#1236: Merisik Dan Bertunang Dengan Orang Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya kepada datuk, bolehkah seandainya orang islam bertunang ataupun merisik orang bukan islam dengan niat akan berkahwin selepas itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami ketengahkan dahulu bahawa niat ini mempunyai kesan yang besar terhadap amalan seseorang. Permasalahan niat sangatlah dititikberatkan oleh para ulama’ silam, kerana itu kita dapati Imam Al-Bukhari memulakan karangan kitab hadis beliau dengan bab berkenaan niat. Diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya:Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Berdasarkan hadis ini juga, ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqhiyyah yang utama:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.”[1]

Dapat difahami melalui hadis dan kaedah di atas bahawa setiap tindakan yang diambil oleh seseorang itu berbalik semula hukumnya kepada niat asalnya.

Keduanya, penting untuk kami sebutkan dahulu pandangan ulama’ mazhab berkenaan berkahwin dengan orang bukan islam. Kata Al-Imam Khatib Al-Shirbini ketika mensyarahkan kalam Imam Al-Nawawi, tiada khilaf pada pengharaman berkahwin dengan mereka yang tidak beriman dengan mana-mana kitab yang diturunkan Allah SWT seperti wathaniyyah (penyembah berhala) dan majusiyyah (penyembah api).[3]

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 221:

وَلَا تَنْكِحُوْا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنُ وَلَأَمَةٌ مُؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِن مُشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ وَلَا تَنْكِحُوْا الْمُشْرِكِينَ حَتَّى يُؤْمِنُوْا وَلَعَبْدٌ مُؤْمِنٌ خَيْرٌ مِن مُشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ أُوْلَئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَاللهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman, dan sesungguhnya hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan musyrik sekalipun mereka itu menarik hati kamu. Dan janganlah kamu mengahwinkan (perempuan-perempuan islam) dengan lelaki lelaki musyrik sebelum mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik darpada lelaki musyrik. Mereka itu (orang-orang musyrik) mengajak ke neraka sedangkan Allah mengajak mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya”[4]

Al-Imam Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan kesepakatan ulama’ terhadap pengharaman mengahwinkan wanita muslimah dengan lelaki bukan Islam, dan ulama’ juga bersepakat bahawa diharamkan untuk lelaki bukan Islam mendatangi (menggauli) perempuan muslimah kerana ia merupakan penghinaan terhadap agama Islam.[5] Antara yang menyebutkan pandangan ini ialah Imam Al-Razi di dalam Al-Tafsir Al-Kabir.

Imam Ibn Hazm, Imam Al-Buhuti, Imam Al-Kasani dan lain-lain menentukan hukum haram ini berdasarkan larangan Allah SWT di dalam ayat (وَلَا تَنْكِحُوْا الْمُشْرِكَاتِ), dan larangan ini kekal sehingga lah orang bukan Islam tersebut memeluk islam berdasarkan firman-Nya (حَتَّى يُؤْمِنُ).

Hukum Bertunang dengan Orang Bukan Islam

Kembali kepada soalan yang diutarakan, bertunang merupakan proses melamar seorang perempuan untuk dijadikan seorang isteri.[6]

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak boleh berlaku di antara seorang muslim dan bukan muslim. Bahkan, sebaik-baik calon yang dipilih untuk dijadikan pasangan hidup ialah lelaki muslim atau wanita muslimah, antara ciri-cirinya yang disebutkan oleh Nabi SAW:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا، وَلِحَسَبِهَا، وَجَمَالِهَا، وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung.”

Riwayat Al-Bukhari (5090)

Kesimpulan

Bertunang dengan orang bukan islam tidak mempunyai larangan yang jelas dalam agama. Jika tujuan bertunang itu kerana dakwah, dan dia mampu untuk mendidik pasangannya tentang islam sehingga dia memeluk islam dan beriman dengan agama Allah maka dibolehkan.

Akan tetapi, jika dikhuatiri dia juga akan turut hanyut bersama pasangannya yang bukan islam maka tidak dibolehkan.

Manakala jika tujuan asal daripada pertunangan itu sendiri adalah untuk meneruskan perkahwinan sekalipun pasangannya tidak memeluk islam, maka hukum pertunangan itu adalah haram kerana ia kembali kepada niat asal.

Kami menyarankan agar memilih pasangan sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, hal yang demikian kerana tiada agama lain yang Allah SWT redhai kecuali islam. Firman Allah SWT:

وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Dan Aku (Allah) meredhai islam sebagai agama kalian.”[7]

Wallahua‘lam.

[1] Lihat Al-Asybah wa Al-Nazair oleh Al-Suyuti, hlm. 8.

[2] Lihat Al-Qawa’id Al-‘Usuliyyah wa Al-Fiqhiyyah, hlm. 52.

[3] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/306.

[4] Surah Al-Baqarah: 221.

[5] Lihat Tafsir Al-Qurtubi, 3/72.

[6] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/219.

[7] Surah Al-Maidah: 3.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *