#1257: Lafaz Talak Sorih Ketika Bertengkar

Soalan:

Jika lafaz seorang suami itu berbunyi: “Asal gaduh je minta cerai, kalau aku cakap aku ceraikan kau, aku ceraikan kau, baru lain jadinya, baru tahu!”, adakah jatuh talaknya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami memperingatkan tentang hukum lafaz talak sorih (jelas). Talak akan tetap terjatuh dengan lafaz sorih jika disebutkan walau tanpa sebarang niat ingin menceraikan isteri, ketika marah atau sekadar gurauan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Antara lafaz sorih yang disebutkan oleh ulama’ ialah cerai, pisah, dan lepas. Akan tetapi, Imam ‘Umairah menyebutkan: “(Talak dengan lafaz sorih) tanpa niat jatuhnya (talak), manakala niat melafazkan (lafaz sorih) tersebut adalah perlu untuk mengeluarkan mereka yang sekadar terlepas cakap.”

Dinukilkan juga daripada Imam Al-Zarkasyi, katanya: “(Niat melafazkan lafaz sorih tersebut adalah perlu) untuk mengeluarkan orang ‘ajam (bukan orang arab) apabila dia melafazkan kalimat sorih tersebut akan tetapi dia tidak memahami maksudnya.”[1]

Dapat difahami daripada kalam di atas, niat yang dimaksudkan oleh ulama’ ada dua:

  • Niat (berhasrat) menceraikan isterinya dalam hati.
  • Niat (sengaja) melafazkan talak kepada isterinya.

Perkara ini juga disebutkan oleh Sheikh Muhammad Al-Zuhaili di dalam kitabnya Al-Mu‘tamad, talak yang dilafazkan oleh seorang suami yang sudah baligh dan berakal secara sorih atau kinayah kepada isterinya mestilah disertakan dengan niat (sengaja melafazkan talak), jika tidak disertakan niat tersebut maka lafaz itu tidak dikira.[2]

Begitu juga yang disebutkan oleh Sheikh Wahbah Al-Zuhaili di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, katanya: “Disyaratkan dengan persepakatan ulama’ untuk niat talak tersebut: Kesengajaan melafazkan talak tersebut, meskipun dia tidak berniat (berhasrat) untuk cerai.”

Terdapat beberapa keadaan orang tersebut dikira tidak berniat (dengan sengaja melafazkan talak):

  • Orang yang tidur. Berikut berdasarkan hadith Ali bin Abi Talib RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ

Maksudnya: “Tidak dicatat amalan atas tiga jenis manusia. Seorang yg tidur sehingga dia bangun.”

  • Orang yang gila. Ini berdasarkan sambungan hadith di atas, sabda Nabi SAW:

وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “…dan seorang yg hilang akalnya sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403)

  • Orang yang terlepas cakap, sama juga seperti orang yang menuturkan lafaz talak tersebut bagi tujuan menyampaikan kata-kata orang lain, begitu juga seperti seorang faqih yang mengulangi lafa tersebut ketika mengajar.
  • Orang yang memanggil isteri yang bernama “Taliq”, yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami, seperti orang bukan arab yang melafazkan talak menggunakan bahasa arab tetapi dia tidak memahami maksudnya.
  • Dipaksa dan mabuk (bukan kerana maksiat). Yang demikian berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R. Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meletakkan (membebaskan daripada hukuman) umatku yang tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2045)

Lafaz Talak Sorih Ketika Bertengkar

Melihat kepada situasi yang dinyatakan di dalam soalan, kami dapati pasangan tersebut berada dalam situasi pertengkaran dan suami tersebut melafazkan talak sorih dalam keadaan marah.

Sebahagian ulama’ memasukkan keadaan marah dalam keadaan yang dikira tidak berniat melafazkan talak. Hal ini berdasarkan hadith ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ طَلاَقَ وَلاَ عَتَاقَ فِي إِغْلاَقٍ

Maksudnya: “Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.”

Riwayat Ibn Majah (2046)

Ketika menafsirkan maksud Ighlaq, sebahagian ulama’ mengatakan maksudnya adalah marah. Ini sebagaimana yang terdapat dalam Sunan Abi Daud, satu riwayat daripada Ibn al-A‘rabi dan inilah tafsiran Imam Ahmad. Akan tetapi, Ibn Sayyid mengkritik tafsiran tersebut lalu berkata: “Kalau begitu, tidak akan pernah jatuh talak kerana seseorang itu tidak mentalakkan melainkan dalam keadaan marah.”[3]

Manakala ulama’ Mazhab Syafie bersepakat mengatakan bahawa talak ketika marah dikira jatuh talak. Dinukilkan di dalam Fath Al-Mu‘in: “Ulama’ Syafie bersepakat jatuhnya talak orang yang sedang marah, sekalipun dia mendakwa bahawa dia berada dalam keadaan hilang pertimbangan diri ketika marah.” Imam Al-Ramli juga pernah ditanya berkenaan talak orang yang sedang marah, beliau menjawab: “Talak itu tidak terkait dengan kemarahannya (berlaku talak walau sedang marah). Jika dia marah sehingga hilang akalnya, maka diberi keuzuran.”[4]

 

Kesimpulan

Pandangan yang mengatakan ‘marah’ termasuk dalam keadaan orang tersebut dikira tidak berniat (dengan sengaja melafazkan talak) adalah lemah. Kami cenderung mengambil pandangan yang disepakati ulama’ Mazhab Syafie yang mengatakan lafaz talak ketika marah dikira jatuh talak.

Bagi mengetahui bilangan talak, kami menasihatkan agar isteri membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai daripada Mahkamah Rendah Syariah kerana penentuan jatuhnya talak dan bilangan perlu dirujuk kepada hakim.

Akhirnya keputusan Hakim atau kerajaan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang perselisihan yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”

 

Wallahualam.

[1] Lihat Hashiyata Al-Qalyubi wa ‘Umairah, 3/324.

[2] Lihat Al-Mu‘tamad, 4/163.

[3] Lihat Nail al-Autar, 6/279.

[4] Lihat I‘anah Al-Talibin, 4/9.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *