#12 Anjing Ashab al-Kahfi di dalam Syurga

-40%

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Rawatib

Rated 0 out of 5
RM3.00
-100%
Rated 0 out of 5
RM0.00
-44%
Rated 0 out of 5
RM20.00
-25%

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Benarkah anjing Ashab al-Kahfi berada di dalam syurga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah anjing ashab al-Kahfi ini ada dirakamkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya:Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.”[1]

Menurut Imam al-Baghawi, kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat (وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ) adalah merujuk kepada anjing. Namun, terdapat pendapat bahawa ia adalah merujuk kepada binatang buas sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Juraij bahawa ia ialah singa dan dinamakan singa sebagai “anjing”. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu ‘Aqrab al-Bakri al-Kinani berkenaan doa Nabi SAW kepada ‘Utbah bin Abu Lahab:

اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ، فقتلَهُ الأسدُ

Maksudnya:Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)-Mu.” Lalu dia telah dibunuh oleh singa.[2]

Sekalipun begitu, pendapat yang pertama — yakni anjing — adalah umum diketahui. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa ia ialah seekor anjing yang berwarna kelabu terang. Diriwayatkan mengenainya bahawa ia lebih besar daripada anjing jenis baka poodle dan lebih kecil daripada anjing jenis baka Kangal Kurdish.[3]

Seterusnya, mengenai hal ini Ibn Kathir ada menjelaskan bahawa ramai tukang-tukang cerita dan ahli-ahli tafsir menyebutkan tentang anjing ini dengan berita dan cerita yang panjang lebar. Kebanyakkannya diambil daripada kisah Israiliyyat. Banyak daripadanya adalah palsu dan tidak ada apa-apa faedah seperti khilaf mereka mengenai nama dan warna anjing tersebut.[4]

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #6 Nama dan Warna Anjing Ashab al-Kahfi.[5]

Haiwan-haiwan yang berada di dalam syurga

Pertamanya, apa yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, yang Allah SWT sediakan untuk orang beriman di dalam syurga sama ada ia dinaskan seperti burung-burung sebagaimana firman-Nya:

وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ

Maksudnya:Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.”[6]

Atau disebutkan secara mutlak sebagaimana firman-Nya:

وَأَمْدَدْنَاهُم بِفَاكِهَةٍ وَلَحْمٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ

Maksudnya:Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.”[7]

Begitu juga lembu jantan yang disediakan oleh Allah SWT sebagai makanan buat ahli syurga. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Thauban maula Rasulullah SAW menceritakan, katanya:

كُنْتُ قائِمًا عِنْدَ رَسولِ اللهِ ﷺ فَجاءَ حِبْرٌ مِن أحْبارِ اليَهُودِ فَقالَ: السَّلامُ عَلَيْكَ يا مُحَمَّدُ فَدَفَعْتُهُ دَفْعَةً كادَ يُصْرَعُ منها فَقالَ: لِمَ تَدْفَعُنِي؟ فَقُلتُ: ألا تَقُولُ يا رَسولَ اللهِ، فَقالَ اليَهُودِيُّ: إنَّما نَدْعُوهُ باسْمِهِ الذي سَمّاهُ به أهْلُهُ. فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ اسْمِي مُحَمَّدٌ الذي سَمّانِي به أهْلِي، فَقالَ اليَهُودِيُّ: جِئْتُ أسْأَلُكَ، فَقالَ له رَسولُ اللهِ ﷺ: أيَنْفَعُكَ شيءٌ إنْ حَدَّثْتُكَ؟ قالَ: أسْمَعُ بأُذُنَيَّ، فَنَكَتَ رَسولُ اللهِ ﷺ بعُودٍ معهُ، فَقالَ: سَلْ فَقالَ اليَهُودِيُّ: أيْنَ يَكونُ النّاسُ يَومَ تُبَدَّلُ الأرْضُ غيرَ الأرْضِ والسَّمَواتُ؟ فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: هُمْ في الظُّلْمَةِ دُونَ الجِسْرِ قالَ: فمَن أوَّلُ النّاسِ إجازَةً؟ قالَ: فُقَراءُ المُهاجِرِينَ قالَ اليَهُودِيُّ: فَما تُحْفَتُهُمْ حِينَ يَدْخُلُونَ الجَنَّةَ؟ قالَ: زِيادَةُ كَبِدِ النُّونِ، قالَ: فَما غِذاؤُهُمْ على إثْرِها؟ قالَ: يُنْحَرُ لهمْ ثَوْرُ الجَنَّةِ الذي كانَ يَأْكُلُ مِن أطْرافِها قالَ: فَما شَرابُهُمْ عليه؟ قالَ: مِن عَيْنٍ فِيها تُسَمّى سَلْسَبِيلًا قالَ: صَدَقْتَ

Maksudnya: Aku berdiri berhampiran Rasulullah SAW. Tiba-tiba datang seorang pendeta Yahudi seraya berkata: “Assalamualaika Ya Muhammad (Salam sejahtera ke atas kamu hai Muhammad).” Lantas aku menolaknya dengan tolakan yang menyebabkan dia hampir-hampir jatuh. Lantas dia bertanya: “Kenapa kamu menolakku?” Maka jawabku: “Sepatutnya, kamu kata wahai Rasulullah.” Kemudian Yahudi menjawab: “Sesungguhnya kami menyeru dengan nama yang diberi oleh keluarganya.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya namaku Muhammad, sebagaimana keluargaku menamakan dengannya.” Kemudian Yahudi bertanya: “Aku datang untuk bertanyakan kepadamu.” Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Adakah itu memberikan manfaat kepadamu jika aku menjawabnya?” Jawab Yahudi: “Aku dengar dengan dua telingaku.” Rasulullah SAW mengambil sepotong kayu kecil dan menekannya pada tanah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Tanyalah.” Lantas Yahudi bertanya: “Di mana keadaan manusia pada hari bumi ditukar yang bukan lagi seperti bumi dan langit?” Jawab Rasulullah SAW: “Mereka berada dalam kegelapan, berhampiran titian.” Dia bertanya: “Siapa golongan yang mula-mula melintasnya?” Baginda menjawab: “Orang fakir dalam kalangan Muhajirin.” Dia bertanya: “Apakah hidangan penduduk syurga ketika mereka memasuki syurga?” Baginda menjawab: “Sejuzuk bahagian hati ikan yang paling lazat.” Dia bertanya lagi: “Apa lagi makanan setelah itu.” Baginda menjawab: “Disembelih untuk mereka lembu jantan syurga yang makanannya di tepi-tepi taman-taman syurga.” Dia bertanya: “Apakah minuman mereka?” Baginda menjawab: “Daripada air mata yang dinamakan salsabila.” Katanya: “Benarlah kamu.”[8]

Keduanya, hadith-hadith yang menyebutkan sebahagian haiwan yang berada di dalam syurga secara spesifik. Antaranya ialah hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا فِي مُرَاحِ الْغَنَمِ وَامْسَحُوا رُغَامَهَا فَإِنَّهَا مِنْ دَوَابِّ الْجَنَّةِ

Maksudnya:Dirikanlah solat di dalam kandang kambing dan bersihkanlah tanah daripadanya kerana sesungguhnya ia termasuk dalam haiwan syurga.[9]

Lafaz “رغام” dengan huruf ghin “غ” bermaksud tanah. Akan tetapi terdapat riwayat lain dengan lafaz “رعام” dengan huruf ‘ain “ع” iaitu bermaksud apa yang mengalir dari hidung kambing. Justeru, maksud hadith di atas ialah bersihkanlah daripadanya tanah atau bersihkanlah apa yang mengalir dari hidungnya bagi memperelok keadaannya dan memeliharanya.[10]

Selain itu, dalam riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Ansari, beliau berkata:

جاءَ رَجُلٌ بناقَةٍ مَخْطُومَةٍ، فَقالَ: هذِه في سَبيلِ اللهِ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: لكَ بها يَومَ القِيامَةِ سَبْعُ مِئَةِ ناقَةٍ كُلُّها مَخْطُومَةٌ

Maksudnya:Seorang lelaki datang dengan membawa seekor unta yang telah diikat dengan tali kekangnya, lalu berkata: ‘Ini — aku berikan — untuk jalan Allah.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Engkau akan memperoleh pada Hari Kiamat kelak tujuh ratus ekor unta yang kesemuanya berserta tali kekangnya.”[11]

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama berbeza pendapat akan makna hadith ini. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa maknanya ialah baginya pahala seperti 700 ekor unta, dan ada juga yang berpegang dengan makna zahirnya iaitu dalam syurga kelak dia akan memperoleh 700 ekor unta yang setiap satu daripadanya memiliki tali kekang. Dia akan menunggang unta-unta tersebut sebagaimana yang dia kehendaki bagi bersiar-siar di dalam syurga. Hal ini adalah seperti mana hadith-hadith yang menyebut mengenai kuda dan unta syurga. Justeru, kemungkinan (ihtimal) ini adalah lebih kuat.[12]

Di samping itu, dalam riwayat Abu Ayyub al-Ansari, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إنّ أهْلَ الجَنَّةِ يَتَزَاوَرُونَ على النَّجائِبِ بيض كأَنَّهُنَّ الياقُوتُ وليْسَ فِي الجَنَّةِ شَيْءٌ مِنَ البَهائِمِ إلَاّ الإِبلُ والطَّيْرُ

Maksudnya:Sesungguhnya ahli syurga saling ziarah-menziarahi dengan menaiki unta-unta putih yang terbaik seumpama batu permata. Tiada di dalam syurga suatu pun daripada binatang ternakan kecuali unta dan burung.”[13]

Al-Haithami menyebutkan bahawa terdapat dalam riwayat al-Tabarani seorang perawi yang bernama Jabir bin Nuh dan dia seorang yang lemah.[14] Selain itu, riwayat ini juga dinyatakan sebagai dhaif dalam Dhaif al-Jami‘.[15]

Begitu juga dalam sebuah riwayat daripada Sulaiman bin Buraidah daripada bapanya, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

يا رسولَ اللهِ هل في الجنَّةِ من خيلٍ قال: إنَّ اللهَ أدخلَك الجنَّةَ فلا تشاءُ أن تحملَ فيها على فرسٍ من ياقوتةٍ حمراءَ يطيرُ بك في الجنَّةِ حيث شئتَ قال: وسأله رجلٌ فقال: يا رسولَ اللهِ هل في الجنَّةِ من إبِلٍ؟ قال: فلم يقُلْ له مثلَما قال لصاحبِه، قال: إن يُدخِلْك اللهُ الجنَّةَ يكن لك فيها ما اشتهَتْ نفسُك ولذَّتْ عينُكَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, adakah di dalam syurga ada kuda?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya, jika Allah SWT memasukkan engkau ke dalam syurga, lalu engkau ingin menunggang seekor kuda daripada batu delima berwarna merah, yang membawa engkau terbang di dalam syurga ke mana pun engkau mahu — pasti keinginan itu akan terlaksana.” Perawi berkata: Ada seorang lelaki lain bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah di dalam syurga ada unta?” — Perawi berkata: “Baginda tidak menjawab kepadanya dengan jawapan seperti yang ditujukan kepada temannya tadi.” — Baginda menjawab: “Jika Allah memasukkan engkau ke dalam syurga, di dalamnya engkau boleh mendapatkan apa sahaja yang diingini oleh hati engkau dan mata engkau juga senang melihatnya.”[16]

Walau bagaimanapun, kita hendaklah mengetahui bahawa kesemua burung, kuda, unta dan lain-lain haiwan yang disebutkan terdapat di dalam syurga, tiadalah persamaan antara haiwan-haiwan itu dengan yang berada di dunia melainkan pada nama sahaja. Adapun hakikat dan sifatnya yang sebenar, tiadalah sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan hanya Allah SWT. Perkara yang kita ketahui hanyalah, kesemua itu merupakan kurniaan dan nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya di dalam syurga.

Adakah anjing Ashab al-Kahfi akan berada di syurga?

Mengenai hal ini, disebutkan dalam kitab al-Asybah wa al-Naza’ir bahawa tidak ada haiwan yang akan memasuki syurga melainkan lima haiwan iaitu anjing ashab al-Kahfi, kibas Isma‘il, unta Soleh, himar ‘Aziz dan Buraq Nabi SAW.[17] Abu al-Abbas al-Hamawi menyebutkan bahawa maknanya ialah haiwan yang tidak boleh berkata-kata kerana jika tidak manusia juga termasuk dalam jenis haiwan. Dinyatakan dalam Syarh Syir‘ah al-Islam, Muqatil mengatakan bahawa terdapat sepuluh haiwan yang akan memasuki syurga iaitu unta Muhammad SAW, unta Soleh A.S, anak lembu Ibrahim A.S, kibas Isma‘il A.S, lembu Musa A.S, ikan paus Yunus A.S, himar ‘Aziz, semut Sulaiman A.S, hudhud Balqis dan anjing ashab al-Kahfi, kesemuanya akan dibangkitkan.[18]

Namun, soalan yang sama juga pernah diajukan kepada Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah dan mereka menjawab bahawa mereka tidak mengetahui adanya dalil yang mensabitkan bahawa anjing Ashab al-Kahfi itu berada di dalam syurga. Begitu juga tidak diketahui bahawa perkara itu diambil daripada Israiliyyat ataupun tidak. Sedangkan urusan mengenai syurga ini termasuk dalam perkara ghaib, yang tidak mungkin diketahui secara pasti siapakah yang akan memasukinya melainkan dengan dalil bersumberkan wahyu.[19] Begitu juga Syeikh Mustafa al-‘Adawi pernah menyatakan bahawa ia sesuatu yang pelik dan ganjil ketika ditanya mengenai adakah anjing ashab al-Kahfi dan unta Soleh masuk syurga kerana tiada dalil yang menunjukkan perkara tersebut.[20]

Kesimpulannya

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, oleh sebab ia berkaitan dengan perkara ghaibiyyat, maka kami memilih untuk bertawaqquf dalam isu ini sehinggalah kami menemui hadith sahih yang menyatakan perkara tersebut — yakni anjing Ashab al-Kahfi itu berada di dalam syurga. Hal ini kerana para ulama yang menukilkan bahawa anjing ashab al-Kahfi ini berada di dalam syurga, tidak menyebutkan bersama apa-apa dalil mahupun nas yang menunjukkan perkara itu. Sedangkan sebarang kenyataan berhubung perkara ghaibiyyat mestilah disertai dengan hujah yang sahih bagi menyokongnya. Lebih-lebih lagi, terdapat sebuah athar yang menjelaskan bahawa segala haiwan akan menjadi tanah pada Hari Kiamat sebagaimana dinukilkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

إنَّ اللهَ يحشرُ الخلقَ كلَّهم كلَّ دابةٍ وطائرٍ وإنسانٍ يقول للبهائم والطيرِ: كونوا ترابًا، فعند ذلك يقول الكافرُ: يا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرابًا

Maksudnya:Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan seluruh makhluk (pada hari akhirat kelak), iaitu setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berfirman kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘Jadilah kamu tanah.’ Lalu pada saat itulah orang kafir berkata: ‘Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (seperti haiwan dan burung, supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).’[21]

Pada kesempatan ini juga, kami ingin mengingatkan bahawa sepatutnya perkara yang menjadi keutamaan ialah apa yang disimpulkan oleh Allah SWT berkenaan kisah Ashab al-Kahfi ini iaitu pengajaran dan faedah daripada kisahnya sendiri. Pesan-pesan tauhid dan konsisten atas jalan Islam dalam kisah inilah yang wajar diberi perhatian yang serius, sesuai dengan tuntutan zaman kini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Kahfi: 18

[2] Riwayat al-Hakim (3984); Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (6926); Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa riwayat ini adalah hasan. (Lihat Fath al-Bari, 4/48)

[3] Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184.

[4] Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/115.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/6-nama-dan-warna-anjing-ashab-al-kahfi/.

[6] Surah al-Waqi‘ah: 21

[7] Surah al-Tur: 22

[8] Riwayat Muslim (315)

[9] Riwayat al-Baihaqi (4533); hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3789)

[10] Lihat Faidh al-Qadir, 4/201.

[11] Riwayat Muslim (1892)

[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/38.

[13] Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir, 4/179.

[14] Lihat Majma‘ al-Zawaid, 10/413.

[15] Lihat Dhaif al-Jami‘ (1833)

[16] Riwayat al-Tirmizi (2543); hadith ini dinilai sebagai baik dalam Sahih al-Targhib (3/522).

[17] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 331.

[18] Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir, 4/131.

[19] Lihat juga Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 1/2262.

[20] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=vbzayUxxsTA.

[21] Lihat Tafsir al-Tabari, 24/181. Pengarang al-Silsilah al-Sahihah (4/607) menyebutkan bahawa sanadnya adalah sahih.

Leave a Reply

Your email address will not be published.