#1241: Ciri-Ciri Wali

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh ustaz tolong terangkan apakah ciri-ciri wali?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dari Abu Hurairah RA ia berkata daripada Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِيْ لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لَأُعِيْذَنَّهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allâh Subhanahu wa Ta’ala berfirman: ‘Barangsiapa memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada hal-hal yang Aku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku tidak henti-hentinya mendekat kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia meminta kepada-Ku, Aku pasti memberinya. Dan jika ia meminta perlindungan kepada-Ku, Aku pasti melindunginya.”

Riwayat al-Bukhari, no. 6502; Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya’, 1/34, no. 1; Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, 3/346; 10/219; Al-Baghawi dalam Syarhu al-Sunnah (no. 1248), dan selainnya.

Al-Thufi Rahimahullah berkata, “Hadith ini merupakan asas dalam menuju kepada Allah SWT dan sampai kepada pengenalan dan cinta-Nya, serta jalan menuju kepada-Nya. Kerana pelaksanaan kewajipan batin iaitu iman dan kewajiban zahir iaitu Islam dan gabungan dari keduanya yaitu ihsan, semuanya terdapat dalam hadith ini, sebagaimana semuanya ini juga terkandung dalam hadith Jibril. Dan ihsan menghimpun kedudukan orang-orang yang menuju kepada Allah berupa zuhud, ikhlas, muraqabah, dan lainnya.” (Lihat Fathu al-Bari, 11/345)

Di hujung hadith di atas menyebut وَإِنْ سَأَلَنِيْ لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لَأُعِيْذَنَّهُ.

yang memberi maksud “Jika ia meminta kepada-Ku, Aku pasti memberinya. Dan jika ia meminta perlindungan kepada-Ku, Aku pasti melindunginya.”

Maksudnya, orang yang dicintai Allah SWT dan didekatkan kepada-Nya memiliki kedudukan khusus di sisi Allah SWT, sehingga jika ia meminta sesuatu kepada Allah maka Allah SWT akan memberinya; Jika ia berdoa kepada-Nya maka Dia mengabulkan doanya.

Kami nyatakan di sini terlebih dahulu pendapat ulama tentang wali-wali Allah SWT:

  • Ibnu Abas RA seperti yang tercatat dalam tafsir Al Khazin menyatakan “ Wali-wali Allah itu adalah orang yang mengingati Allah dalam melihat.”
  • Al Imam Tabari meriwayatkan daripada Said bin Jubair berkata bahawa Rasulullah SAW telah ditanya orang tentang wali-wali Allah. Baginda mengatakan “Mereka itu adalah orang yang apabila melihat, mereka melihat Allah.”
  • Abu Bakar Al Asam mengatakan “Wali-wali Allah itu adalah orang yang diberi hidayat oleh Allah dan mereka pula menjalankan kewajiban penghambaan terhadap Allah serta menjalankan dakwah menyeru manusia kepada Allah.”

Dalam kitab Thariq al-Hijratain, Ibn al-Qayyim menyebutkan bahawa wali Allah ialah:

  • Orang yang tidur tetapi hatinya berlegar di sekitar Arasy dan sentiasa berhubung dengan Tuhannya Yang Maha Agung.
  • Sekiranya dia tidur dan apabila tiba tengah malam, maka dia akan segera bangun lalu berwuduk.
  • Hatinya sangat takut dan tunduk kepada Allah lalu dia pun melakukan sembahyang dan bermunajat kepada Tuhannya dan dia benar-benar sudah menyerahkan seluruh anggota tubuhnya, nyawanya, tekad dan cintanya kepada Allah
  • Dia tidak menginginkan sesuatu apa pun daripada jiwanya dan jiwanya juga tidak menginginkan sesuatu apa pun daripada dirinya.

Ini sebahagian daripada ciri dan sifat yang disebut oleh para ulama. Sebenarnya, perbahasan ini amat panjang dan inilah jawapan secara ringkas, boleh rujuk buku kami yang bertajuk Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *