#1285: Air Mazi Batalkan Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, adakah keluar air mazi membatalkan puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan definisi air mazi. Menurut istilah fiqh, air mazi adalah air jenih yang melekit, yang keluar ketika timbulnya syahwat. (Lihat  al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)

Ia merupakan air yang berwarna putih, halus dan melekit, yang keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, dan kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. 

Imam al-Nawawi ketika menyatakan perbezaan antara air mazi dan air mani menyebut bahawa, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun air mazi keluar ketika bersyahwat dan tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)

Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (berbeza dengan air mani, di mana ia adalah air kemuncak syahwat). Diriwayatkan daripada Saidina Ali R.A, katanya:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِي فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:‏ لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ.

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi. Aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, maka sabda Baginda: “Jangan kamu lakukan seperti itu. Jika kamu melihat mazi, maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. (Tetapi) jika kamu mengeluarkan air (mani), maka hendaklah kamu mandi.”

Riwayat al-Bukhari (269), Muslim (303), Ibn Majah (504) secara ringkas, Abu Daud (206) dan ini merupakan lafaznya, al-Nasa’i (193) dan Ahmad (868)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pendapat, apakah hal tersebut membatalkan puasanya jika dia sengaja melakukan sebab keluarnya. 

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa hal tersebut membatalkan puasa, jika dia melakukan sebab keluarnya, seperti mencumbu, meraba, mencium dan seumpamanya. Adapun jika sebab keluarnya adalah memandang dengan berulang-ulang, maka hal itu tidak membatalkan.

Adapun Abu Hanifah dan al-Syafi’i berpendapat bahawa keluarnya mazi tidak membatalkan puasa secara mutlak, sama ada keluar tersebut kerana mencumbu atau selainnya. Yang membatalkan puasa adalah keluarnya mani, bukan mazi. (Lihat al-Mughni, 4/363)

Syeikh Zainuddin al-Malibari dari kalangan al-Syafi’iyyah menyebut:

وَلاَ يُفْطِرُ بِخُرُوْجِ مَذِيٍّ خِلاَفَةً لِلْمَالِكِيَّةِ

Maksudnya: “Dan tidaklah batal puasa (seseorang) dengan sebab keluarnya mazi, berbeza dengan Malikiyyah.” (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 56)

Ibn Rusyd menyebut:

وَإِنْ أمْذَى فَلَمْ يُفْطِرْ إِلاَّ مَالِك

Maksudnya: “Dan jika seseorang mengeluarkan mazi, maka puasanya tidak batal, melainkan pendapat Imam Malik (yang menyatakan bahawa batal puasa bagi orang yang mengeluarkan mazi).” (Lihat Bidayatu al-Mujtahid wa Nihayatu al-Muqtasid, 1/52)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat bahawa jika seseorang keluar air mazi ketika berpuasa, maka puasanya tidak terbatal.

Wallahu a’lam.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *