#1227: Kiraan Zakat Fitrah Modern

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya diberitahu bahawa zakat fitrah dinilai dengan segantang makanan asasi. Sebenarnya, dalam sukatan moden dan juga kiraan duit, berapa nilainya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, saya nyatakan hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ

Maksudnya: “Kami mengeluarkan zakat fitrah berupa segantang makanan atau segantang barli atau segantang kurma atau segantang keju atau segantang kismis.”

Riwayat al-Bukhari (1506)

Para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan sukatan gantang apabila ditukar kepada timbangan moden atau sukatan moden.

Pada tahun 2003, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-57 telah berbincang berkenaan kaedah untuk menetapkan harga zakat fitrah di seluruh Malaysia. Muzakarah kemudian memutuskan:

  1. Harga zakat fitrah untuk negeri-negeri Semenanjung Malaysia berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60kg.
  2. Harga zakat fitrah bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras ‘Vietnam White Rice’ bagi negeri Sabah dan ‘Thai White Rice’ bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.


Majlis fatwa dianggotai oleh semua mufti negeri di Malaysia. Imej dari Msia PM Press Office.
https://soscili.my/wp-content/uploads/2019/05/C9STfzeU0AAUDhq-768×513.jpg

Pada asasnya, gantang adalah merupakan sejenis alat sukatan yang digunakan pada zaman dulu. Sekarang ni, sukar untuk didapati mereka yang menggunakan gantang lagi, kerana nilai gram/kilogram (kg) atau pound lebih meluas digunakan.

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan (mewajibkan) zakat fitrah pada bulan Ramadan segantang kurma atau gandum ke atas orang yang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan di kalangan Islam.”

Riwayat al-Bukhari (1503), Muslim (974), Abu Daud (1611), al-Tirmizi (676), al-Nasa’ie (2503), Ibn Majah (1826) dan Ahmad (5339)

Justeru, majlis fatwa menyatakan, gantang yang digunakan pada zaman Nabi itu adalah gantang Baghdad dan kerana itulah ia diambil sebagai timbangan kadar zakat fitrah.


https://soscili.my/wp-content/uploads/2019/05/P3170287.jpg

Para ulama telah berselisih pendapat berkenaan dengan nilai gantang Baghdad yang ditukar kepada nilai metrik moden. Ini kerana, sukatan berdasarkan kepada negeri dan tempat masing-masing pada masa itu, dan ia lebih kepada taqribi (nilai hampir), bukan tahdidi (nilai yang tetap).

Antaranya, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami menyatakan iaitu 2.751 kg. Dan di sisi mazhab Hanafi ialah 3.8 kg. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/2035)

Selain itu, negara-negara lain juga ada yang berbeza. Contohnya:

  • Arab Saudi – 2.40kg
  • Mesir – 2.50kg
  • Iran – 1.75kg
  • Indonesia – 2.18kg
  • Brunei – 2.27kg
  • Singapura – 2.30kg

Malah pada tahun 2000, Selangor, Terengganu dan Perak bersepakat bahawa satu gantang Baghdad itu 2.27kg, Kelantan – 2.56kg dan Kedah pula menyatakan– 3.063kg. Bagaimanapun, masalah ni selesai apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan keputusan untuk selaraskan nilai timbangan satu gantang Baghdad ni pada 2003, seperti mana yang disebut sebelum ini. (Walaupun masih terdapat kes kadar zakat fitrah yang berbeza di satu dua negeri)

Kami katakan, nilaian yang digunapakai sekarang juga bergantung kepada nilaian semasa harga beras. Berikut adalah nilaian sepertimana yang ditetapkan pada 2023:

  • Perlis – RM7
  • Kedah – RM6.50, RM7, RM14, RM 21
  • Pulau Pinang – RM7, RM 13, RM20
  • Perak – RM7, RM14, RM21
  • Selangor – RM7, RM14, RM21
  • Wilayah Persekutuan – RM7, RM14, RM21
  • Negeri Sembilan – RM7, RM10, RM21
  • Melaka – RM7, RM14, RM21
  • Johor – RM7, RM13
  • Pahang – RM7, RM14, RM21
  • Terengganu – RM8, RM10, RM24
  • Kelantan – RM7, RM14, RM 21
  • Sarawak – RM7
  • Sabah – RM7

Semoga kita semua termasuk di kalangan yang dapat menunaikan zakat fitrah. Amin.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *