#1202: Terpijak Biasan Ayat al-Quran di Lantai

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum terpijak biasan ayat suci al-Quran yang terbias di lantai masjid disebabkan oleh sinaran cahaya matahari? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur. 

Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja — bagi kehidupan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/208; lihat juga Faidh al-Qadir, 2/66).

Perkara ini turut dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:

لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ

Maksudnya:Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).

Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. AL-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat seboleh-bolehnya elakkanlah daripada memijak biasan ayat al-Quran yang terhasil di lantai, sama ada ia terbias dengan sempurna atau tidak sempurna, jelas ataupun tidak jelas kerana dikhuatiri ia termasuk dalam perbuatan yang boleh dianggap menghina kalimah suci al-Quran. Namun, sekiranya tidak sengaja memijaknya kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan seperti ia berada di satu-satunya laluan keluar masjid dan seumpamanya, maka tidak mengapa sekadar yang tidak dapat dielakkan. 

Begitu juga pada kesempatan ini juga, kami mencadangkan agar dielakkan penggunaan pintu gelongsor kaca atau bingkai kaca yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang boleh membiaskan cahaya matahari sehingga terbentuk di permukaan lantai lalu orang ramai terpaksa memijaknya. Sekalipun bukan disengajakan, tetapi ia perlu sentiasa dielakkan sebaik mungkin agar tidak mendatangkan fitnah dalam masyarakat dan kepada agama itu sendiri. Jika tidak dapat menggantikannya kerana kos yang mahal dan menyusahkan, maka lakukanlah sesuatu agar ia tidak terbias di lantai seperti dengan menampal bahan-bahan yang boleh menghalang cahaya menembusinya sehingga boleh membiaskan ayat-ayat tersebut di lantai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2023 bersamaan 9 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *