#1194: Baiti Jannati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mutakhir ini, saya selalu mendengar isu rumah tangga artis di ambang perceraian. Sejujurnya, boleh beri tips ringkas bagaimana mengukuhkan rumah tangga dan selamat daripada perceraian?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, marilah sama-sama kita sentiasa muhasabah diri untuk memperolehi kebaikan dalam hidup dan memperbaikinya dari semasa ke semasa. Perjalanan kehidupan ini merupakan ibarat sedang meaniki sampan atau perahu dalam menuju ke destinasi yang penuh dengan ranjau dan duri danobak serta badainya yang sentiasa cuba menghalang dari sampai dengan selamat. Justeru, tidak pelik ramai yang karam.

Dalam ruangan kali ini, saya kemukakan dan cadangkan beberapa syor kepada pasangan berdasarkan penelitian kami:

  • Pilihlah pasangan berdasarkan agama dan akhlak. Ia meliputi lelaki atau perempuan kerana kedua-duanya adalah tunjang utama institusi kekeluargaan. 
  • Nilai tambah daripada keduanya di atas, adanya harta benda seperti jaminan pekerjaan, baik rupa paras, selamat daripada penyakit yang menggerunkan dan sekufu antara keduanya. Ini sudah pasti banyak memudahkan dalam kehidupan berumahtangga. 
  • Mulakan akad nikah dengan solat dan jadikan ia antara yang utama dalam kehidupan. Ditambah dengan solat malam, solat berjemaah, selalu membawa pasangan menuju ke masjid untuk berjemaah.
  • Dalam kehidupan, bukan dibina di atas pelaksanaan hak masing-masing seperti hak suami atau isteri tetapi lebih kepada natijah perkahwinan untuk melahirkan mawaddah, rahmah dan sakinah. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah al-Rum (21)

  • Konsep tidak membesarkan perkara yang kecil serta tidak memanjangkan perkara yang tidak penting di samping buangkan sifat yang remeh-temeh, adalah salah satu ramuan terbaik untuk kebahagiaan rumah tangga. Ini kerana, dapatan punca perceraian banyak berpunca dari isu-isu yang remeh-temeh yang sepatutnya boleh dimaafkan serta bertolak-ansur.
  • Dalam menguruskan kewangan jangan sekali-kali berkira dengan pasangan masing-masing kerana ini akan menggerhanakan hubungan. Sebagai contoh, isu bayaran tol atau isi minyak yang dipinjam oleh suami jika bersifat sekali-sekala tidak perlulah dituntut dengan sesungguh-sungguhnya.
  • Biasakan pasangan dengan menghadiri majlis ilmu agama terutamanya sekali atau dua kali semingggu termasuk anak-anak yang dibawa bersamanya. Melazimi perkara ini akan mendatangkan natijah yang terbaik dalam pembentukan rumah tangga bahagia. 
  • Sekali sekala dalam setahun atau beberapa bulan gunalah kesempatan untuk melancong bersama berdasarkan kemampuan dan kalaulah mampu pergilah menunaikan umrah bersama. 
  • Dalam sebulan ajaklah pasangan beberapa kali untuk makan di luar di tempat yang munasabah dan sesuai mengikut selera masing-masing.
  • Budayakan dalam hidup kekeluargaan untuk menziarahi orang tua mengikut kesesuaian sebulan atau dua bulan sekali agar ia mendapat restu yang baik dari orang tua kedua belah pihak. 
  • Biasakan memberi hadiah kepada pasangan masing-masing walaupun kecil terutamanya apabila pulang dari tempat yang jauh sebagai tanda ingatan. Benarlah sabda Nabi SAW: 

تهادُوْا تحابُّوا

Maksudnya: “Hendaknya kamu semua saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.”

Riwayat al-Bukhari (594), [Lihat: al-Adab al-Mufrad; m/s 306], Hadith Shohih, [Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44]

Sebenarnya terlalu banyak tips yang boleh kita ambil dari khazanah Islam terutamanya Rasulullah SAW yang menjadi qudwah dan uswah kepada kita semua. Boleh juga merujuk kepada buku kami yang bertajuk Baiti Jannati iaitu Rumahku Adalah Syurgaku.

Akhirnya, jangan sekali-kali lupa untuk membaca doa yang diajar di dalam al-Quran al-Karim:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *