#1240: Sisa Makanan dalam Mulut Ketika Puasa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang yang berpuasa, namun terdapat sisa makanan yang masih wujud di dalam mulutnya, iaitu di celahan gigi-gigi? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, kita mengetahui bahawa berpuasa adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga, atau secara mudahnya, tidak boleh makan dan minum dari waktu terbit fajar sehingga berbuka. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah: 187)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan daripada pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyebut: “Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.”  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78)

Ibn Qudamah pula menyebut: “Sesiapa yang di waktu paginya mendapati terdapat makanan di antara giginya, maka dia tidak terlepas daripada dua keadaan. Salah satunya adalah, jika sedikit, tidak mungkin diludahkan lalu tertelan, maka hal itu tidak membatalkan (puasa) kerana dia tidak mungkin mencegahnya sepertimana air liur.”

“Jika makanannya banyak dan memungkinkan untuk diludahkan, maka jika dia meludahnya, maka tidak membatalkan puasanya. Jika ditelan dengan sengaja, maka puasanya akan rosak menurut pendapat majoriti ulama’, kerana telah menelan makanan yang masih boleh untuk diludahkan berdasarkan pilihannya, dan dalam keadaan sedar bahawa dia sedang berpuasa. Maka dengan demikian, dia dianggap berbuka sebagaimana jika dia mula untuk makan.” (Lihat al-Mughni, 3/260)

Justeru, difahami bahawa bahawa sekiranya terdapat sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, maka ia tidaklah membatalkan puasa seseorang. Hal ini jika sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya disebabkan ada halangan dan ia berlaku bukan kerana kecuaiannya, dan ia jika sekiranya kuantitinya adalah sedikit.

Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan adalah banyak, dan dia mampu untuk meludahnya, tetapi dia tidak meludahnya, maka ia membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Zufar. Inilah pendapat yang kami cenderung.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dan mampu kita melaksanakan ibadat puasa dengan sebaiknya.  Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *