#1281: Hukum Tidak Mahu Anak

Soalan: 

Assalamualaikum. Apakah hukum sengaja tidak mahu anak (childfree by choice, bukan childless by chance)?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Sepertimana firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “… dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.”

(Surah al-Syura : 49)

Begitu juga, dalam ayat yang seterusnya:

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki Nya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Syura: 50)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya, Allah SWT mampu untuk mengurniakan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tidak menganugerahkan keturunan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6174)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, bagi pasangan yang tidak mempunyai anak, hukumnya tidak berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja berkuasa dalam mengurniakan keturunan kepada hamba yang dikehendakiNya. Demikian juga, sekiranya mereka tidak berusaha atau tidak mahu untuk mendapatkan anak, hukumnya adalah tidak berdosa. Namun demikian, mereka perlu mengetahui kelebihan yang diperolehi melalui anak-anak mereka. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan, maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”

Riwayat Muslim (1631)

Kesimpulan

Anak merupakan anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang Dia kehendaki. Oleh itu, bagi pasangan yang tidak mahu zuriat, ia tidak dikira sebagai satu kesalahan dan berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana Allah SWT sahaja yang berkuasa untuk mengurniakan cahaya mata kepada pasangan-pasangan yang Dia kehendaki. Namun demikian, kami berpendapat sekiranya saudari sudah bersedia untuk dikurniakan anak, maka sebaiknya saudari berbuat demikian kerana anak itu penyeri sebuah rumah tangga. Begitu juga, ia merupakan salah satu matlamat perkahwinan bagi meluaskan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِن بَعْضٍ ۗ

Maksudnya: (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

(Surah Ali Imran:34)

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *