#1214: Ubat Suboxone Film Ketika Puasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Datuk Dr zulkifli. Adakah batal puasa seseorang itu kalau meletakkan ubat jenis filem dibawah lidah, apabila ubat itu cair, terus telan air ubat itu bersama dengan air liur kita. Jenis ubat yang saya maksudkan itu ialah (suboxone film).

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan memberi takrifan ringkas berkenaan ubat suboxone film yang tuan tanyakan. SUBOXONE (buprenorphine dan naloxone) Sublingual Film ® (CIII) ialah ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat ketagihan opioid untuk orang dewasa dan merupakan sebahagian daripada program rawatan lengkap yang turut merangkumi kaunseling dan terapi tingkah laku. Ia adalah salah satu jenis ubat di bawah kategori sublingual medication. (Lihat https://www.drugs.com/pro/suboxone-film.html#:~:text=SUBOXONE%20sublingual%20film%20is%20indicated,includes%20counseling%20and%20psychosocial%20support.)

Sublingual Medication

Sublingual di dalam bahasa Latin membawa maksud ‘di bawah lidah’. Ianya merujuk kepada proses pengubatan bagi sesetengah penyakit di mana pil atau tablet diletakkan di bawah lidah dan ia kemudiannya meresap masuk ke dalam saluran darah manusia dengan lebih cepat.

Ianya berbeza dengan pengambilan ubat/pil secara oral (kaedah biasa dengan menelan ubat tersebut) kerana kaedah oral memerlukan sesuatu ubat itu melalui banyak proses sebelum ianya dihadamkan di dalam perut. Adapun ubat sublingual ini, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan setelah bertindak balas dengan mucouse membrane yang terletak di bawah lidah, ubat tersebut akan terus meresap ke dalam badan melalui saluran darah dan tindak balas terhadap ubat ini adalah sangat pantas tidak seperti kaedah pengubatan secara oral. Ini seperti mana yang terdapat di dalam ubat bagi mereka yang terkena serangan jantung yang memerlukan tindak balas ubat dengan kadar yang segera.

Terdapat banyak ubat yang dikategorikan sebagai sublingual medication, antaranya:

  • Ubat sakit jantung (nitroglycerin, verapamil)
  • Steroids
  • Sebahagian ubat Barbiturate
  • Enzyme
  • Vitamin
  • Sesetengah ubat bagi masalah mental.

Adakah Pengambilan Sublingual Medication Membatalkan Puasa?

Melihat kepada kaedah pengubatan sublingual ini, kami berpendapat bahawa pengambilan ubat jenis sebegini tidak membatalkan puasa. Mengikut mazhab al-Imam al-Syafi’e sesuatu ‘ain yang memasuki rongga yang terbuka maka ianya membatalkan puasa. Al-Jauf di sisi mazhab kita bermakna otak dan apa yang melepasi bahagian kerongkong hingga ke perut dan ianya berlainan dengan apa yang memasuki selain dari rongga yang terbuka. Seperti ubat yang diletakkan di atas luka, meskipun sampai ke dalam otak atau daging maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak dikira sebagai rongga yang terbuka. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/181)

Adapun sublingual medication, ianya hanya diletakkan di bawah lidah dan tidak melepasi bahagian kerongkong dan terus meresap ke saluran darah dengan kadar yang pantas.

Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami yang mana setelah kajian dijalankan serta mendengar penjelasan daripada pakar perubatan dan para ulama’ memutuskan bahawa penggunaan sublingual medication tidak membatalkan puasa bagi penyakit jantung dan juga yang lainnya selagi mana ianya tidak ditelan melepasi kerongkong. (Lihat keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami nombor 93 (1/10) yang telah diputuskan pada muktamar kali ke-10 di Jeddah pada 28 Jun sehingga 3 Julai 1997 yang mana sebelum itu, kajian mengenai ‘Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Di Dalam Proses Perubatan’ telah dibentangkan di Maghribi pada 14-17 Jun 1997)

Ini juga sepertimana yang telah difatwakan oleh Dar al-Ifta Jordan yang mana mengatakan: “Mengambil  ubat pil/tablet yang diletakkan di bawah lidah tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak sampai kepada rongga yang terbuka. Tetapi,  jika ianya ditelan, maka batallah puasanya.” (Lihat http://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103)

Jawapan yang sama juga telah diberikan oleh Dar al-Ifta Mesir yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa dan ianya telah dijawab oleh Mufti Mesir (sekarang) Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam Hafizahullah sejak tahun 2013 lagi. (Lihat http://dar-alifta.org/AR/Default.aspx.)

Justeru, kami katakan penggunaan suboxone film adalah tidak membatalkan puasa kerana darurat dan juga tidak sampai kepada jauf. Semoga kita diberi kefahaman berkenaan dengan agama kita. Amin.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *