] Lihat Syarh Arba‘in al-Nawawiyah li al-Abbad, 20/37.

[11] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=EXlwxhdHmGM. Diakses pada 2 Ogos 2022.

[12] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=vA_TzGINsRU; https://www.youtube.com/watch?v=u_eoAbmgrL4.  Diakses pada 2 Ogos 2022.

[13] Lihat Fatawa Mu‘asirah, hlm. 81.

[14] Surah al-Baqarah: 195

[15] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

[16]  Lihat https://www.infosihat.gov.my/isu-semasa/43-bahaya-merokok.html.

[17] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question3.aspx?QuestionId=2317#.ZCUXIHZBy3A. Diakses pada 30 Mac 2023.

[18] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11328/ هل-التدخين-يبطل-الصيام؟. Diakses pada 30 Mac 2023.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *