#1205: Suntikan Kolagen di Wajah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh beri ulasan terhadap isu suntikan kolagen di muka untuk menghilangkan bekas luka jerawat, dan stretch mark atau seumpamanya seperti yang dilakukan oleh sesetengah wanita pada masa kini?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”[1]

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.[2]

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.[3]

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT.[4]

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.[5]

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”[6]

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”[7]

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT.[8]

Definisi dan Proses Suntikan Kolagen

Kolagen ialah protein utama yang terdapat pada tisu penghubung, kulit, tulang dan tulang rawan, yang menghasilkan gelatin apabila direbus.[9] Ahli dermatologi di New York City, Dr Debra Jaliman menyatakan bahawa kolagen adalah protein yang paling banyak terdapat di dalam kulit, membentuk 75-85% organ yang mengagumkan. Berserta tisu elastik, kolagen ditemui pada dermis atau lapisan tengah kulit dan menyebabkan kulit anjal. Selain itu, kolagen juga terdapat dalam tulang, tendon, ligamen, otot, saluran darah dan rambut. Ia merupakan komponen utama tisu penghubung tubuh.[10]

Kolagen mempunyai kekuatan tegangan yang sangat baik – ia adalah salah satu protein struktur berserabut panjang yang memberikan sel menstruktur daripada luar, serta menyokong majoriti tisu badan. Sebagai asid amino, kolagen adalah diperbuat daripada kumpulan berfungsi amina (-NH2) dan asid karboksilik (-COOH). Unsur utama kolagen ialah hidrogen, oksigen, nitrogen, dan karbon.

Kolagen mengandungi tiga-kandas segmen berheliks daripada struktur serupa. Kelimpahan luar biasa tiga asid amino glisina, prolina, dan hidroksiprolina, memberikan kolagen struktur berheliks tiga kali ganda. Komposisi kolagen dianggap unik dalam memberikan kandungan tinggi hidroksiprolina.[11]

Menurut laman web perubatan, WebMD, suntikan kolagen berfungsi dengan mengganti semula (replenish) kolagen semula jadi yang ada dalam kulit. Dengan menambah kolagen kulit melalui suntikan, ia membantu melicinkan lagi garis muka dan beberapa jenis parut. Kecantikan semula jadi yang ada pada kulit akan bertambah apabila kontur pada struktur penampung (support structure) diperbaharui. Kolagen boleh datang daripada lembu (bovine), babi (porcine), atau sel manusia.

Sebelum mendapatkan suntikan kolagen, seseorang itu perlu terlebih dahulu melalui ujian kulit kolagen. Sebilangan kecil kolagen disuntik di lengan bawah dan kawasan itu dipantau pada bulan berikutnya mencari sebarang tanda tindak balas alahan. Jika tidak ada sebarang tanda alahan, doktor boleh meneruskan rawatan kolagen. Seseorang itu juga mungkin menerima suntikan kecil anestesia untuk mengebaskan kawasan yang dirawat. Terdapat kemungkinan lebam sedikit, dan mungkin mengalami bengkak, kemerahan dan kelembutan di sekitar tapak yang dirawat.

Adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda dengan tepat apa yang anda boleh jangkakan daripada setiap rawatan. Bersama-sama, anda boleh mengutamakan bahagian muka yang anda ingin rawat dan membincangkan jumlah rawatan yang mungkin anda perlukan dan anggaran kos. Anda sepatutnya mempunyai jangkaan yang realistik tentang hasil yang mungkin. Adalah penting untuk mengetahui bahawa satu rawatan mungkin tidak akan menghilangkan setiap garis pada wajah anda.[12]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Hukum Suntikan Kolagen

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya rawatan kecantikan melalui suntikan kolagen adalah bertujuan untuk mengganti semula (replenish) kolagen semula jadi yang ada dalam kulit lalu mengembalikan semula kecantikannya, memelihara keremajaan kulit dan mengecilkan kedutan. Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Dr. Soleh al-Fauzan ada menetapkan tiga syarat bagi mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:

  • Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
  • Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
  • Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada penipuan atau mengubah ciptaan Allah, maka ia tidak dibolehkan, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang yang sudah tua. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 351).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan suntikan kolagen adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib kerana kedutan yang berlebihan di wajahnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar, untuk tujuan rawatan dan seumpamanya. Selain itu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudarat kepada penerima rawatan tersebut dan kolagen yang hendak digunakan itu diambil daripada bahan yang suci dan bukannya najis.

Adapun jika suntikan kolagen ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, akibat penuaan yang tidak normal kerana pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan melalui suntikan kolagen ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Surah al-Nur: 31

[2] Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.

[3] Surah al-A‘raf: 32

[4] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90.

[6] Surah al-Rum: 30

[7] Surah al-Nisa’: 119

[8] Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222.

[9] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kolagen. Diakses pada 30 Mac 2023.

[10] Lihat artikel yang ditulis oleh Farah Aziz dan disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor pada 29/07/2020. https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/minuman-kolagen-benar-benar-bermanfaat-atau-hanya-helah-kecantikan/. Diakses pada 2 April 2023.

[11] Lihat https://hellodoktor.com/sihat-bergaya/penjagaan-kulit/apa-anda-perlu-tahu-mengenai-kolagen/. Diakses pada 2 April 2023.

[12] Lihat https://www.webmd.com/beauty/collagen-injections#1. Diakses pada 31 Mac 2023.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *