#1261: Haiwan Korban yang Lebih Kecil daripada Saiz Biasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bagaimanakah cara menentukan bahagian haiwan korban lembu yang cukup umur tetapi kecil daripada kebiasaannya kerana berkemungkinan daripada bakanya yang kecil? Adakah sama bahagiannya dengan lembu yang biasa saiznya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Jenis haiwan korban

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ 

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” 

(Surah al-Haj: 34)  

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Selain daripada itu, Imam al-Baghawi juga ada menyatakan, lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385). 

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama.  Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

Perkongsian atau pembahagian bahagian haiwan korban

Selain daripada itu, diharuskan untuk melakukan korban dengan seekor unta atau lembu untuk tujuh orang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233). Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir R.A, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: Kami melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.                                                                                 

Riwayat Muslim (1318)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa diharuskan untuk berkongsi dalam satu haiwan korban. Para ulama berselisih pendapat dalam perkara ini. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, diharuskan untuk berkongsi dalam satu haiwan korban, tidak kira korban sunat mahupun wajib, begitu juga sama ada semua sekali melakukannya kerana taqarrub (yakni mendekatkan diri kepada Allah) atau sebahagian daripada mereka bertujuan untuk taqarrub dan sebahagian lagi bertujuan bagi mendapatkan daging, dan dalil yang menunjukkan kepada keharusan perbuatan tersebut ialah hadith ini. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan jumhur ulama.

Manakala Daud dan sebahagian ulama mazhab Maliki mengharuskan untuk berkongsi dalam haiwan korban sunat dan bukannya wajib. Imam Malik pula tidak membenarkannya secara mutlak. Selain itu, Imam Abu Hanifah pula mengharuskan untuk berkongsi, sekiranya kesemua mereka bertujuan untuk taqarrub, dan sekiranya tidak, maka ia tidak dibenarkan.

Di samping itu, para ulama juga bersepakat bahawa kambing yang dijadikan korban tidak boleh dikongsi — yakni seekor kambing hanya untuk seorang sahaja. Selain itu, dalam hadith di atas juga menunjukkan bahawa seekor unta boleh dikongsi sebanyak tujuh bahagian dan begitu juga dengan seekor lembu boleh dikongsi sebanyak tujuh bahagian. Justeru setiap haiwan tersebut kedudukannya sama seperti tujuh ekor kambing, sehinggakan jika seseorang yang berihram mempunyai tujuh dam selain dam jaza’ al-said yang perlu dibayar. Lalu dia membayarnya dengan menyembelih seekor unta atau lembu, maka kesemua tujuh damnya itu dikira selesai. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/67).

Maka, jelaslah bahawa lembu termasuk dalam jenis haiwan yang boleh dijadikan sebagai haiwan korban, dan seekor lembu boleh dikongsi sebanyak tujuh bahagian.

Syarat Haiwan Korban

Selain itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah berkenaan syarat-syarat haiwan korban. Ringkasnya, disyaratkan bagi haiwan korban tersebut tidak kurang daripada umur minimum, dan ia adalah berbeza-beza mengikut jenisnya. Bagi umur lembu yang hendak dijadikan sebagai korban disyaratkan tidak kurang daripada dua tahun dan telah masuk tahun ketiga. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481; al-Fiqh al-Manhaji, 1/233). 

Begitu juga binatang korban tersebut juga tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya. 

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah diqiaskan kepada kempat-empat kecacatan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/234).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan di atas, kami berpendapat bahawa lembu yang hendak dijadikan sebagai korban sekiranya memenuhi syarat-syarat haiwan korban iaitu cukup umurnya dan tidak cacat adalah sah untuk dijadikan sebagai korban sekalipun saiznya lebih kecil sedikit daripada lembu biasa yang lain disebabkan oleh bakanya. Begitu juga lembu tersebut juga boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian (yakni dikongsi oleh tujuh orang). Hal ini kerana pembahagian bahagian (yang boleh dikongsi) bagi haiwan korban itu, tidak berdasarkan saiznya tetapi dilihat kepada jenisnya. Syarak membenarkan haiwan korban bagi unta dan lembu boleh dikongsi oleh tujuh orang, manakala bagi kambing pula hanya bagi seorang.

Sekalipun begitu, tidak dinafikan sebahagian ulama ada yang berpendapat, haiwan korban yang paling baik (afdhal) daripada setiap jenis haiwan tersebut adalah yang paling gemuk, paling banyak dagingnya, paling sempurna bentuknya dan paling elok rupanya. (Lihat Ahkam al-Udhiyyah wa al-Zakah, hlm. 27).

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *