#1231: Kenapa Susah untuk Tadabbur al-Quran?

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, kenapa kita payah untuk tadabbur al-Quran?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif tadabbur terlebih dulu.  Dari segi istilah, tadabbur berasal daripada pecahan kalimah dabbara (دبّر) iaitu mengatur dan membuat perancangan, tadabbar (تدبّر) iaitu merenung, memikirkan atau memerhatikan, tadabbur (تدبّر) iaitu merenung atau memerhati. Menurut Ibn Faris, “Perkataan ‘دبّر’ membawa maksud penghujung bagi sesuatu (آخر الشيء), di belakang atau berlawanan bagi hadapan. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 2/266)

Secara ringkasnya, tadabbur boleh difahami sebagai memerhati dan merenung lafaz nas supaya dapat difahami sehingga ke penghujung maksudnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/273; al-Ta’rifat, hlm. 76) Lafaz tadabbur adalah dari wazan ‘التَّفعّل’ yang menunjukkan perbuatan yang memerlukan kesungguhan dan proses yang berulang-ulang. (Lihat Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur, hlm. 185)

Tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna di sebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. (Lihat Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, oleh Dr. Musa’id al-Toyyar, hlm. 185)

Firman Allah SWT:

 أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

(Surah Muhammad: 24)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 7/458)

Imam al-Nawawi menyebut, dan dengan tadabbur dan khusyuk ketika membaca al-Quran akan melapangkan dada dan menerangkan hati. Begitu juga, ianya seperti yang disebut oleh Ibrahim al-Khawwas RA bahawa ubat bagi hati ada lima di antaranya adalah membaca al-Quran dengan tadabbur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalati al-Quran, 1/82-84)

Sebenarnya, sebab utama kita menjadi sukar untuk tadabbur al-Quran kerana dosa-dosa yang kita lakukan. Dosa ini menegah agar dari mentadabbur al-Quran dan memahaminya. Ia yakni dosa boleh menghijabkan hati daripada kekuatan ta’ammul atau pemerhatian yang khusus. Benarlah firman Allah SWT:

لَّوْ نَشَاءُ أَصَبْنَاهُم بِذُنُوبِهِمْ ۚ وَنَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Maksudnya:  “Kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?”

(Surah al-A’raf: 100)

Ibn Kathir berkata: Kalimah ‘وَنَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ ’ membawa makna, “Kami mengunci mati hati mereka sehingga mereka tidak mahu mendengar nasihat, pengajaran dan peringatan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/281)

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kepada hati kefahaman dalam agama serta cintakan al-Quran dan dapat mentadabburnya.

Saya akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *