#1199: Maqam Sa‘ad bin Abu Waqqas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Di manakah sebenarnya maqam Sa‘ad bin Abu Waqqas? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Beliau ialah Abu Ishaq Sa‘ad bin Abu Waqqas Malik bin Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Zuhri al-Makki. Beliau termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga, salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan juga menyertai Hudaibiyyah, serta salah seorang daripada enam ahli syura. Selain itu, beliau turut meriwayatkan sejumlah hadith. Hadith-hadithnya yang terdapat dalam al-Sahihain adalah sebanyak 15 hadith. Hadith-hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari sahaja adalah sebanyak lima hadith, manakala yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sahaja pula adalah sebanyak 18 hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Aisyah, Ibn Abbas, al-Sa’ib bin Yazid, Qais bin Abu Hazim, Sa‘id bin al-Musayyib, Abu Uthman al-Nahdi dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/93). 

Tambahan lagi, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang paling awal memasuki Islam. Beliau memeluk agama Islam ketika berumur 17 tahun. Beliau terkenal dengan keberaniannya dalam peperangan membela agama Islam. Beliau dikenali sebagai orang yang pertama melepaskan anak panah dalam membela agama Allah dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Beliau bersama Nabi SAW hampir dalam setiap peperangan. 

Abu Ya‘la dalam musnadnya menyebutkan, Muhammad bin al-Muthanna menyampaikan kepada kami, Abdullah bin Qais al-Raqasyi menyampaikan kepada kami, Ayyub menyampaikan kepada kami, daripada Nafi‘, daripada Ibn Umar, katanya: Kami duduk di sisi Nabi SAW dan Baginda bersabda: “Seseorang lelaki daripada kalangan ahli syurga akan masuk menemui kamu dari pintu ini. ” Lalu muncullah Sa‘ad bin Abu Waqqas (dari pintu itu). Selain itu, terdapat dalam riwayat lain daripada Risydin bin Sa‘ad, daripada al-Hajjaj bin Syaddad, daripada Abu Soleh al-Ghifari, daripada Abdullah bin ‘Amr bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Orang pertama yang masuk dari pintu ini merupakan seseorang daripada kalangan ahli syurga.” Lalu Sa‘ad bin Abu Waqqas masuk melaluinya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/108).

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abu Uthman al-Nahdi bahawasanya Sa‘ad bin Malik berkata: Diturunkan ayat ini mengenaiku: 

وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا

Maksudnya:Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.” 

(Surah al-‘Ankabut: 8) 

Beliau berkata: “Aku adalah seorang yang sangat menghormati dan berbuat baik kepada ibuku. Apabila aku memeluk Islam, ibuku berkata: ‘Wahai Sa‘ad, apakah yang telah engkau lakukan ini? Tinggalkanlah agamamu itu atau aku tidak akan makan dan minum sehinggalah aku mati. Lalu aku dicela, dikatakan: Wahai pembunuh ibunya.’ Aku berkata: ‘Jangan lakukannya, wahai ibu kerana sesungguhnya aku tidak akan meninggalkan agamaku untuk sesuatu seperti ini.’ Maka dia tidak makan sehari semalam sehingga dia menjadi letih dan lemah, kemudian dia juga tidak makan pada sehari semalam berikutnya sehinggalah badannya bertambah letih dan lemah. Apabila aku melihat perkara itu, aku katakan: ‘Wahai ibu, ketahuilah, demi Allah, jika engkau memiliki seratus nyawa sekalipun, lalu ia dicabut satu satu daripadamu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku ini untuk sesuatu apapun. Sekiranya engkau mahu engkau boleh makan, dan sekiranya engkau mahu juga engkau boleh tidak makan. Lalu dia pun makan. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/109-110; Tafsir al-Tabari secara ringkas, 20/138; Tarikh Dimasyq dengan sedikit perbezaan, 20/331).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Sa‘ad bin Abu Waqqas R.A menghembuskan nafas yang terakhir di rumahnya sendiri di al-‘Aqiq yang jaraknya 7 batu dari Madinah, dan ada yang berpendapat jarak antara keduanya adalah 10 batu. Kemudian, beliau dibawa ke Madinah dengan dipikul di atas leher para lelaki sehinggalah beliau disolatkan di Masjid Nabi SAW. Kemudian, beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘, di Madinah.  Usianya ketika meninggal dunia ialah 70 tahun lebih, dan merupakan sahabat dalam kalangan Muhajirin yang paling akhir meninggal dunia. 

Berkenaan tahun kewafatan beliau pula, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, para ulama berselisih pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 51 Hijrah. Ada juga yang berpendapat pada tahun 56 Hijrah. Ada juga yang berpendapat pada tahun 57 Hijrah. Ada juga yang berpendapat pada tahun 55 Hijrah dan ada juga yang berpendapat pada tahun 54 Hijrah. Walau bagaimanapun, menurut al-Waqidi, pendapat yang paling kuat berkenaan tarikh kewafatannya ialah pada tahun 55 Hijrah. Namun, Abu Nu‘aim pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/97; Siyar al-Salaf al-Salihin oleh Isma‘il al-Asbahani, 1/238; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 2/610; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 3/62-63).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *