#1212: Tidur Banyak di Siang Ramadhan

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya jika seseorang itu banyak tidur pada bulan Ramadhan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا

Maksudnya:Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.

(Surah al-Naba’: 9)

Menurut Ibn Kathir, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/307).

Tidur ialah keadaan rehat dan tidak sedar terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling dalam tempoh tertentu. Tidur tidak sama dengan koma kerana orang yang tidur mudah terjaga. Manusia atau haiwan yang sedang tidur boleh terjaga dengan cepat, misalnya, akibat bunyi bising atau cahaya lampu yang terang. Semua manusia dan beberapa jenis haiwan mesti mempunyai jumlah tidur yang cukup dalam sehari pada sela masa yang tetap. Apa yang berlaku semasa tidur. Apabila seseorang itu tidur, semua aktiviti menurun dan otot berehat. Denyutan jantung dan kadar pernafasan menjadi perlahan. Orang itu, perlahan-lahan menjadi tidak sedar terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Orang yang tidur menukar posisi keseluruhan badan sekurang-kurangnya 12 kali semasa tidur selama lapan jam. Kepala, tangan, atau kaki lebih kerap digerakkan.

Apa yang berlaku tanpa tidur. Orang yang tidak cukup tidur kehilangan tenaga dan menjadi cepat marah. Apabila tidak tidur selama dua hari, mereka mendapati bahawa perhatian menjadi kurang tajam. Seseorang hanya dapat melakukan tugas bersungguh-sungguh sekejap sahaja, kemudian dia akan rasa terganggu. Banyak kesilapan dilakukan, terutamanya dalam tugas rutin, dan terlepas perhatian pada masa tertentu. Setiap orang yang “tidak tidur” terlelap selama beberapa saat atau lebih. Orang itu betul-betul tidur nyenyak melainkan jika aktif secara berterusan. Orang yang tidak tidur selama lebih daripada tiga hari sukar berfikir, melihat, dan mendengar dengan jelas. Ada yang mengalami halusinasi, iaitu melihat sesuatu yang tidak benar-benar wujud. Mereka juga terkeliru antara khayalan dengan kehidupan sebenar dan sering terhenti kerana terlupa apabila berbual. Ada manusia yang tidak tidur selama 11 hari tetapi orang yang lama tidak tidur hilang hubungannya dengan realiti. Mereka berasa sangsi dan takut akan orang lain. Contohnya, mereka menyangka bahawa doktor ialah pengurus mayat yang datang untuk mengebumikan mereka, atau makanan yang dimakan mereka telah diracun.

Perlunya tidur. Tidur mengembalikan tenaga kepada tubuh, terutamanya kepada otak dan sistem saraf. Manusia memerlukan tidur gelombang perlahan dan juga tidur bermimpi. Kekurangan tidur gelombang perlahan tidak dapat ditukar ganti dengan penambahan tidur bermimpi dan begitulah juga hal yang sebaliknya. Tidur gelombang perlahan dapat membantu terutamanya dalam membentuk protein dan mengembalikan kawalan otak dan sistem saraf terhadap otot, kelenjar, dan sistem tubuh yang lain. Tidur bermimpi penting khususnya untuk mengekalkan aktiviti mental seperti pembelajaran, penaakulan, dan penyesuaian emosi. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 21/476-478).

Jelaslah bahawa tidur merupakan satu perkara lumrah bagi seorang manusia yang normal. Tidur yang cukup diperlukan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum. Walau bagaimanapun, tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima, iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 42/17).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya puasa yang sahih tidak ada kaitan dengan banyaknya tidur mahupun sedikitnya tidur di siang hari. Malah jika seseorang itu tidur sepanjang siang Ramadhan pun, ia tidak membatalkan puasa kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa jika seseorang itu tidur sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui. (Lihat Raudah al-Talibin, 2/366).

Begitu juga Imam Syihabuddin al-Ramli juga ada menyebutkan, tidak memberi kemudharatan (kepada puasanya) sekiranya dia tidur nyenyak sehingga habisnya waktu siang mengikut pandangan yang sahih. Hal ini kerana dia tetap sebagai golongan yang diperintahkan oleh syara’ (untuk berpuasa). Lalu apabila dikejutkannya dan dia terjaga daripada tidurnya maka dia diwajibkan untuk mengqadha’kan solat yang tertinggal ketika tidur, bukan tertinggal disebabkan dia pengsan. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/176).

Melainkan para ulama berpendapat makruh untuk banyak tidur di siang hari kerana ia menyebabkan seseorang itu terluput atau terlepas daripada melakukan amalan-amalan soleh di siang Ramadhan. Ini adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Hattab al-Maliki dalam kitabnya bahawa di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/415).

Selain itu, perbuatan banyak tidur di siang Ramadhan juga adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. Ini jelas bahawa kesusahan dalam menghadapi bulan ramadhan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah SWT ingin mentarbiah hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginannya serta sentiasa mengingati Allah SWT.

Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali bahawa di antara adab berpuasa adalah tidak memperbanyakkan tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/235).

Namun, terdapat hadith diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Aufa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ

Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3654)

Sekalipun begitu, hadith ini telah dinilai dha’if oleh para ulama kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama. Perbincangan lanjut berkenaan hadith ini boleh merujuk kepada artikel kami, #924: Status Hadith Tidur Ketika Puasa Ibadah.[1]

Sekalipun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Quran, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa. Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” 

Riwayat Muslim (1151)

Justeru, kami berpendapat tidak mengapa, bahkan boleh jadi lebih baik lagi untuk tidur lebih sedikit daripada kebiasaan pada siang Ramadhan berbanding pada malamnya dengan tujuan ingin mengumpul kekuatan bagi melakukan ibadah pada malam harinya seperti solat tarawih, membaca al-Quran, tahajjud, qiamullail dan lain-lain.  Begitu juga bagi seseorang yang sangat memerlukan dan berhajat kepada tidur yang sedikit lama pada siangnya kerana terlalu letih, kurang sihat dan seumpamanya kerana Allah SWT telah menjadikan tidur untuk kita berehat daripada kepenatan dan sebagainya. Namun, janganlah tidur lama tersebut melampau-lampau sehingga menyebabkannya meninggalkan tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya seperti keluar mencari rezeki jika dia sebagai ketua keluarga, atau kewajipan solat, atau seumpamanya.

Pendapat yang ikami kemukakan ini bersamaan dengan syor dan cadangan yang diberi oleh Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi. Begitu juga, pengalaman kami, masyarakat di Mekah, Madinah dan Arab pada musim Ramadhan, mereka menghidupkan malam dan pada ghalibnya selepas solat Subuh mereka tidur hingga menjelang hampir kepada waktu Zohor. Sebahagian yang lain pula, ada yang menyambung tidur sehingga hampir ke waktu Asar. Kemudian, mereka begitu aktif sehingga samapai ke sahur untuk melakukan pelbagai kehidupan termasuklah ibadah dan mengimarahkan masjid. 

Jika dikhuatiri dia tidak dapat berjaga pada waktu solat disebabkan oleh sebelumnya telah berjaga malam yang lama misalnya, dan kebiasaannya dia memang susah untuk terjaga maka gunakanlah jam loceng atau alat-alat seumpamanya untuk mengejutnya pada waktu solat, atau memberi pesan kepada orang lain untuk mengejutkannya. Jika kebiasaannya dia memang akan terjaga pada waktu solat, namun ada hari-hari tertentu dia tenggelam dalam tidurnya, maka tidak mengapa. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan dalam sahih Muslim, bahawa Nabi SAW bersabda kepada para sahabat ketika mereka tertidur pada waktu Subuh dalam salah satu ekspedisi peperangan:

أما إنّه ليسَ فِيَّ النَّوْمِ تَفْرِيطٌ، إنّما التَّفْرِيطُ على مَن لَمْ يُصَلِّ الصَّلاةَ حتّى يَجِيءَ وقْتُ الصَّلاةَ الأُخْرى

Maksudnya:Tidaklah dikatakan mengakhirkan (meremehkan) solat disebabkan tertidur, hanya sanya meremehkan (solat) itu bagi orang yang tidak menunaikan solat hingga tiba waktu solat yang lain.”

Riwayat Muslim (681)

Imam al-Nawawi mensyarahkan lafaz “إنّه ليسَ فِيَّ النَّوْمِ تَفْرِيطٌ” dengan menyatakan bahawa di dalamnya terkandung dalil berkenaan apa yang disepakati oleh para ulama, bahawa orang yang tidur tidak dikira sebagai mukallaf. Namun, wajib ke atasnya untuk mengqadha’kan semula solat yang ditinggalkan itu. Inilah mazhab (pendapat) yang sahih lagi terpilih di sisi ulama fiqh dan usul. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/186).

 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidur banyak pada siang Ramadhan adalah tidak mengapa, selagi mana dia tidak meninggalkan kewajipan yang telah diperintahkan kepadanya pada waktu siang seperti solat fardhu atau meninggalkan tugasan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya seperti keluar mencari rezeki, bekerja dan seumpamanya.  Namun, sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh disebabkan oleh terluputnya fadhilat dan amalan-amalan soleh di siang hari Ramadhan.

Secara umumnya bulan Ramadhan merupakan bulan ibadah siang dan malam, di mana pada malamnya kita melakukan ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Quran, qiyamullail dan begitu juga siangnya, kita melakukan ibadah seperti berpuasa, membaca al-Quran dan lain-lain. Justeru, sebaiknya tidur banyak pada siang Ramadhan sewajarnya dilakukan sekadar yang diperlukan dan tidak melampau-lampau agar tidak terluput fadhilat dan amalan-amalan soleh yang boleh dilakukan pada siangnya.

Sekalipun begitu, tidak mengapa untuk seseorang itu tidur lebih sedikit daripada kebiasaan pada siangnya dengan tujuan mengumpul kekuatan bagi melakukan ibadah pada malamnya atau sangat memerlukan dan berhajat kepada tidur yang sedikit lama disebabkan terlalu letih, kurang sihat dan seumpamanya kerana Allah SWT telah menjadikan tidur untuk kita berehat daripada kepenatan dan sebagainya. Bahkan boleh jadi tidur pada siang Ramadhan dengan sebab tersebut turut diganjari pahala berdasarkan keumuman nas yang menyebutkan kelebihan berpuasa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/923-status-hadith-tidur-ketika-puasa-ibadah/. Diakses pada 31 Mac 2023.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *