#1277: Melagukan Bacaan Hadith

Soalan

Apakah hukum membaca dengan tartil dan melagukan bacaan hadith ataupun zikir-zikir sepertimana bacaan al-Quran? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Memperelokkan bacaan al-Quran merupakan satu tuntutan syara’ yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana riwayat daripada al-Barra’ bin ‘Azib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ، فَإِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيدُ الْقُرْآنَ حُسْنًا

Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu, sesungguhnya suara yang indah  itu dapat menambah keindahaan al-Quran.” 

Riwayat al-Bukhari secara mu’allaq sebelum hadith (7544), Abu Dawud (1468), al-Nasaie (1015), Ibn Majah (1342), dan Ahmad (18517). Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (4561) menyatakan hadith ini sahih.

Imam al-Nawawi ketika mengulas isu ini beliau berkata: Para ulama dari kalangan salaf dan khalaf iaitu kelompok para sahabat dan tabi’in dan selepas mereka telah bersepakat bahawa memperelokkan suara bacaan al-Quran adalah suatu yang mustahab (dituntut). Pendapat dan perbuatan mereka berkaitan dengan isu ini sangat masyhur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 115)

Hukum Melagukan Bacaan Selain Al-Quran

Para ulama berselisih pendapat tentang hukum bertajwid ketika membaca hadith ataupun bacaan-bacaan yang lain seperti zikir sebagaimana yang dilakukan ketika membaca al-Quran. Terdapat dua pandangan: 

  • Pandangan pertama adalah tidak dibenarkan. 

Ini adalah pandangan Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Syeikh Bakr Abu Zaid, dan beberapa ulama kontemporari yang lain. 

Antara hujjah mereka ialah kerana membaca hadith ataupun zikir-zikir dengan cara yang menyerupai bacaan al-Quran dapat memberikan kesan seolah-olah bacaan yang dibaca itu adalah daripada al-Quran. Hal ini kerana prinsip asasnya ialah Kitab Allah mesti dilindungi daripada dikelirukan dengan perkataan lain.  Membaca kalimah selain daripada firman Allah dengan cara bacaan kitab suci adalah kebiasaan para pendeta daripada Yahudi dan juga Nasrani, dan kita dilarang untuk meniru atau menyerupai mereka. 

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya berkenaan  bolehkah bertajwid dan melagukan dengan perkataan selain al-Quran, seperti membaca hadis-hadis Rasulullah SAW dan sebagainya?, maka beliau menjawab: 

“Sebahagian ulama’ yang terkemudian dalam menafsirkan ayat sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقاً يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُمْ بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَاب

Maksudnya: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab

(Surah Ali Imran: 78)

Sebahagian ulama terkemudian mengatakan bahawa ini termasuk membaca selain al-Quran dengan cara yang sama seperti bacaan al-Quran, seperti membaca hadith-hadith Nabi SAW dengan cara yang sama. seperti membaca al-Quran, atau membaca perkataan ulama dengan cara yang sama seperti membaca al-Quran. Justeru, tidak boleh melantunkan perkataan selain al-Quran dengan cara bacaan al-Quran, terutama di hadapan orang ramai yang tidak dapat membezakan antara al-Quran dengan perkataan lain kecuali dengan intonasi dan bacaan. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, Fatwa no. 212). 

Syeikh Bakr Abu Zaid berkata: Sebahagian daripada perkara-perkara ini (melagukan bacaan seperti al-Quran) telah diterima pakai oleh sebahagian orang, maka kamu akan mendengar beberapa imam di bulan Ramadhan membaca doa qunut dengan suara yang sangat keras, merendahkan dan meninggikan suara mereka mengikut maksud doa, dan berlebih-lebihan dalam intonasi, vokal dan bacaan, sehingga seakan-akan dia membaca surah daripada Kitab Allah SWT (al-Quran), mempermainkan emosi jemaah sehingga membuatkan mereka menangis. Apa yang mengiringi nyanyian, intonasi, vokalisasi dan nyanyian adalah lebih mirip dengan apa yang telah diperkenalkan oleh orang Nasrani ke dalam doa-doa nyanyian mereka, yang tidak diajar oleh Nabi Isa AS mahupun pengikut-pengikutnya; sebaliknya orang Nasrani yang memperkenalkan hal ini. Oleh itu, kita melihat dan mendengar pada masa kini orang-orang melaungkan dan intonasi dalam doa. Ahlu al-Sunnah hendaklah berhati-hati supaya mereka tidak mengikut cara mereka. (Lihat Tashih al-Du’a, hlm. 82-84). 

  1. Pandangan kedua ialah tidak ada yang salah dengan lafaz dengan tajwid ketika membaca hadith-hadith Nabi SAW dan teks-teks ilmiah, atau ketika berzikir dan berdoa seperti yang disyariatkan dalam Islam, dengan syarat bahawa tidak melampau dalam hal itu. 

Ini adalah pandangan beberapa fuqaha’ terkemudian, dan merupakan pandangan yang disukai oleh lebih daripada seorang ulama kontemporari seperti Syeikh Abd al-Aziz bin Baz, Syeikh Soleh al-Fauzaan dan lain lain. 

Imam Muhammad bin Muhammad al-Budairi al-Dimyati berkata: Berkenaan membaca hadith dengan tajwid seperti Al-Quran, dengan berbagai aturan lafaz dan pemanjangan vokal, dan seterusnya, adalah dianjurkan, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama. Akan tetapi, saya telah bertanya kepada guru saya, iaitu ulama’ terkemuka Syeikh ‘Ali al-Syabramalsi tentang hal itu, ketika saya membacakan kepadanya Sahih al-Bukhari, dan beliau menjawab bahawa membacanya dengan bertajwid adalah wajib, dan dia memberitahu saya bahawa beliau telah melihat perkara itu dipetik daripada sebuah kitab bernama al-Aqwal al-Syarihah fi Tafsir al-Fatihah. Pada ketika itu, Syeikh memberikan alasan bahawa tajwid adalah sebahagian daripada cara bercakap yang baik, dan merupakan sebahagian daripada bahasa orang Arab dan kefasihan mereka dalam bercakap. Semua faktor ini digabungkan pada Nabi SAW. Maka, sesiapa yang bercakap tentang hadith baginda, hendaklah dia meraikannya dengan cara Nabi SAW bercakap. (Lihay Hashiyah al-Ajhuri ‘ala Syarh al-Zarqani ‘ala Manzumat al-Baiquniyyah, hlm. 227). 

Malah, dalam hal ini, ia adalah adat yang diamalkan dalam kalangan ulama’ terdahulu. Dalam Qafiyyaat al-A’yan, disebut dalam biografi al-Humaidi al-Andalusi: Beliau terkenal dengan kepintaran, pengetahuan, ketepatan, komitmen agama dan ketakwaannya, dan suaranya merdu ketika membaca hadith. (Lihat Qafiyyaat al-A’yan, 4/282),

Dalam hal ini juga, mereka juga berhujah bahawa hukum tajwid tidak lebih daripada hukum yang mengikut adat Arab semasa membaca dan menyebut perkataan dan ia tidak terhad hanya kepada al-Quran. Sesiapa yang menyempurnakan bacaannya terhadap hadith dan kata-kata ulama’ hanyalah mengikut peraturan bahasa Arab. 

Selain itu, memperindahkan bacaan al-Quran dengan suara dan bacaan yang merdu serta membacanya dengan cermat membantu orang ramai untuk menumpukan perhatian kepada bacaannya dan memikat hati mereka. Matlamat ini juga boleh dicapai dengan lafaz doa, zikir dan juga bacaan hadith serta ketika membaca kitab-kitab ulama’ dalam pelajaran secara khusus. 

Syeikh Soleh al-Fauzan berkata: Memperindahkan suara tidak termasuk di bawah kategori “lagu” yang tidak dibenarkan; sebaliknya memperelokkan suara ketika membaca al-Quran dan ketika berzikir adalah perkara yang baik.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami lebih cenderung pada pendapat kedua di samping meraikan pendapat yang pertama, iaitu dibolehkan membaca hadith atau zikir-zikir dengan bertajwid dan berlagu tetapi perbuatan tersebut tidaklah boleh melampau sehingga mengelirukan orang ramai seolah-olah ia adalah bacaan al-Quran.

Kami tertarik dengan fatwa yang disebut oleh Syeikh Solah al-Sawi dalam kitab fatwanya, beliau berkata: “Membaca hadith al-Nabawi sekiranya dimaksudkan dengan mengeluarkan setiap huruf daripada makhrajnya dan memberikan haq setiap huruf itu, maka pada asasnya, ia adalah perkara yang baik. Namun sekiranya dia membacanya dengan melagukannya seperti dia membaca al-Quran, maka tidak seharusnya dia melakukan begitu supaya orang ramai tidak terkeliru antara bacaan al-Quran dan hadith. (Lihat Mausu’ah Fatawa al-Mughtaribin, 7/434)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *