#1204: Makan Kepala Ayam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu soalan. Baru-baru ini saya dihidangkan dengan sup kepala ayam, dan ini kali pertama saya melihat kepala ayam dimasak. Soalan saya, bolehkah kita makan kepala ayam tersebut? Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Sebelim kami menjawab, di sana terdapat hadith daripada riwayat Abu Musa al-Asy‘ari bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ دَجَاجاً

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW makan (daging) ayam

Riwayat al-Bukhari (5517)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk memakan ayam jinak dan ayam liar secara sepakat para ulama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/450).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Abu al-Husain Yahya bin Abu al-Khair ada menyatakan bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80).

Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Oleh yang demikian, semua haiwan yang halal dimakan termasuklah ayam, apabila disembelih maka semua bahagian-bahagiannya seperti kepalanya, dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis adalah halal untuk dimakan.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kepala ayam adalah termasuk dalam bahagian yang halal untuk dimakan. Hal ini kerana sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan yang halal dimakan, turut menghalalkan semua bahagian anggota haiwan tersebut dan harus untuk kita mengambil manfaat dengannya selagi mana bukan najis dan tidak memudaratkan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni halal dimakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *