#1206: Tafsir Surah al-Baqarah Ayat 187

Soalan: 

Assalamulaikum Dato’ Seri. Bolehkah terangkan kepada kami berkenaan tafsir bagi Surah al-Baqarah ayat 187

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Secara umumnya, di dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan berkenaan hal dalam rumahtangga. Sebagai contohnya bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri pada malam Ramadhan dan makan minum selepas solat isyak.

Menurut AL-Qurtubi dalam tafsirnya, lafaz ( أُحِلَّ لَكُمْ) itu menunjukkan bahwa bercampur dengan isteri merupakan suatu hal yang diharamkan sebelumnya, dan kemudian ia dinaskhkan (dihapuskan). Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari al-Barra bahawa Qais bin Shirmah al-Ansari bertanya kepada isterinya, “Adakah engkau mempunyai makanan?” lalu isterinya berkata, “Tidak, akan tetapi aku akan meminta (makanan) untukmu. Namun begitu, pada siang hari tersebut, Qais Bin Shirmah bekerja keras dan tidak dapat menahan matanya, lalu tertidur, Pada malam itu, isterinya melihat suaminya tertidur, maka dia berkata, “ Alangkah malangnya engkau.” Keesokan harinya, pada waktu tengahari, Qais Bin Shirmah pengsan. Peristiwa ini diceritakan kepada Nabi Muhammad SAW, lalu turunlah ayat: (أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ). Maka, apabila mendengar berita tersebut, mereka bergembira. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 2/314)

Selain itu, menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan berkenaan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT bagi kaum muslimin serta penghapusan kepada hukum sebelumnya. Pada saat itu, seseorang yang sudah tidur atau solat isyak, maka diharamkan baginya makan, minum dan berhubungan intim sehingga sampai malam berikutnya. Hal ini menyebabkan mereka berasa sangat berat. Erti al-rafath dalam ayat diatas adalah al-jima’ (bersetubuh). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/375)

Seterusnya, menurut al-Sayuti, ayat ini turun bagi menasakhkan hukum yang berlaku di masa permulaan Islam yakni pengharaman bersetubuh dengan isteri, makan dan minum setelah waktu Isyak. (Mereka itu pakaian bagi kamu dan kamu pakaian bagi mereka) kiasan tersebut membawa erti mereka berdua saling bergantung dan saling memerlukan. (Allah mengetahui bahwa kamu akan berkhianat pada dirimu) dengan melakukan jimak atau berhubungan suami isteri pada malam hari puasa. Hal ini pernah terjadi atas diri Umar dan sahabat lainnya, lalu mereka segera memberitahu kepada Nabi SAW.

Begitu juga, Allah SWT berfirman: (dan makan minumlah) sepanjang malam itu (hingga nyata) atau jelas (bagimu benang putih dari benang hitam berupa fajar sidik). (Kemudian sempurnakanlah puasa itu) dari waktu fajar (sehingga malam) maksudnya masuknya malam dengan terbenamnya matahari. (Rujuk Tafsir Jalalain, ms 29)

 

KESIMPULAN

Justeru itu, dapat difahami di sini bahawa ayat di atas secara umumnya membincangkan berkenaan ruskhsah yang telah diberikan oleh Allah SWT untuk bersama (berhubungan) dengan isteri pada malam hari Ramadhan dan makan minum selepas tidur atau selepas solat isyak. Ayat ini juga bagi menaskhkan syariat yang sebelum ini, di mana seseorang yang telah tidur atau solat isyak sebelum berbuka puasa, maka diharamkan atasnya untuk makan, minum dan berhubungan intim. Hal ini menyebabkan para sahabat berasa berat syariat tersebut lalu, diajukannya kepada Rasulullah SAW dan turunlah ayat:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.

Atas asas itu, ibadah puasa pada bulan Ramadhan merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan bagi seluruh umat Islam kecuali pada mereka yang berkeuzuran. Melalui ayat di atas juga, dapat kita lihat betapa besarnya nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama meraih pahala sebanyak mungkin pada bulan yang mulia ini agar ia menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *