#1247: Jenis Lafaz Talak Kinayah

Soalan:

Suami melafazkan “Aku tinggal rumah ni satgi!” kerana terlalu marah, adakah dikira lafaz kinayah dan adakah terjatuh talak?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.p

Pertama, kami menyatakan bahawa majoriti fuqaha’ bersepakat berkenaan talak kinayah (kiasan) yang hanya akan terjatuh jika disertakan dengan niat menceraikan isteri.

Kedua, berlaku perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’ mazhab berkenaan lafaz talak yang berbentuk kinayah.[1] 

  • Mazhab Hanafi: Lafaz kinayah adalah semua lafaz yang boleh membawa maksud ‘cerai’ dan selainnya. Contohnya, “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk semula)” atau “Kamu haram untuk aku” atau “Kamu telah terlepas (dari ikatan pernikahan)” atau “Kamu telah bebas (dari ikatan pernikahan)”. Tidak akan terjatuh talak menggunakan lafaz-lafaz tersebut melainkan disertakan dengan niat.

Jika seseorang melafazkan lafaz kinayah tersebut kerana; berada dalam perbincangan ‘bab talak’, atau sedang bertanya tentang talak, atau berada dalam keadaan marah dan pertengkaran. Maka dia perlu bersumpah tentang niatnya semasa sedang marah dan bertengkar tersebut, dan talak akan terjatuh mengikut keputusan qadi.[2]

  • Mazhab Maliki: Mereka membahagikan lafaz kinayah kepada dua:
  1. Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz ini menurut Mazhab maliki seperti lafaz sorih (jelas), maka terjatuh talak dengan lafaz ini kerana ia mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ditalak satu yang boleh dirujuk!” atau “Kamu ibarat telah mati!” atau selainnya.
  2. Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Masuklah kamu (ke dalam rumah)!” atau “Pergilah kamu!” atau “Beredarlah kamu!” atau selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak tiga jika dia tidak menetapkan bilangan talak.[3]
  • Mazhab Syafie: Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya.[4] Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz.[5]
  • Mazhab Hanbali: Lafaz Kinayah terbahagi kepada dua:
  1.     Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz yang membawa masuk Ba’in (talak yang tidak boleh dirujuk). Contohnya, “Kamu bebas daripada aku!” atau “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk)!” atau selainnya.
  2. Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas, ia mengandungi maksud talak satu. Seperti kata lelaki pada isterinya: “Keluarlah kamu!” atau “Pergilah kamu!” atau “kamu bukan isteri aku!” atau selainnya.

Ulama’ Hanbali berpendapat, talak tidak jatuh dengan kedua-dua lafaz di atas kecuali jika disertakan dengan niat. Mereka juga turut mensyaratkan untuk jatuhnya talak dengan lafaz kinayah tersebut mestilah diiringi niat, atau lafaz tersebut diungkapkan ketika marah dan bertengkar. Hal yang demikian kerana keadaan marah dan bertengkar itu diibaratkan seperti niat.

Jika dia mendakwa tidak berniat untuk menceraikan isterinya ketika marah, dia perlu bersumpah kerana berkemungkinan dia memang tidak berniat untuk menceraikan isterinya.[6]

Kami menyimpulkan daripada perbahasan lafaz kinayah di atas bahawa talak hanya akan terjatuh jika lafaz kinayah diiringi dengan niat dan kehendak suami untuk menceraikan isterinya.

Ini adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku Ka‘ab bin Malik ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka‘ab berkata :

أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ

Maksudnya: “Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”

Rasulullah saw menjawab:

لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا

Maksudnya: “Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”

Lalu Ka’ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka’ab) berkata kepada isterinya :

الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya: “Pergilah ke ahli keluarga engkau.”

Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula beliau diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Manakala bilangan talak yang berlaku pula, kami cenderung memilih pandangan ulama’ Syafi’i kerana setiap perbuatan atau kata-kata seseorang bergantung kepada niatnya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya:Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Adakah Dikira Lafaz Kinayah Dan Berlaku Talak?

Melihat kembali kepada soalan yang diutarakan, lafaz yang diucapkan oleh suami tidaklah berbentuk sorih dan tidak juga berbentuk kinayah, maka talak tidak berlaku.

Kami mengatakan demikian kerana jika diteliti setiap lafaz kinayah yang disebutkan oleh ulama’ empat mazhab, kesemuanya adalah lafaz yang ditujukan kepada isterinya. Manakala lafaz seperti di dalam soalan “Aku tinggal rumah ni satgi!” ditujukan kepada dirinya sendiri.

Kami juga memerhatikan bahawa setiap lafaz kinayah mengisyaratkan sama ada untuk isteri kembali pada keluarganya, atau isteri telah terputus ikatan dengan suaminya, atau suami tidak mempunyai isteri, atau mengisyaratkan untuk isteri keluar daripada rumah tersebut. Manakala isyarat-isyarat ini tidak didapati pada lafaz suami seperti di dalam soalan.

Kesimpulan

Lafaz seperti di dalam soalan tidak dikira sebagai lafaz kinayah kerana tidak mempunyai ciri-ciri lafaz kinayah seperti yang disebutkan oleh ulama’ empat mazhab, maka tidak terjatuh talak tersebut.

Akan tetapi, kami juga turut menasihatkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah  satu usaha untuk membuktikan adakah lafaz di atas dikira sebagai lafaz kinayah dan sama ada si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.

 

Wallahualam.

[1] Lihat Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 35/137.

[2] Lihat Bada’i‘ Al-Sana’i‘, 3/107.

[3] Lihat Hashiyah Al-Sawi  ‘ala Al-Sharh Al-Kabir, 1/458.

[4] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456.

[5] Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462.

[6] Lihat Kasyaf Al-Qina‘, 5/251.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *