#1275: Memasang Bacaan Al-Quran Ketika Tidur

Soalan

Assalamualaikum. Apakah hukum seseorang itu membuka bacaan al-Quran sebelum tidur sehingga bacaan al-Quran itu masih terbuka walaupun dia sudah tertidur? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tidak ada masalah bagi seorang Muslim mendengar bacaan al-Quran sebelum tidur, atau mendengar ceramah atau seumpamanya. Sesungguhnya telah diriwayatkan dalam Sunnah yang shahih bahawa di antara azkar yang harus dibaca sebelum tidur ialah beberapa doa, ayat-ayat dan surah-surah daripada al-Quran sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ نَفَثَ فِي يَدَيْهِ، وَقَرَأَ بِالْمُعَوِّذَاتِ، وَمَسَحَ بِهِمَا جَسَدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila mengambil tempat baginda untuk tidur, baginda akan meniupkan di kedua tangan baginda dan membacakan al-Mu’awwidzat dan menyapukan kedua tangan baginda ke badan baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6319)

Mendengar bacaan Al-Quran sebelum tidur dan selepasnya, semasa bulan Ramadhan dan juga pada waktu-waktu lain, menimbulkan ketenangan di dalam hati dan membantu seseorang itu berehat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: 

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang”

(Surah al-Ra’d: 28)

Syeikh Muhammad bin Soleh berkata: “Sebahagian manusia berkata kepada aku, “aku tidak dapat tidur kecuali dengan mendengar bacaan al-Quran.” Jika demikian, maka tidak salah baginya sekiranya dia berbaring sambil menunggu untuk tidur serta dia tidak mempunyai apa-apa urusan dan dia mendengar al-Quran, maka hal ini tidak ada salah baginya. Dan sesiapa yang menggunakan pertolongan dengan mendengar kalamullah pada apa yang manusia inginkan daripada perkara yang harus dan dibenarkan, maka tidak ada salahnya dan tidak ada halangan padanya.” (Lihat Liqaat al-Bab al-Maftuh, 146/soalan no. 9)

Syeikh Abdullah bin Mani’ pula berkata: Bagi saya, tidak ada yang salah bagi orang yang mendengar al-Quran dalam keadaan dia tidur, dan hakikatnya ialah kamu tertidur semasa kamu mendengar al-Quran dan jangan salahkan diri kamu kerana perintah untuk mendengar al-Quran ialah apabila ia dibacakan dan ditujukan kepada pendengar yang bijaksana sebagaimana firman Allah SWT: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. [Surah al-A’raf: 204]” (Lihat Majmu’ Fatawa wa Buhuth al-Syeikh Abdullah al-Mani’, 1/266)

Dalam Fatawa al-Syabakah al-Islamiah (2/1000), disebut juga bahawa tidak ada masalah bagi seseorang itu membuka bacaan al-Quran daripada radionya ataupun daripada rakamannya, maka dia mendengarnya dengan apa yang Allah kehendaki, kemudian dia tertidur dan meninggalkan suara bacaan al-Quran itu terbuka, bahkan hal ini merupakan hal yang baik dan ia menjadi sebab untuk menghalau syaitan dan juga menjaga seseorang hamba itu daripada kejahatan dengan izin Allah.

Sebagai penutup, kami katakan bahawa perbuatan mendengar al-Quran sebelum tidur dan sehingga seseorang itu tertidur dan bacaan al-Quran itu masih kekal dibacakan adalah merupakan suatu perkara yang baik dan diharuskan. Marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran ini sebagai panduan dan pedoman dalam hidup kita.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *