#1196: Bacaan Basmalah ketika Menyembelih dan Hikmahnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Adakah membaca bismilah termasuk dalam syarat penyembelihan bagi membolehkan memakan haiwan yang jinak dan apakah hikmahnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Pada asasnya, menyebut nama Allah SWT atau bacaan ‘bismillah’ ke atas sembelihan ketika menyembelihnya adalah termasuk dalam syarat penyembelihan menurut syarak untuk membolehkan memakan haiwan yang jinak. Perkara ini adalah jelas dalam semua nas yang ada seperti firman Allah SWT: 

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ. ‏ وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ 

Maksudnya: Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya. Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.

(Surah al-An‘am: 118-119)

Syeikh al-Sa‘di ketika mensyarahkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya yang beriman sesuai dengan keimanan tersebut dan jika mereka benar-benar beriman, maka hendaklah mereka memakan haiwan ternakan dan haiwan-haiwan lain yang telah dihalalkan buat mereka, yang telah disebutkan nama Allah kepadanya (ketika menyembelihnya) dan menyakini akan kehalalannya. Janganlah mereka melakukan perbuatan sebagaimana perbuatan orang Jahiliyyah yang mengharamkan banyak daripada perkara yang halal kerana mengada-adakan sesuatu yang baru daripada pihak mereka sendiri, di samping penyesatan daripada syaitan-syaitan mereka. Justeru, Allah SWT menyebutkan bahawa tanda orang beriman adalah dengan menyelisihi orang Jahiliyyah dalam adat kebiasaan yang buruk ini yang termasuk dalam perbuatan mengubah syariat Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/270).

Begitu juga dalam ayat yang lain dinyatakan:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Maksudnya:Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).”

(Surah al-An‘am: 121)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, termasuk dalam haiwan yang dilarang untuk dimakan ialah haiwan yang hendak disembelih kerana Allah, yang tidak disebut nama Allah (yakni bacaan bismillah) ketika menyembelihnya, seperti haiwan untuk korban dan hady, atau haiwan bagi mendapatkan dagingnya dan untuk dimakan, sekiranya penyembelih tersebut sengaja meninggalkan bacaan basmalah itu di sisi majoriti ulama. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/270).

Begitu juga terdapat hadith di mana Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَكُلْ

Maksudnya:Apa sahaja yang boleh mengalirkan darah dan disebut nama Allah ke atasnya maka makanlah.”

Riwayat al-Bukhari (5498)

Selain itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi ada menyebutkan, di antara yang menguatkan lagi kewajipan syarat ini adalah hadith-hadith sahih mengenai penyertaan menyebut nama Allah SWT ketika berburu, ketika melepaskan panah (kepada haiwan buruan) atau ketika menghantarkan anjing buruan yang telah dilatih. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 57).

Manakala berkenaan hikmahnya pula, maka sudah pasti tuntutan menyebut nama Allah SWT (yakni Bismillah) ketika menyembelih itu ada rahsianya yang sepatutnya diperhatikan dan direnungkan dengan sebaik-baiknya. Sekurang-kurangnya terdapat dua hikmah yang dapat kita keluarkan daripada tuntutan tersebut iaitu:

  • Melakukan sedemikian untuk membezakan amalan yang biasanya dilakukan oleh penyembah berhala yang selalunya menyebut nama-nama tuhan mereka yang ditujukannya ketika penyembelihan. Jika si musyrik iaitu orang kafir menyebut nama tuhannya atau sembahannya pada ketika penyembelihannya, mengapa tidak pula orang Mukmin menyebut nama tuhannya (iaitu Allah SWT) ketika penyembelihan tersebut?
  • Semua binatang ini adalah sama (berkongsi) dengan manusia, dari sudut ia juga termasuk dalam kalangan makhluk Allah SWT. Selain itu, ia juga termasuk yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang bernyawa. Maka apa sebabnya manusia diberikan kuasa untuk membuat sesuatu ke atasnya serta mencabut nyawanya, kalau tidak dengan izin dan kebenaran daripada Penciptanya, iaitu Allah SWT yang telah menciptakan segala sesuatu di atas muka bumi ini semata-mata kerana makhluk manusia itu? Justeru, dengan menyebut nama Allah SWT di sini, merupakan suatu pengisytiharan kepada ramai dengan keizinan Ilahi ini. 

Seolah-olah manusia itu mengatakan: “Sesungguhnya aku tidak berbuat begitu kerana memusuhi atau mahu menganiayai makhluk Allah SWT ini, dan tidak juga kerana mempersendakannya, akan tetapi dengan nama Allah SWT (yang memberi keizinan) untuk aku menyembelihnya, dengan nama Allah SWT (yang memberi keizinan) untuk aku memburunya dan dengan nama Allah SWT (yang memberi keizinan) untuk aku memakan dagingnya.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 58).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *