#1208: Makanan Paling Afdhal Untuk Berbuka

Soalan:

Assalamulaikum Dato’ Seri. Apakah makanan yang paling afdhal ketika berbuka puasa, dan bagaimana tertibnya? Begitu juga, boleh nyatakan kepada kami beberapa adab ketika berbuka puasa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berdasarkan nas hadith, berbuka dengan ruthob (buah kurma basah) terlebih dahulu sebagai mana sunnah Nabi SAW dan kemudian barulah yang lain seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Anas bin Malik:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji ruthob. Sekiranya tiada ruthob, maka baginda berbuka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka baginda meneguk beberapa teguk air.

Riwayat Tirmizi (696), Abu Dawud (2356) dan Ahmad (12676)

Sebelum kami panjangkan lagi jawapan di atas kami nyatakan di sini adab-adab berbuka puasa, antaranya:

1) Menyegerakan berbuka puasa, ini berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d, Nabi SAW bersabda:

لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرِ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Sahih al-Bukhari (1957) dan Sahih Muslim (1098)

2) Bersederhana dan tidak melakukan pembaziran makanan, hal yang demikian kerana pembaziran amatlah ditegah seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau (membazir); sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Surah al-A’raf (31)

3) Disunatkan berdoa beberapa minit sebelum berbuka kerana ia merupakan antara waktu mustajab berdoa, sabda Nabi SAW di dalam hadith daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As RA:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

Riwayat Ibn Majah (345)

 

Tertib Makanan Yang Afdhal Didahulukan Ketika Berbuka Puasa

Kembali kepada soalan berkenaan makanan yang paling afdhal ketik8a berbuka puasa, para ulama’ menggunakan hadith yang sama seperti hadith berbuka dengan ruthob di atas.

Imam al-Mubarakfuri menyatakan hadis tersebut menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan ruthob. Sekiranya tiada, maka berbuka dengan tamar dan sekiranya tiada, maka dengan meneguk air.[1]

Terdapat juga hadith lain yang menyebutkan bahawa Nabi SAW suka untuk berbuka dengan 3 biji tamar (kurma kering) seperti yang diriwayatkan oleh Anas Bin malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُفْطِرَ عَلَى ثَلَاثِ تَمَرَاتٍ أَوْ شَيْءٍ لَمْ تُصِبْهُ النَّارُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka gemar berbuka dengan tiga biji tamar, atau dengan apa sahaja makanan yang tidak dimasak diatas api.

Riwayat Abu Ya’la (3305), sanad hadith ini dhaif

Imam Al-Nawawi ada menyebutkan di dalam Raudhah Al-Tolibin bahawa Imam Al-Ruyani berkata: “(Disunatkan seseorang itu) berbuka dengan tamar. Jika dia tidak mendapatinya, maka berbuka dengan manisan lain. Jika dia tidak mendapatinya, maka berbuka dengan air.”[2]

Kemudian beliau menyebutkan di dalam Al-Majmu’ bahawa pandangan tersebut syaz (ganjil), pendapat yang sahih ialah Nabi SAW mendahulukan air dahulu jika baginda tidak mendapati tamar tanpa perantaraan (tanpa mendahulukan manisan sebelum air).[3]

Merujuk kepada dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama’ tersebut, Al-‘Allamah Al-Husain Al-Hulaymi menyimpulkan bahawa yang paling utama adalah berbuka dengan makanan yang tidak dimasak diatas api.[4]

 

Kesimpulan:

Selepas meneliti pandangan para ulama’, kami meletakkan turutan makanan yang paling afdhal untuk kita berbuka puasa:

  • Ruthob (Kurma Basah).
  • Tamar (Kurma Kering).
  • Air.
  • Makanan yang tidak dimasak di atas api.
  • Manisan lain.

Tertib dan turutan ini berdasarkan hadith – hadith yang telah disebutkan di atas, kami memandang manisan lain sesuai diletakkan pada turutan terakhir kerana tiada dalil yang kami jumpai menyebutkan Nabi SAW berbuka dengannya.

Wallahualam.

 

[1] Lihat Kitab Tuhfah al-Ahwazi, 3/311

[2] Lihat Raudhah Al-Tolibin, 2/368.

[3] Lihat Al-Majmu’, 6/363.

[4] Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 10/358.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *