#1273: Tidak Memaafkan Orang Lain

Soalan

Adakah wajib seseorang itu memaafkan apabila orang yang bersalah dan menyakitinya itu memohon maaf? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan, dan sebaik-baik manusia bukanlah yang tidak pernah berdosa tetapi sentiasa menginsafi kesilapan diri dan bertaubat. Selain itu, memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu ditanamkan pada diri umat muslim.

Firman Allah SWT:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya“Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

(Surah al-Syura : 40)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang memafkan orang yang menyakitinya serta menganiayanya, dan dia memaafkannya dan dia tidak menghukumnya dalam keadaan dia mampu menghukumnya dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, maka ganjaran kemaafan itu diberikan Allah, dan Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran pahala kepadanya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 20/526)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زادَ اللهُ عَبْداً بعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أحَدٌ للهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللهُ.

Maksudnya: “Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya), kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat).”

Riwayat Muslim (2855), al-Tirmizi (2029), Ahmad (9008) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8328)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebutkan bahawa pada zahirnya bahawa sesiapa yang dikenali sebagai seorang pemaaf dan sifat memaafkan itu telah menguasai hatinya, maka akan ditambah kehormatan dan kemuliaannya. Selain itu, ganjaran yang dimaksudkan ialah di akhirat dan kehormatannya di sana. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/141)

Adakah Wajib Memaafkan Orang Yang Meminta Maaf?

Seorang muslim itu tidak wajib melakukan sesuatu melainkan ia diwajibkan oleh syariat, dan tidak ada nas atau dalil yang mewajibkan seseorang itu memaafkan kesalahan terhadap seseorang yang mengambil haknya secara zalim dan melampau kecuali syariat menggalakkan untuk kita memaafkan orang lain dengan ganjaran pahala yang besar.

Manakala bagi sesiapa yang suka melakukan kezaliman dengan kata-katanya dan perbuatannya, maka dia telah menanggung dosa dan hendaklah dia berhati-hati terhadap kemurkaan dan azab Allah di dunia dan di Akhirat. Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

(Surah al-Syura: 42)

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا 

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

(Surah Al-Ahzab: 58)

Justeru, seseorang manusia mempunyai hak untuk tidak memaafkan dan menuntut kembali apa sahaja kezaliman yang dilakukan terhadapnya. Namun, Allah SWT memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja membalasnya dan tidak mahu memaafkannya. 

Jika seorang Muslim mengetahui pahala yang besar daripada Allah SWT kerana memaafkan orang yang menzaliminya dalam keadaan dia mampu membalas kesalahan itu dengan harapan ganjaran dan pahala daripada Allah, serta melepaskan haknya, walaupun ia bukan suatu kewajipan ke atasnya, maka pastilah dia akan merebut pahala dan ganjaran tersebut pada hari ketika kita sangat memerlukan kebaikan untuk ditambahkan ke dalam buku amalan kita. Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا عَن سُوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا قَدِيرًا ‎ 

Maksudnya: “Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Nisa’ : 149)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Maksudnya ialah Allah masih mengampuni hamba-Nya walaupun Dia berkuasa menghukum mereka kerana maksiat kepada-Nya, maka kamu juga wahai manusia, maafkanlah orang-orang yang zalim datang kepada kamu, dan janganlah kamu mencaci-maki-Nya dengan suara yang keras, sekalipun kamu mampu menyakiti dan membalasnya, sebagaimana Tuhanmu mengampuni kamu walaupun Dia berkuasa menghukum kamu sedangkan kamu menderhaka kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 9/351).

Allah SWT berfirman lagi:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنتَصِرُونَ ‎﴿٣٩﴾‏ وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas). Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”

(Surah al-Syura: 39-40)

Ibn Kathir berkata: Allah mensyariatkan keadilan iaitu dengan Qisas (pembalasan), dan Allah juga menganjurkan kebaikan, iaitu kemaafan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/212).

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Dan dalam menjadikan pahala orang yang mengharap bergantung kepada Allah ialah dengan dorongan untuk memaafkan, dan untuk seorang hamba itu memperlakukan manusia dengan cara yang Allah SWT sendiri  memperlakukannya, sebagaimana dia ingin Allah mengampuninya, maka hendaklah dia mengampuni  mereka, dan sebagaimana dia ingin dimaafkan oleh Allah, hendaklah dia memaafkan mereka dan sesungguhnya ganjaran itu adalah berdasarkan jenis amal. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 760).

Syeikh Abdul Aziz ketika ditanya berkenaan hal ini, beliau berkata: Sekiranya seseorang itu menzalimi kamu, dan kamu suka untuk memaafkannya, maka kamu akan mendapat ganjaran dan bagi kamu kebaikan yang banyak dan kelebihan yang besar sebagaimana banyak dalil yang menjelaskan sedemikian. Maka kamu akan berada dalam kebaikan yang besar sekiranya orang yang menzalimi kamu dengan mengumpat kamu, mengambil harta kamu atau mencela kamu atau seumpamanya, dan kamu memaafkannya, ia akan memberikan kamu ganjaran pahala.

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, secara asasnya, seseorang itu mempunyai hak untuk memaafkan seseorang yang menzaliminya yang meminta maaf kepadanya ataupun tidak. Seseorang manusia itu mempunyai hak untuk tidak memaafkan dan menuntut kembali apa sahaja kezaliman yang dilakukan terhadapnya. 

Namun begitu, Allah SWT memuji manusia dan memberikan ganjaran besar bagi mereka yang suka memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja membalasnya dan juga tidak memaafkannya.  Justeru, marilah sama-sama kita mengambil sifat yang mulia ini dengan menjadi pemaaf kepada orang lain sebagaimana kita juga mahu Allah SWT memaafkan dan mengampuni kita walaupun Allah SWT mampu untuk menghukum kita akibat kemaksiatan kita kepada-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *