#1251: Golongan Diberi Keuzuran untuk Tidak Berpuasa

Soalan: 

Assalamualaikum Dato Seri, siapakah golongan yang diberi keuzuran untuk tidak berpuasa, dan boleh makan di siang hari Ramadhan? 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa golongan yang diberi keizinan oleh Syarak untuk tidak berpuasa di siang hari Ramadhan, disebabkan keuzuran yang menimpanya. Antaranya:

  • Mereka yang dalam Keadaan Sakit

Orang sakit diberi keringanan untuk tidak berpuasa, dan apabila dia telah kembali sihat, maka dia diwajibkan untuk mengqadha’ (mengganti) semula puasa yang telah ditinggalkannya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “(Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.”

Surah al-Baqarah (184)

Meskipun begitu, keringanan untuk tidak berpuasa bagi orang yang sakit juga tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya:

  1. Apabila sakit yang dihadapi adalah sakit yang teruk (berat), di mana jika orang tersebut berpuasa, maka ia akan menambahkan lagi sakit tersebut, atau melewatkan proses penyembuhan.
  2. Jika apabila orang yang sakit itu berpuasa, maka akan mendatangkan kepayahan (masyaqqah) ke atas dirinya.
  • Wanita yang berada dalam Keadaan Haid & Nifas

Para ulama’ telah bersepakat (ijma’) bahawa perempuan yang berada dalam keadaan haid, maka diharamkan baginya untuk berpuasa. Jika dia tetap melakukan puasa, maka puasa tersebut adalah tidak sah. Hal ini merangkumi puasa wajib, sunat, kaffarah atau nazar. Apabila mereka telah suci daripada haid, maka wajib bagi mereka untuk mengqadha’ (menggantikan) puasa tersebut. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: “Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa?”

Riwayat al-Bukhari (1951)

  • Mereka yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang bermusafir diberi keringanan (rukhsah) untuk tidak berpuasa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “(Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.”

Surah al-Baqarah (184)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang bermusafir juga diberi keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, maka wajib atas dirinya untuk mengqadha’ (menggantikan) puasa tersebut pada hari yang lain. 

Meskipun begitu, dalam permusafiran ini, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk mengharuskan berbuka puasa. Antaranya:

  • Perjalanan musafir tersebut adalah perjalanan panjang yang terdapat unsur kepayahan (masyaqqah) kepada orang musafir untuk meneruskan puasanya.
  • Sekiranya dengan berpuasa semasa bermusafir, ia tidak mendatangkan kemudharatan atau kepayahan terhadap dirinya, maka lebih afdhal baginya untuk meneruskan puasa.

Berdasarkan penerangan di atas, antara mereka yang diberi keuzuran untuk berbuka ialah mereka yang sakit, wanita yang dalam keadaan haid dan nifas, serta mereka yang sedang bermusafir. 

Ya Allah, faqihkan kami dalam agama kami seterusnya jadilah kami orang yang beramal dengan agama kami. Amin.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *